Oleh Khairil Hilmi Mokhtar
From Russia With Love – satu judul filem yang telah berdekad lama dan sinonim dengan jenama satu sosok watak fiksyen yang dikenali ramai. Tetapi apa yang ingin dibicarakan adalah bukan fantasi, tetapi realiti. Sosok benar itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang kesepuluh.
Kehadiran Anwar ke Vladivostok, Rusia atas jemputan khusus oleh tidak lain tidak bukan, orang kuat Rusia sendiri, Presiden Vladimir Putin. Putin begitu mendambakan kehadiran Perdana Menteri ke Vladivostok. Bahasa badan yang ditunjukkan Putin mencerminkan sikap hormat dan memandang tinggi kepada seorang pemimpin yang disegani.
Perkara ini amat menarik buat pemerhati geo-politik kerana presiden itu sendiri amat terkenal dengan pesona yang mengagumkan kawan, aura intimidasi kepada lawan dan tidak berselindung dengan bahasa badannya terhadap mana-mana tokoh dunia.
Apa yang lebih wajar dibicarakan adalah pertemuan Anwar dan Putin ini sebenarnya suatu mesej kepada dunia yang sangat jelas – Malaysia kini sangat dihormati dan adalah negara yang penting di pentas antarabangsa dan dunia diplomasi.
Suatu ketika dahulu, suasana imej Malaysia amat suram, terpalit dengan cerita-cerita negatif yang menyebabkan negara tidak diberi perhatian malahan acap kali terpinggir.
Lebih malang di rantau ini, watak-watak hebat seperti Presiden Jokowi menenggelamkan terus Malaysia di mata antarabangsa. Tapi kini tidak lagi, Anwar telah meletakkan Malaysia di darjat yang tinggi di mata dunia.
Malaysia menelusuri dengan pantas jalan-jalan menjadi sebuah negara hebat sejak Kerajaan MADANI menjadi pemacu kepada reformasi menyeluruh di dalam pelbagai aspek – ekonomi, politik dan sosial.
Walaupun ada cemuhan dan sindiran, ia tidak pernah menjadi penghalang kepada Perdana Menteri dan pasukan MADANI mengorak langkah ke arah yang lebih baik untuk negara bertuah ini.
Daripada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menjangkaui sasaran organisasi antarabangsa kepada kejayaan menarik penarikan pelaburan asing antara tertinggi di Asia tahun ini, pemulihan ekonomi berteraskan formula Ekonomi MADANI tidak lagi ditertawakan. Data dan fakta menunjukkan formula yang selalu disindir ini telah terbukti membuahkan hasil.
Kejayaan demi kejayaan ini sebenarnya berpunca daripada perubahan sikap, peningkatan produktiviti dan kesediaan rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengangkat darjat negara.
Mantra tatakelola yang acapkali dicanang oleh Anwar telah menyerap ke dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta. Pengukuhan integriti telah membuahkan hasil.
Cemuhan dan sindiran mula beransur menjadi penghargaan dan keyakinan.
Keyakinan ini turut berjaya meraih perhatian pemimpin-peminpin dunia yang berebut-rebut menjemput Anwar dan pasukan MADANInya.
Begitu ramai tokoh-tokoh negara asing juga bergegas ke Malaysia untuk merealisasikan strategi Indo-Pasifik mereka, termasuk New Zealand, Kanada dan pelbagai lagi.
Putin melihat Anwar sebagai satu sosok yang sangat penting untuk didampingi dan dijadikan rakan karib.
Apatah lagi pada tahun 2025 Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN. Aura dan pesona Perdana Menteri ini semakin hari semakin kuat dan dilihat sebagai tokoh di rantau Asia Tenggara yang amat hebat.
Apabila Anwar menerima pelawaan Putin untuk bertandang ke negara kuasa besar itu, sudah pasti deretan manfaat akan mengalir ke Malaysia. Rusia mempunyai pelbagai sumber dan teknologi yang mampu memenuhi keperluan Malaysia dalam bidang ekonomi dan kewangan, pertanian, pendidikan, sosial dan kesihatan yang boleh dimanfaatkan bersama.
Rusia juga sejak sekian lama sentiasa bersedia melaksanakan perdagangan barter melibatkan penukaran minyak kelapa sawit dari Malaysia. Ini sudah pasti memberi impak positif kepada industri sawit Malaysia, terutama pekebun kecil dan peneroka tanah rancangan.
Rakan-rakan karib Rusia juga sudah terbukti mampu memperluas potensi perdagangan dengan Malaysia dalam pelbagai sektor. Justeru pemohonan Malaysia untuk menyertai BRICS dilihat sudah melangkah sebelah kaki untuk diterima menjadi ahli.
Potensi nilai perdagangan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat yang besar apabila Rusia dan negara-negara yang akrabnya memberi keyakinan dan keutamaan tinggi kepada Malaysia.
Rakan karib dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Rakan karib dalam bidang sosial dan pendidikan. Rakan karib dalam bidang keselamatan dan pertahanan. Rakan karib yang menjadi simbol diplomasi dan pejuang keamanan sejagat.
Usaha keras seluruh rakyat Malaysia yang menyahut seruan Perdana Menteri agar kita memperkukuh perpaduan kini semakin membuahkan hasil. Dalam semangat bulan kemerdekaan yang masih kuat membara, amat jelas perpaduan yang menjadi teras kekuatan Malaysia ini lahir daripada kesatuan dalam kepelbagaian.
Apa yang dibawa dalam semangat Malaysia MADANI itu bukan hanya slogan retorik. Semakin hari semakin menampakkan hasil apabila negara di bawah kendalian yang betul, disokong oleh rakyat jelata yang bersedia berganding bahu untuk mengangkat martabat Malaysia menjadi negara yang hebat, sudah pasti kejayaan demi kejayaan akan diraih. Menjaga amanah negara dengan tertib itu pasti ada rahmat dan ganjarannya.
Ya, Anwar Ibrahim tidak sempurna. Tetapi ketidaksempurnaan beliau itu lompongnya ditampung oleh rakyat yang bersedia untuk bersama-sama menjadikan Malaysia tanah air bertuah ini disanjung dan dihormati dunia.
Maka hakikatnya pemimpin dan rakyat berpisah tiada, itulah simbol perpaduan yang akan membawa Malaysia menjadi negara hebat yang tinggi darjatnya.
-- BERNAMA
Khairil Hilmi Mokhtar ialah Penganalisis Keselamatan Geo-Strategik