Selain daripada 31 Ogos, tarikh 16 September juga merupakan salah satu tarikh penting dalam sejarah negara kita.
Pada tarikh berkenaan 62 tahun yang lalu pada 16 September 1963, sebuah gagasan dikenali sebagai Malaysia telah terbentuk dengan bergabungnya Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) dengan Sabah dan Sarawak.
Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak seharusnya melupakan sejarah pembentukan gagasan Malaysia genap 62 tahun yang lalu.
Pembentukan Malaysia
Usaha ke arah pembentukan gagasan Malaysia telah dimulakan oleh para pemimpin terdahulu tanah air kita yang diketuai oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al – Haj yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Gagasan Malaysia ini tidak mungkin akan berlaku tanpa adanya usaha serta komitmen yang telah diambil oleh para pemimpin yang ada di Semanjung serta mereka yang berada di Sabah dan Sarawak pada ketika itu.
Segala usaha dan komitmen yang telah diambil oleh semua pemimpin terdahulu terhadap pembentukan gagasan Malaysia ini perlu dikenang dan dihargai oleh setiap warga negara Malaysia buat selama-lamanya.
Tiga perkara penting Malaysia
Apabila membicarakan soal Malaysia, terdapat tiga perkara penting yang perlu diberi perhatian. Pertama ialah nama rasmi negara kita iaitu Malaysia.
Menurut Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang yang paling tinggi sekali dalam negara kita, negara ini bernama Malaysia dan bukannya nama-nama lain.
Perkara 1 (1) Perlembagaan Persekutuan telah jelas menetapkan bahawa “Persekutuan dinamai Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris”.
Oleh yang demikian, tidak wajar untuk mana – mana pihak mengunakan nama lain untuk negara kita selain daripada nama Malaysia.
Keduanya pula tidak wajar juga mana – mana pihak menafikan kewujudan mana – mana negeri dalam Malaysia. Mengikut Perlembagaan Persekutuan terdapat 13 buah negeri dan tiga wilayah Persekutuan yang membentuk Malaysia.
Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan menetapkan negeri – negeri persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu. Perkara 1 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tertakluk kepada Fasal (4), wilayah-wilayah bagi setiap negeri yang disebut dalam Fasal (2) ialah wilayah-wilayah yang termasuk di dalam negeri-negeri itu sebaik sebelum Hari Malaysia.
Perkara 1 (4) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukan bahawa wilayah bagi negeri Selangor tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 [Akta A206] dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 [Akta A1095] dan wilayah bagi negeri Sabah tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1984 [Akta A585], dan kesemua Wilayah Persekutuan tersebut hendaklah menjadi wilayah – wilayah Persekutuan.
Penerangan yang diberikan ini semua jelas menunjukkan kepada kita bahawa Perlembagaan Persekutuan melindungi asas kewujudan Malaysia.
Setiap rakyat Malaysia harus menghormati segala ketetapan yang telah ditentukan dibawah Perlembagaan Persekutuan ini.
Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana – mana pihak yang masih berdegil ingin menafikan kewujudan Malaysia atau kewujudan mana – mana negeri dalam Malaysia mengikut peruntukan undang – undang yang ada.
Sekiranya tiada tindakan tegas diambil terhadap perkara ini nescaya negara kita akan menjadi huru – hara dan kewujudan Malaysia itu sendiri tidak akan bertahan lama.
Ketiga, Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Walaupun terdapat sesetengah pihak yang ingin menafikan Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum dan agama hanya kerana perkara ini tidak jelas termaktub dibawah Perlembagaan Persekutuan, namun hakikatnya Malaysia memang sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Malaysia negara unik
Sebagai rakyat Malaysia, kita harus menghargai kepelbagaian kaum dan agama yang ada dalam negara ini. Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana negara kita memiliki masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni buat sekian lama.
Walaupun terdapat sedikit perbezaaan antara masyarakat dalam negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama ini, ia tidak bermakna kita semua tidak dapat hidup bersama dengan aman dan harmoni sebagai sebuah masyarakat didalam sebuah negara.
Kita harus mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di negara – negara lain dimana masyarakat mereka sering bergaduh sesama mereka sendiri walaupun negara mereka hanya memiliki sejumlah kecil kaum dan agama yang berlainan.
Setiap individu adalah unik, setiap kaum juga adalah unik. Setiap daripada kita tidak diciptakan oleh Tuhan dengan sempurna, semua pihak memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Ketepikan perbezaan, bersatu hati
Oleh yang demikian, adalah penting supaya kita semua dapat ketepikan sebarang perbezaaan kecil yang ada serta bersatu hati bagi saling lengkap melengkapi antara satu sama lain bagi membawa kebaikan buat diri kita semua serta membawa kemajuan pada negara kita.
Perkara ini juga jelas dinyatakan dalam agama Islam. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-Hujurat: Ayat 13 yang bermaksud “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku – suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.
Ayat Qur’an ini jelas menunjukkan kepada kita semua bahawa Tuhan telah ciptakan pelbagai kaum antara umat manusia supaya kita dapat saling kenal-mengenali antara satu sama lain serta hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni bukan untuk saling membenci atau menghina.
Dengan wujudnya kepelbagaian kaum ini, ia menjadi faktor penting dalam mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara aman dan makmur serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju pada masa akan datang. Semangat kerjasama, toleransi dan saling hormat – menghormati antara satu sama lain antara semua kaum dapat menjamin kestabilan dan keharmonian dalam negara kita untuk selama – lamanya.
Bersekutu bertambah mutu. Selamat meraikan Hari Malaysia.
-- BERNAMA
Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)