PENA WANITA

BELANJAWAN 2026: SENTUHAN 4 KOMPONEN UTAMA KE ARAH MEREALISASIKAN EKOSISTEM TVET HOLISTIK NEGARA

07/10/2025 12:06 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin

"Kita tidak boleh lagi melihat Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kedua, tetapi sebagai arus perdana yang menjamin masa depan negara,"

Demikian ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Peluncuran Dasar TVET Negara 2030 sebelum ini. Kata-kata ini adalah cerminan tekad politik tertinggi bahawa negara mesti membina satu ekosistem TVET yang inklusif, menyeluruh dan menepati realiti masa depan.

Belanjawan 2026 gerakkan iltizam TVET

Belanjawan 2026 menjadi wahana yang amat penting untuk menggerakkan iltizam itu daripada sekadar dasar kepada tindakan yang benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat.

Hari ini, Malaysia sedang mendepani cabaran besar: ketidakseimbangan pasaran kerja, pertindihan kemahiran serta kegagalan menghubungkan tenaga kerja dengan keperluan industri.

TVET bukan sekadar jawapan kepada permasalahan tersebut, tetapi menjadi medan yang berintegrasi tinggi untuk merangkai semula nilai diri setiap kelompok masyarakat.

Ia bermula dari generasi muda mahasiswa ke kelompok pekerja berpengalaman yang mahu bangkit semula hinggalah kepada wanita serta komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU) yang memerlukan ruang keadilan dalam menyumbnag bersama dalam konteks pembangunan negara.

Buka ruang luas

Pertama, Belanjawan 2026 perlu membuka ruang luas untuk golongan berpengalaman, termasuk mereka yang bersara awal atau menamatkan perkhidmatan dalam pasukan keselamatan.

Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) yang sekian lama berperanan sebagai tonggak kebajikan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), boleh dijadikan rakan strategik dalam mengarusperdanakan program reskilling dan upskilling.

Bayangkan seorang bekas anggota tentera yang selama dua dekad mempertahankan kedaulatan negara, kini diberi peluang menyesuaikan diri dengan teknologi hijau, automasi atau industri dron melalui modul TVET.

Inilah bentuk transformasi sosial yang harus dicorakkan, dari barisan hadapan pertahanan, ke barisan hadapan pembangunan ekonomi.

Kedua, mahasiswa menjadi nadi utama ekosistem TVET yang mana mereka bukan sahaja perlu dilengkapi ilmu teori tetapi juga peluang place and train yang menjamin kesinambungan antara bilik kuliah dan pasaran kerja.

TVET Place and Train dan JELITA TVET

Program seperti TVET Place and Train serta JELITA TVET Summit membuktikan bahawa pendekatan kolaboratif antara kerajaan, industri, dan universiti mampu mengurangkan masalah padanan pekerjaan yang sekian lama membelenggu graduan.

Apabila mahasiswa diberi ruang untuk terus menjejakkan kaki ke dunia industri sejak di bangku pengajian, mereka tidak lagi melangkah dengan ketidakpastian, tetapi dengan keyakinan yang berpaksikan kemahiran sebenar.

Ketiga, golongan wanita harus diangkat sebagai pemain utama dalam agenda TVET. Statistik semasa menunjukkan penyertaan wanita dalam bidang TVET masih sekitar 38 peratus, lebih rendah berbanding beberapa negara maju yang telah mencecah 50 hingga 60 peratus.

Melalui inisiatif JELITA, kerajaan bukan sahaja memberi fokus kepada peluang high TVET yang berskala tinggi tetapi juga ruang pekerjaan fleksibel termasuk bekerja dari rumah berasaskan teknologi.

Wanita Malaysia terbukti berdaya tahan; mereka mampu menyeimbangkan tanggungjawab keluarga dengan keterlibatan ekonomi. Justeru, Belanjawan 2026 mesti menjadi pemangkin yang mengangkat potensi wanita, bukan sebagai pengisi angka, tetapi sebagai peneraju utama dalam industri digital, robotik dan tenaga boleh diperbaharui.

Komuniti Orang Kurang Upaya

Keempat, komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) juga tidak boleh dipinggirkan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini menegaskan komitmen kerajaan untuk memperluas akses OKU kepada peluang TVET, termasuk melalui sokongan fasiliti dan modul khas yang mesra kecacatan.

Belanjawan 2026 harus menterjemah janji itu dengan menyediakan dana khusus bagi infrastruktur latihan, insentif kepada majikan, serta laluan kerjaya yang setara. Apabila OKU diberi peluang adil untuk menyumbang, ekosistem TVET Malaysia akan lebih berwarna-warni dan kaya dengan nilai kemanusiaan.

Jelas bahawa Belanjawan 2026 bukan sekadar angka atas kertas, tetapi medan ujian bagi keberanian politik untuk membina ekosistem TVET yang holistik melibatkan penglibatan menyeluruh 4 dimensi tersebut.

Dari bekas perajurit yang mencari peluang kedua, mahasiswa yang sedang membina masa depan, wanita yang ingin melangkah lebih jauh, hinggalah kepada komuniti OKU yang menuntut ruang setara, semuanya adalah pelengkap kepada satu gambaran besar: Malaysia MADANI yang inklusif, produktif, dan berdaya saing di pentas global.

Akhirnya, seperti ungkapan Perdana Menteri, TVET tidak lagi boleh dianggap pilihan kedua.

Belanjawan 2026 mesti menjadikannya arus perdana kehidupan nasional, di mana setiap rakyat, tanpa mengira latar, diberi peluang sama rata untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Inilah janji sebuah belanjawan yang benar-benar menyantuni rakyat dari rakyat untuk rakyat, demi masa depan bersama.

-- BERNAMA

Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin ialah Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)