TINTA MINDA

MERDEKA DIGITAL: CABARAN INTEGRITI SEBAGAI BENTENG NEGARA

02/09/2025 11:17 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Fairus Muhamad Darus

Setiap kali tibanya 31 Ogos, kita disambut dengan kibaran Jalur Gemilang, nyanyian patriotik dan laungan “Merdeka!” yang menggema di dada rakyat Malaysia.

Namun, di sebalik semangat kemerdekaan yang diwarisi sejak 1957, timbul persoalan besar: apakah makna kemerdekaan pada era kecerdasan buatan (AI) dan dunia digital yang serba pantas ini?

Jika dahulu penjajahan bersifat fizikal, apabila tanah air dirampas, maruah bangsa diinjak. Kini cabarannya lebih halus iaitu melalui penjajahan minda, data dan maklumat.

Di sinilah isu integriti menjadi taruhan utama. Tanpa integriti, bangsa yang merdeka akan mudah tergadai sekali lagi, bukan kepada senjata, tetapi kepada algoritma kecerdasan buatan.

Integriti: Jiwa Kemerdekaan

Kemerdekaan yang kita kecapi hari ini bukanlah hadir sebagai sebuah hadiah percuma, tetapi hasil pengorbanan pejuang yang berjuang dengan kejujuran, maruah dan integriti.

Mereka meletakkan kepentingan bangsa melebihi kepentingan diri. Nilai ini sepatutnya menjadi roh yang membimbing negara merdeka.

Namun, realitinya hari ini amat membimbangkan. Gejala rasuah, penyelewengan kuasa, plagiarisme, serta budaya mengambil jalan pintas semakin menular.

Apabila integriti runtuh, kemerdekaan yang dilaungkan hanya tinggal pada nama sahaja. Negara pula akan dibelenggu dengan penjajahan bentuk baharu.

Kecerdasan Buatan: Peluang atau Ancaman?

Kehadiran kecerdasan buatan pada masa kini telah mengubah wajah dunia. Dari bidang pendidikan, kesihatan, perniagaan hingga politik, kecerdasan buatan memainkan peranan penting.

Namun begitu, kecerdasan buatan ini seumpama pisau bermata dua, ia boleh menjadi alat kebaikan atau sebaliknya.

Di satu sisi, alat kecerdasan buatan ini berupaya meningkatkan kecekapan dan produktiviti serta integriti sesuatu aktiviti. Namun pada sisi yang lain pula, kecerdasan buatan juga membuka ruang besar untuk berlaku ketidakjujuran.

Penyalahgunaan kecerdasan buatan melalui propaganda digital dan palsu tulen (deepfake) boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Begitu juga plagiarisme akademik dengan bantuan kecerdasan buatan, yang akhirnya mencalar nilai keaslian ilmu.

Maka, timbulah persoalan atau cabaran, apakah alat kecerdasan buatan menjadi sahabat yang memperkukuh kemerdekaan, atau penjajah baharu yang meruntuhkan integriti bangsa?

Kemerdekaan Digital dan Tanggungjawab Kita

Era kecerdasan buatan ini menuntut kita memahami bahawa kemerdekaan bukan lagi sekadar bebas dari penjajahan fizikal.

Ia kini bermakna kebebasan digital yang disertai tanggungjawab moral. Negara yang merdeka tetapi hilang integriti dalam penggunaan teknologi, hakikatnya sedang membuka pintu kepada penjajahan baharu.

Merdeka bermaksud berani menolak penyelewengan, sama ada dalam urusan politik, ekonomi, mahupun dunia maya.

Merdeka bermaksud mampu membina teknologi yang adil, telus dan beretika. Merdeka bermaksud tidak tunduk kepada kuasa asing yang mengawal data kita, sebaliknya berani membina ekosistem digital berasaskan nilai bangsa sendiri.

ILMU: Buatan Malaysia

ILMU – singkatan kepada Intelek, Luhur, Malaysia, Untukmu (ILMU 1.0) , merupakan model bahasa besar (LLM) bertaraf dunia yang dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan.

Platform chatbot kecerdasan buatan ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas merasmikan Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025 pada awal Ogos yang lalu.

Kehadiran ILMU 1.0 bukan sekadar projek teknologi, tetapi simbol perjuangan digital Malaysia. Jika dahulu pejuang kemerdekaan mengangkat senjata mempertahankan tanah air, kini para teknokrat kita berjuang mempertahankan kedaulatan data dan bahasa kebangsaan.

Dengan ILMU, rakyat Malaysia berpeluang berinteraksi dengan teknologi kecerdasan buatan yang memahami budaya, nilai, dan identiti kita sendiri.

Lebih penting lagi, ILMU 1.0 membolehkan proses pendidikan lebih inklusif dengan membantu pengguna menguasai ilmu dalam bahasa Melayu dan bahasa tempatan lain. Malahan, kedaulatan data digital negara dapat dipertahankan dengan mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing yang mengawal maklumat sensitif.

Melalui ILMU juga pengukuhan identiti nasional dapat diterapkan apabila kecerdasan buatan yang dibangunkan menjiwai nilai integriti, etika, dan budaya Malaysia.

Inilah bukti bahawa kemerdekaan era digital tidak hanya bergantung pada bendera yang berkibar, tetapi juga pada kemampuan negara membina teknologi sendiri. ILMU menjadi lambang bahawa Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pencipta yang berdaulat.

Seruan Kemerdekaan Baharu

Sempena sambutan hari kemerdekaan ini, marilah kita melihat perjuangan integriti dan penggunaan AI beretika sebagai lanjutan daripada perjuangan 1957. Jika generasi terdahulu berjuang dengan darah dan keringat, generasi kini mesti berjuang dengan ilmu, data dan integriti digital.

Integriti ialah benteng sebenar kemerdekaan. Tanpanya, bendera yang berkibar tidak lebih sekadar kain berwarna, manakala laungan merdeka hanya gema kosong.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita mesti berikrar untuk menolak segala bentuk penyelewengan walaupun kecil.

Menggunakan teknologi, termasuk AI, secara beretika. Memastikan generasi muda dididik bukan sahaja dengan ilmu, tetapi dengan nilai kejujuran, akauntabiliti dan tanggungjawab.

Merdeka tanpa integriti adalah kemerdekaan palsu. Kecerdasan buatan tanpa etika pula adalah teknologi yang membawa bencana. Maka, cabaran kita hari ini bukan sekadar mempertahankan tanah air, tetapi mempertahankan maruah bangsa di alam maya dan dunia nyata.

Semoga semangat kemerdekaan kali ini meniupkan tekad baharu bagi membina Malaysia yang bukan sahaja maju dengan teknologi, tetapi teguh dengan integriti. Hanya dengan integriti, kemerdekaan kita akan kekal bermakna.

-- BERNAMA

Fairus Muhamad Darus ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)