PENA WANITA

TOKSIK VS TONIK DI PEJABAT: PERANAN PENJAWAT AWAM MEWUJUDKAN BUDAYA KERJA HARMONI

08/09/2025 10:02 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Noor Afzan Zakaria

Dalam dunia kerjaya hari ini, suasana dan budaya di tempat kerja memainkan peranan yang amat besar dalam membentuk semangat, motivasi, dan prestasi setiap individu.

Di sebalik angka produktiviti dan laporan prestasi, tersembunyi cerita-cerita kecil tentang bagaimana kita diperlakukan, bagaimana komunikasi berlaku, dan bagaimana nilai-nilai dikongsi atau dilanggar.

Sebagai penjawat awam, kita bukan sahaja memikul amanah menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, tetapi juga bertanggungjawab mencorak budaya organisasi yang mencerminkan integriti, hormat dan semangat berpasukan.

Budaya toksik masih wujud

Namun begitu, kita tidak dapat menafikan bahawa di sebalik slogan-slogan rasmi dan piagam pelanggan, budaya toksik masih wujud dan berakar di sesetengah jabatan.

Ia hadir dalam bentuk gosip yang menular, sikap menikam dari belakang, sabotaj kerja rakan, pilih kasih, dan komunikasi yang dingin. Dalam diam, budaya ini menjalar dan merosakkan semangat ramai staf yang jujur dan berdedikasi.

Ia tidak memilih mangsa. Dari pegawai pelaksana hingga ke pentadbir kanan. Yang menjadi puncanya, kadangkala bukan pemimpin, tetapi individu tertentu yang berpengaruh, licik dan manipulatif.

Apa itu budaya toksik

Apakah itu budaya toksik? Secara mudah, ia adalah suasana kerja yang meletihkan secara emosi, tidak selamat dari segi psikologi, dan penuh dengan unsur negatif yang menjejaskan keharmonian pejabat.

Individu yang berada dalam persekitaran sebegini sering kali berasa tertekan, takut untuk bersuara, dan hilang kepercayaan terhadap sistem serta rakan sekerja. Lebih membimbangkan, budaya ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pekerja, tetapi turut memberi kesan kepada kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Budaya tonik

Berbanding itu, budaya tonik pula adalah suasana kerja yang menyegarkan, membina dan menyuntik semangat. Ia dipenuhi dengan rasa hormat, kepercayaan, keterbukaan dan kerjasama.

Dalam budaya tonik, rakan sekerja saling menyokong, memuji dengan ikhlas, menegur dengan hikmah dan meraikan kejayaan bersama. Pejabat yang mengamalkan budaya tonik bukan sahaja menjadi tempat bekerja, malah menjadi ruang berkembangnya potensi insan.

Sebagai penjawat awam, kita memiliki kuasa. Walaupun kecil, untuk menjadi ejen perubahan.

Kita mungkin tidak mampu menukar polisi atau menggantikan ketua jabatan atau menukar staf toksik, tetapi kita mampu memilih untuk tidak menyebarkan gosip, untuk tidak bersengkongkol dalam hasutan, untuk tidak menyertai permainan politik pejabat yang menjijikkan.

Kita mampu memilih untuk menyapa dengan senyuman, memberi penghargaan kepada usaha orang lain, dan menyemai kata-kata yang membina. Kita juga boleh memilih untuk menjadi agen positif tonik dalam organisasi dengan menyebar semangat, menggalakkan kerja berpasukan, dan menjadi pengimbang kepada suasana negatif yang mungkin timbul.

Kenali individu toksik

Dalam menghadapi individu toksik di tempat kerja, langkah pertama adalah mengenalpasti mereka. Mereka biasanya licik, petah berkata-kata, tetapi gemar menimbulkan suasana tidak selesa.

Mereka mungkin sering mengadu tetapi tidak menyumbang, pandai mengambil hati pihak atasan tetapi menjatuhkan rakan lain. Cara terbaik berhadapan dengan mereka adalah menetapkan sempadan yang jelas.

Hadkan perbualan kepada hal kerja, elakkan perbualan peribadi, dan simpan komunikasi penting secara bertulis. Jangan biarkan mereka mengheret kita masuk ke dalam permainan mereka.

Selain itu, kita juga perlu membina kekuatan dalaman. Individu positif perlu saling menyokong.

Jangan biarkan rakan sekerja yang menjadi mangsa dipinggirkan. Tawarkan telinga yang mendengar, bahu yang memahami. Mungkin bantuan kita kecil, tetapi dalam suasana toksik, ia boleh menjadi penyelamat emosi seseorang.

Kita juga perlu berani bersuara melalui saluran yang betul apabila berlaku ketidakadilan. Tidak perlu bergaduh, tetapi cukup untuk menyatakan bahawa kita tidak bersetuju dan tidak akan berdiam diri.

Pengurusan organisasi perlu cakna

Pengurusan organisasi pula harus sedar bahawa budaya kerja tidak terbentuk dalam sehari. Ia lahir dari kebiasaan yang dibenarkan. Jika sikap negatif tidak ditegur, ia akan menjadi norma.

Maka, pihak pengurusan perlu memainkan peranan aktif. Wujudkan dasar toleransi sifar terhadap buli, hasutan dan diskriminasi. Adakan saluran aduan yang selamat dan rahsia.

Anjurkan latihan tentang komunikasi berkesan, pengurusan emosi dan pembinaan pasukan. Dan paling penting, jadi contoh yang baik. Pemimpin yang jujur, rendah hati dan terbuka menerima pandangan adalah sumber inspirasi kepada seluruh jabatan.

Kita juga boleh mencadangkan inisiatif kecil tetapi bermakna di pejabat. Contohnya, sesi "Tonik Pagi", di mana staf berkongsi perkara positif atau menghargai usaha rakan sekerja.

Atau sudut motivasi mingguan di papan kenyataan. Malah, budaya mengucapkan terima kasih dengan nota kecil pun boleh memberi impak besar. Semua ini, jika diamalkan dengan konsisten, akan menjadi tonik harian yang menyegarkan suasana kerja.

Kerja adalah amanah

Bekerja dalam perkhidmatan awam adalah amanah. Kita bukan sekadar menggaji diri, tetapi berkhidmat untuk negara. Jika budaya toksik dibiarkan, amanah ini akan tercemar.

Tetapi jika kita berusaha menyemai budaya tonik, walau kecil impaknya, ia akan membina gelombang perubahan yang lebih besar. Dan mungkin, satu hari nanti, apabila kita bersara, kita akan meninggalkan bukan sekadar fail-fail lama, tetapi juga kenangan manis tentang sebuah tempat kerja yang saling menyokong dan menghargai.

Marilah kita semua tanpa mengira gred, jawatan atau tempoh perkhidmatan untuk menjadi agen perubahan.

Tolak toksik, pilih tonik. Jadilah agen positif yang membawa sinar dan harapan di pejabat masing-masing. Mulakan dengan diri sendiri. Kerana pejabat yang harmoni bukan tanggungjawab orang lain, tetapi tanggungjawab kita bersama. Mari berazam menjadi pekerja yang mulia.

-- BERNAMA

Noor Afzan Zakaria ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)