TINTA MINDA

TIKTOK HIBURAN TERKAWAL ATAU KETAGIHAN

07/10/2025 11:59 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Muhammad Shahrul Iqram Hasriansyah

Aplikasi TikTok menjadi kegemaran ramai dalam kalangan masyarakat kerana ia tersebut bukan sekadar membolehkan pengguna memuat naik pelbagai kandungan seperti nyanyian, tarian, gelagat lucu, perkongsian kehidupan seharian, malah turut merangkumi kandungan berunsur pendidikan dan politik.

Aplikasi ini juga mampu meraih pendapatan sampingan bagi individu yang mempunyai ramai pengikut.

Hiburan atau ketagihan?

Namun, ketika nama meniti di bibir masyarakat, timbul persoalan daripada lapisan masyarakat: adakah TikTok sekadar hiburan atau menjadi satu bentuk ketagihan yang melampau?

Tidak dapat dinafikan bahawa TikTok melahirkan individu yang berpotensi dan kreatif dalam menjana idea-idea segar.

Kini, ramai golongan muda menonjolkan bakat masing-masing di platform ini. Namun begitu, kita juga perlu menilai kesan yang berpanjangan jika penggunaan aplikasi ini tidak dikawal dan mampu menyebabkan ketagihan yang tidak disedari.

Kini terdapat dalam kalangan masyarakat kita sukar untuk berpisah daripada telefon bimbit ketika makan, berada di tandas, di dalam masjid dan semasa sesi pembelajaran di kelas.

Tabiat ini menjadi tidak terkawal sehingga menjejaskan interaksi seseorang dengan persekitaran sekeliling.

Komunikasi dua hala terganggu

Akibatnya, komunikasi dua hala terganggu, hilang fokus untuk belajar, waktu tidur semakin berkurang serta mengendahkan tanggungjawab harian.

Dalam jangka masa panjang, keadaan ini berpotensi menjejaskan kestabilan emosi dan kesejahteraan hubungan sosial sesama masyarakat.

Tidak dapat disangkalkan, setiap era mempunyai bentuk hiburan dan trendnya yang tersendiri. Jika generasi sebelum ini mengenal dunia dengan teknologi klasik seperti televisyen dan radio, generasi masa kini pula lebih terdedah dengan TikTok sebagai ruang komunikasi teras dan pusat hiburan.

Namun perkara yang penting untuk dinilai ialah adakah hiburan ini terkawal atau akan menjadi mudarat untuk diri sendiri?

Islam mendidik setiap muslim perlu menjaga maruah diri, termasuk dalam aspek berpakaian dan menampilkan tingkah laku yang sopan.

Khususnya bagi wanita, menutup aurat bukan sekadar tuntutan berpakaian semata-mata, malah ia menunjukkan kehormatan diri dan pelindung daripada pandangan yang boleh mengundang fitnah.

Sekiranya kandungan yang dimuat naik mendedahkan aurat dengan jelas dengan tingkah laku dan suara yang mampu meransang nafsu lelaki, hal ini akan menyeret kepada berlakunya kemungkaran.

Sebaliknya, kandungan yang sopan dan beretika tidak sedikit pun merendahkan nilai kreativiti.

Batas syarak bukan penghalang untuk berjaya

Batas syarak bukan penghalang untuk berjaya, bahkan menjadi pelindung maruah dan harga diri. Maka setiap pencipta kandungan hendaklah cakna semula niat, kaedah penyampaian, dan penampilan diri dalam setiap idea yang akan dihasilkan. Dunia mungkin mengagumi, tetapi pandangan Allah SWT lebih utama.

Dalam masa yang sama, masyarakat juga suka berkongsi detik bahagia seperti percutian sekeluarga, wajah anak yang comel dan kelakuan pasangan yang romantik.

Penyakit Ain

Tanpa kita ketahui, kebahagiaan yang ditonjolkan kepada umum secara berlebihan boleh mengundang penyakit ‘Ain, iaitu gangguan berpunca daripada pandangan takjub atau iri hati seseorang, sama ada disedari atau tidak.

Kesan penyakit ‘Ain boleh mengakibatkan gangguan seperti jatuh sakit secara tiba-tiba, hilang keberkatan, rezeki terhalang atau hubungan mula retak.

Ini bukan sahaja datang daripada orang yang tidak menyukai kita, tetapi juga daripada pandangan orang yang terpesona tetapi tidak menyebut doa seperti MashaAllah.

Justeru itu, masyarakat hendaklah berhati-hati berkongsi kehidupan peribadi terutamanya berkaitan perkara yang sensitif seperti jodoh, anak dan harta benda. Jika kita melihat perkara yang menakjubkan, biasakan menyebut doa keberkatan.

Kebahagiaan sepatutnya kita raihkan dengan sentiasa menghadirkan rasa kesyukuran. Kesederhanaan dalam menunjukkan nikmat yang dimiliki adalah satu cara penjagaan diri dan keluarga daripada pandangan yang boleh membawa kesan yang negatif.

Kesimpulannya, menghalang anak muda daripada menggunakan TikTok bukanlah satu kaedah dalam menyelesaikan permasalahan ini.

Aplikasi ini sudah menjadi rutin daripada kehidupan harian mereka, malah boleh dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan dan dakwah jika digunakan dengan cara yang betul.

Aspek terpenting ialah mendidik mereka tentang adab dan bersederhana.

Ibu bapa perlu memberi penjelasan berkenaan bahaya dan manfaat TikTok. Guru pula boleh memanfaatkan kaedah ini untuk mendekati pelajar dengan menghasilkan kandungan pendidikan yang lebih kreatif dalam format TikTok sama ada penggunaan dalam atau luar kelas.

Pihak berkuasa yang terlibat serta penyedia aplikasi perlu memainkan peranan yang penting dalam memperketat garis panduan kandungan dalam melindungi pengguna muda daripada kandungan yang tidak sesuai seperti unsur pedofilia.

TikTok seperti pisau, ia boleh digunakan untuk memasak atau mencederakan seseorang, bergantung pada tangan yang mengawalnya. Ia boleh menjadi alat hiburan, pendidikan dan pendapatan sampingan jika digunakan secara betul dan terkawal.

Namun, jika dibiarkan tanpa hala tuju dan had masa, ia boleh menjelma menjadi bentuk ketagihan dan kerosakan akhlak.

Akhir sekali, anak muda perlu dididik untuk menjadi pengguna yang lebih matang.

Bukan semua yang menyeronokkan itu memberi manfaat dan bukan semua hiburan perlu dihayati tanpa batas. Mereka adalah cerminan yang akan menjadi ikutan untuk generasi akan datang. Cerminan itu mestilah dibina atas agama, adab dan cahaya iman.

-- BERNAMA

Muhammad Shahrul Iqram Hasriansyah ialah Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam S5, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan Merangkap Guru Takmir Wilayah Persekutuan Labuan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)