Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
Penulis amat berbangga apabila penduduk di Beijing sangat `tergila-gilakan’ buah durian negara kita walaupun raja buah tersebut dijual dengan harga yang sangat tinggi namun tetap habis terjual di pasaran di sini.
Di China, buah durian segar jenis Musang King dijual dengan harga 350 yuan sekilogram (kg) bersamaan RM218, namun dek kerana kualiti dan rasa buah tersebut yang lemak bak ais krim, ia cukup mengujakan penduduk di sini.
“Lulian (Durian) Malaysia very delicious,” itulah bait-bait perkataan yang acap kali disebut mereka.
Baru-baru ini penulis berkesempatan membuat liputan bagi majlis pelancaran buah durian segar di sini dan siapa sangka belum lagi program tersebut selesai, raja buah itu telah habis dijual.
Kuantiti Durian Eksport ke China akan ditambah
Pada Ogos lepas, Malaysia mengeksport sebanyak 40 tan metrik durian segar untuk dipasarkan di enam wilayah di republik ini iaitu Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guanzhou, Shengzen dan Nanning.
Ia adalah kali pertama negara kita mengeksport durian segar kerana selama ini, hanya durian sejuk beku sahaja. Hal ini kerana penjagaan durian segar agak rumit dan mudah rosak, selain jualan harus dilakukan dalam masa kurang 36 jam. Tetapi, rasa durian segar sangat enak berbanding jenis sejuk beku.
Oleh kerana durian segar pertama negara kita ke negara Tembok Besar itu sangat laris, Kedutaan Malaysia ke China juga bercadang untuk mewujudkan lebih banyak penerbangan kargo antara dua negara berkenaan agar lebih tinggi kuantiti durian segar boleh dibawa ke sini.
Penulis juga sempat menemubual mengenai beberapa penduduk tempatan berkaitan durian segar Malaysia dan kesemua mereka memuji akan keenakan durian kita.
Teh Tarik tiga dalam satu laris
Selain durian, pelbagai produk negara yang berjaya mendapat tempat di sini antaranya kopi, teh dan sarang burung walet. Baru-baru ini penulis berkesempatan mengunjungi sebuah pameran antarabangsa di sini dan terdapat reruai yang menjual produk minuman Malaysia.
Apa yang lebih menarik, “Teh Tarik 3 in 1” yang dijual di situ, laris dan mendapat sambutan hangat. Mujurlah penulis dapat membeli pek terakhir dan yang paling menarik saya turut ditawarkan diskaun sehingga 50 peratus daripada penjual tersebut.
Berdasarkan pemerhatian, rata-rata mereka membeli tiga pek sekaligus yang dijual dengan harga 100 yuan.
Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga dengan produk negara sendiri. Kalau bukan kita yang menyokong produk negara kita, siapa lagi?
Produk-produk negara kita juga mempunyai kualiti yang tinggi dan sama hebat dengan barangan sedia ada di pasaran.
"Salam Dari Beijing"
-- BERNAMA
Marfika Adnan Haris Fadzilah ialah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengikuti Program Pusat Media Antarabangsa China 2024, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Ogos.