TINTA MINDA

STATISTIK DAN DATA BERKUALITI UNTUK SEMUA

21/10/2025 11:14 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Nurul Nisa’ Khairol Azmi, Fairus Muhamad Darus

“Statistik dan Data Berkualiti untuk Semua” merupakan tema sambutan Hari Statistik Sedunia yang diraikan setiap lima tahun sekali di seluruh dunia.

Tema ini membawa mesej besar bahawa data bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi asas kepada kemajuan masyarakat dan kesejahteraan negara.

Pemilihan tema ini menekankan dua perkara asas iaitu kualiti data dan keterangkuman akses.

Dalam dunia yang sarat dengan maklumat, cabaran bukan lagi kekurangan data, tetapi memastikan data yang digunakan sahih, tepat dan bebas daripada manipulasi.

Pada masa yang sama, “untuk semua” bermaksud data perlu mudah diakses dan dimanfaatkan oleh seluruh rakyat, bukan hanya oleh pembuat dasar atau penyelidik.

Data Ibarat Kompas Kemajuan Negara

Data ibarat kompas kemajuan yang memandu arah pembangunan sesebuah negara.

Tanpa data yang berkualiti, keputusan yang dibuat berisiko tersasar.

Pengalaman ketika pandemik COVID-19 membuktikan bagaimana statistik kes harian, kadar vaksinasi dan kapasiti hospital menjadi panduan penting dalam membuat keputusan serta menyelamatkan nyawa.

Begitu juga dalam mengawal inflasi. Statistik harga barang dan Indeks Harga Pengguna (CPI) membantu kerajaan menilai pola perbelanjaan rakyat serta merangka dasar subsidi bersasar yang lebih adil.

Dalam konteks program bantuan seperti BUDI95, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menggunakan data sosioekonomi untuk memastikan bantuan disalurkan kepada penerima yang benar-benar layak.

Melalui integrasi dengan sistem PADU (Pangkalan Data Utama), data pendapatan, lokasi dan keperluan isi rumah dapat disemak bagi mengelak pertindihan bantuan.

Langkah ini menunjukkan bagaimana statistik berkualiti menjadikan dasar awam lebih efisien, saksama dan telus.

DOSM Tonggak Akses Data Rakyat

Sebagai agensi rasmi negara, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terus komited memastikan rakyat mendapat akses kepada maklumat yang sahih.

Melalui inisiatif digital seperti eStatistik, StatsDW, dan portal Open Data, orang ramai kini boleh memperoleh data rasmi negara secara percuma.

Sumber ini boleh digunakan oleh pelajar, usahawan, penyelidik dan masyarakat umum untuk menilai trend ekonomi, harga barangan, kadar pekerjaan atau isu sosial.

Namun, masih ramai belum menyedari nilai besar data rasmi ini.

Oleh itu, rakyat digalakkan melayari laman www.dosm.gov.my dan meneroka pelbagai laporan serta infografik yang mudah difahami.

Memanfaatkan data DOSM bukan sekadar menambah ilmu, tetapi juga membolehkan rakyat membuat keputusan harian berasaskan fakta contohnya seperti merancang perniagaan, memahami pasaran, atau menilai keadaan ekonomi semasa.

Masyarakat Celik Data dan Generasi Baharu

Tema tahun ini juga menyeru agar masyarakat menjadi lebih celik data.

Generasi muda perlu didedahkan kepada kemahiran mentafsir dan menganalisis data sejak di bangku sekolah.

Melalui pendekatan pembelajaran STEM, pelajar boleh dilatih menggunakan aplikasi pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk membaca pola prestasi atau meramal keputusan eksperimen.

Sekolah dan universiti boleh membangunkan dashboard data bagi menilai prestasi pelajar dan mengenal pasti bidang yang memerlukan intervensi.

Budaya membuat keputusan berasaskan data inilah yang akan melahirkan generasi berfikir kritikal, berasaskan bukti dan bersedia menghadapi masa depan digital.

Cabaran dan Kepercayaan Dalam Konteks Global

Di peringkat antarabangsa, dunia kini menekankan penggunaan data berkualiti dalam menangani isu perubahan iklim, perdagangan karbon dan keselamatan digital.

Malaysia turut melangkah seiring melalui pelaksanaan National Energy Transition Roadmap (NETR) dan Bursa Carbon Exchange (BCX) bagi mengurus data pelepasan karbon dan menarik pelaburan hijau.

Dalam masa yang sama, sistem Pengenalan Digital (Digital ID) dan ekonomi digital menuntut jaminan keselamatan maklumat rakyat.

Justeru, kepercayaan terhadap integriti data menjadi keutamaan.

DOSM terus memperkukuh piawaian melalui kerjasama antarabangsa dengan Bank Dunia, IMF, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memastikan statistik Malaysia diiktiraf di peringkat global.

Menutup Jurang, Mengukuh Literasi Data

Walaupun banyak kemudahan disediakan, jurang digital antara bandar dan luar bandar masih perlu diatasi agar manfaat data benar-benar dirasai oleh semua.

Kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta perlu berganding bahu memperluas literasi data melalui bengkel, latihan komuniti dan aplikasi mudah alih mesra pengguna.

Data rasmi DOSM sepatutnya menjadi rujukan utama rakyat dalam memahami isu semasa.

Dengan kebiasaan menggunakan data sahih, masyarakat lebih berdaya menangkis maklumat palsu serta mampu menilai sesuatu isu dengan lebih objektif.

Data untuk Rakyat, Negara Lebih Maju

Hari Statistik Sedunia tahun ini mengingatkan kita bahawa data bukan sekadar nombor, tetapi nadi kemajuan dan kesejahteraan negara.

Statistik yang berkualiti menjamin dasar lebih adil, keputusan lebih tepat dan kepercayaan rakyat yang lebih kukuh.

Apabila rakyat mula memanfaatkan kemudahan data rasmi yang disediakan oleh DOSM, kita bukan hanya pengguna maklumat, tetapi penyumbang kepada masa depan Malaysia yang berpaksikan ilmu, bukti dan integriti.

-- BERNAMA

Dr Nurul Nisa’ Khairol Azmi ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA dan Fairus Muhamad Darus ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)