“Jangan hanya lihat gaji, lihat juga harga diri.” Itulah pesanan yang sepatutnya menjadi pegangan setiap penjawat awam hari ini.
Dalam dunia yang semakin pantas dan serba canggih ini, ramai yang terperangkap hanya pada angka gaji dan status semata-mata, tanpa menyedari betapa besar tanggungjawab yang digalas di bahu kita.
Kita bukan hanya ‘datang kerja, buat kerja, balik rumah’, tetapi kita adalah wajah dan lambang negara yang perlu disegani, kepercayaan rakyat yang perlu dipelihara.
Bantu rakan yang memerlukan
Saya masih teringat satu kisah kecil, seorang rakan yang sentiasa datang awal ke pejabat, walau hujan lebat. Dia bukan sekadar menyiapkan kerja tepat pada masa, tetapi juga sentiasa sedia membantu rakan-rakan yang memerlukan.
Sikapnya mungkin kecil bagi sesetengah orang, namun bagi saya, dialah lambang maruah penjawat awam yang berkhidmat dengan jiwa. Kita semua ada pilihan, mahu jadi seperti dia, atau hanya sekadar hadir tanpa jiwa.
Realiti hari ini, kita sedang diuji dengan pelbagai cabaran bukan hanya dari sistem atau teknologi, tetapi dari sikap dan nilai dalam diri sendiri.
Ada yang semakin sukar ditegur, enggan membalas mesej penting, memohon bajet tanpa ikut prosedur, mengambil cuti tanpa maklum, dan datang pejabat dengan penampilan yang kurang kemas seolah-olah kerja itu tidak bernilai. Ini bukan soal pakaian, tetapi cerminan sikap terhadap amanah yang digalas.
Makna sebenar menjadi penjawat awam
Pernahkah kita tanya diri sendiri, apa makna sebenar jadi penjawat awam? Adakah sekadar mahu status tetap dan pencen? Atau mahu jadi sebahagian dari mesin besar yang menyumbang kepada kemajuan negara?
Dalam dunia digital yang serba laju ini, nilai asas seperti hormat kepada ketua, adab berkomunikasi, integriti dalam tugasan dan keperibadian mulia bukanlah sesuatu yang usang. Ia akar yang memegang segala keberkatan dan kejayaan.
Semua orang bukan sempurna
Sebagai pentadbir, saya juga bukan sempurna. Saya pernah silap, pernah ditegur, dan belajar bahawa teguran adalah tanda sayang dan prihatin, bukan untuk menjatuhkan.
Dalam panduan rasmi seperti Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 28 Tahun 2009, sudah jelas prinsip tatakelakuan dan etika kerja yang wajib dijunjung. Berdisiplin, amanah, taat arahan, dan bersopan santun.
Namun, pekeliling dan peraturan hanya bermakna jika hati kita sendiri menyemai nilai murni itu.
Kadang perkara mudah jadi sukar contohnya memberi salam, membalas mesej, memohon maaf jika tersilap, memaklumkan jika bercuti. Ini asas komunikasi yang sepatutnya jadi budaya.
Tetapi hari ini, ia menjadi sesuatu yang jarang dan mahal. Bayangkan sebuah pejabat di mana komunikasi dingin dan renggang, rasa hormat pudar dan hubungan kerja hambar. Ini bukan saja melemahkan prestasi, tapi juga merosakkan jiwa kerja berpasukan.
Budaya kerja dan komunikasi
Jika budaya komunikasi asas ini tidak diperbaiki hari ini, bagaimana 10 atau 20 tahun lagi? Mungkin kita akan hilang rasa hormat antara generasi lama dan baru, ketua takut menegur staf kerana takut dimusuhi,
Setiap orang hanya jaga kepentingan sendiri tanpa peduli kebaikan bersama. Cabaran sebenar bukan teknologi, tetapi membentuk sikap dan nilai sejati yang melambangkan integriti dan profesionalisme.
Kita tidak mahu organisasi yang hebat pada laporan tetapi pincang dari budaya kerja. Kita tidak mahu pekerja yang hanya menunggu gaji tanpa sumbang jiwa. Dan kita tidak mahu pemimpin yang takut menegur kerana takut dimusuhi.
Pemimpin yang hebat adalah yang mampu menegur dengan hikmah dan kasih sayang, memberi peluang membaiki kesilapan, tetapi juga tegas bila perlu. Teguran yang betul bukan penghinaan, tetapi tanda sayang untuk bina organisasi kukuh.
Maruah penjawat awam
Maruah penjawat awam bukan pada pangkat atau gelaran. Ia lahir dari prinsip dan nilai yang kita pegang. Kejujuran, amanah, hormat, dan integriti. Jika kita mampu mulakan perubahan kecil dalam sikap dan budaya kerja hari ini, ia akan jadi arus besar transformasi positif masa depan perkhidmatan awam.
Kita mahu dunia luar melihat penjawat awam Malaysia sebagai pasukan berdedikasi, berprinsip, dan saling menghormati. Kita mahu rakyat berkata, “Di sana ada kumpulan bukan sekadar jalankan tugas, tapi berkhidmat dengan sepenuh jiwa dan integriti tinggi.”
Tanggungjawab membina budaya kerja beretika bukan hanya pada individu, tetapi cabaran bersama terutama pemimpin. Pemimpin harus jadi teladan dalam menjaga etika dan tatakelakuan.
Mereka harus berani menegur, membimbing staf dengan hikmah, memahami kesulitan staf tanpa abaikan prinsip disiplin dan profesionalisme. Pemimpin yang lemah tidak mampu mengangkat maruah organisasi, manakala yang kuat bertanggungjawab pada setiap keputusan.
Setiap penjawat awam perlu sedar maruah bukan diukur pangkat atau gaji, tetapi cara kita laksanakan tugas, pegang amanah, dan tegakkan integriti walau dalam cabaran. Jika hari ini kita mulakan perubahan pada diri, pasukan, dan organisasi, kita menabur benih kebanggaan dan profesionalisme yang akan dituai generasi akan datang.
Mungkin kita tidak boleh ubah semua orang sekaligus, tapi perubahan dari diri sendiri dan sekitar sudah cukup mulakan gelombang lebih besar. Setiap perbuatan kecil seperti membalas mesej tepat masa, mohon maaf jika tersilap, jaga penampilan sebagai tanda hormat, bina budaya kerja sihat dan produktif.
Ketika berkhidmat dengan jiwa, bukan saja orang lain dihormati, kita juga hormat diri sendiri. Jiwa bersih dan integriti umpama akar yang kuatkan pokok maruah. Jika akar sihat, pokok tumbuh subur, berbuah lebat, jadi payung lindungi ramai.
Semai kembali tanggungjawab
Mari semai kembali rasa tanggungjawab, keikhlasan, dan kebanggaan jadi penjawat awam. Jadilah contoh generasi akan datang, bukan hanya teguh pada kedudukan, tapi berkhidmat dengan jiwa penuh integriti dan hormat.
Biarlah suara dan tindakan kita ubah persepsi masyarakat bahawa penjawat awam bukan sekadar kerja untuk gaji, tapi kerja untuk negara dan rakyat.
Bayangkan satu hari nanti, perkhidmatan awam kita jadi contoh unggul dunia. Bukan hanya kerana kecekapan, tapi kerana jiwa luhur dan etika tak pernah pudar. Budaya hormat, amanah, dan dedikasi itu membentuk legasi turun-temurun. Semua bermula dengan keputusan kecil hari ini, untuk menjulang etika dan mengangkat maruah bersama.
Jika ingin dikenang sebagai penjawat awam hebat, mulakan dengan menjulang etika dan maruah diri dan organisasi. Tegur diri jika salah, perbaiki kelemahan, dan terus maju dengan hati bersih dan jiwa penuh semangat.
Ingatlah, “Integriti bukan pilihan, ia kewajipan.” “Sikap hari ini bentuk warisan esok.” “Jika kita menjulang etika, kita akan mengangkat maruah. Jika maruah terpelihara, kejayaan dan keberkatan pasti menyusul.”
-- BERNAMA
Noor Afzan Zakaria ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM