Malaysia kini berada pada landasan penting dalam perjalanan meningkatkan daya saing negara di peringkat global. Menurut laporan World Competitiveness Ranking 2025 yang diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD), Malaysia berjaya melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke 23 daripada 69 negara, iaitu pencapaian terbaik sejak tahun 2020.
Peningkatan ini dipacu oleh beberapa faktor utama termasuk prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan yang semakin baik.
Kedudukan ini mencerminkan kejayaan reformasi struktur dan tadbir urus yang sedang dilaksanakan serta kesediaan Malaysia untuk bersaing dalam ekonomi global.
Namun begitu, untuk mengekalkan momentum ini, aspek celik data dalam kalangan rakyat perlu diberi perhatian serius kerana masyarakat yang celik data akan menjadi tunjang kepada daya saing negara pada masa hadapan.
Generasi Celik Data: Satu Keperluan
Celik data bukan sahaja melibatkan kebolehan membaca angka atau graf, tetapi juga keupayaan mengenal pasti corak, membuat ramalan, menilai kesahihan maklumat dan menjadikannya asas kepada keputusan yang dibuat.
Dalam era digital yang dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) , Internet pelbagai benda (IoT) serta analisis data raya, keupayaan ini bukan lagi pilihan tetapi suatu kemestian.
Negara yang rakyatnya celik data akan lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi, sosial dan politik kerana keputusan yang dibuat adalah berasaskan bukti dan fakta.
Dalam konteks ekonomi, masyarakat celik data boleh memperkukuh ekosistem perniagaan. Usahawan kecil dan sederhana misalnya boleh menggunakan data pasaran, tingkah laku pengguna serta trend industri untuk merangka strategi pemasaran yang lebih tepat.
Syarikat besar pula boleh memanfaatkan analisis data untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos dan mengenal pasti peluang baharu. Apabila perniagaan lebih berdaya saing, ia akan menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Hal ini sejajar dengan kedudukan Malaysia dalam WCR 2025 yang menunjukkan peningkatan prestasi ekonomi hasil daripada penggunaan maklumat dan data yang lebih sistematik.
Selain itu, celik data juga penting dalam konteks tadbir urus negara. Dasar awam yang dirangka berdasarkan bukti dapat meningkatkan keberkesanan perbelanjaan kerajaan serta mengurangkan pembaziran.
Misalnya, data berhubung tahap kemiskinan, jurang pendidikan atau pengangguran belia boleh digunakan untuk menyusun strategi pembangunan yang lebih bersasar.
Rakyat pula yang celik data akan lebih memahami asas di sebalik sesuatu dasar sekali gus dapat menilai keberkesanan pelaksanaannya. Situasi ini akan mewujudkan budaya semak dan imbang yang lebih matang serta mengukuhkan demokrasi.
Cabaran Celik Data
Dalam bidang kesihatan, celik data amat penting untuk membina masyarakat yang lebih peka terhadap maklumat kesihatan awam. Masyarakat yang memahami data kesihatan lebih bersedia untuk mematuhi garis panduan, mengambil langkah pencegahan dan membuat keputusan yang tepat demi keselamatan diri serta keluarga.
Justeru, celik data bukan sahaja memberi manfaat dari segi ekonomi dan tadbir urus, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan sosial serta keselamatan negara.
Bagaimanapun, usaha membina masyarakat celik data tidak bebas daripada cabaran. Jurang digital antara bandar dan luar bandar masih wujud di Malaysia. Menurut data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), liputan internet di kawasan bandar jauh lebih baik berbanding luar bandar.
Keterbatasan akses kepada internet berkelajuan tinggi dan peranti digital menyebabkan sebahagian masyarakat tidak dapat memanfaatkan potensi data secara optimum.
Tambahan pula, tahap literasi statistik dan teknologi masih rendah dalam kalangan segmen tertentu masyarakat terutama golongan berusia dan berpendapatan rendah. Jika isu ini tidak ditangani, jurang pengetahuan akan semakin melebar dan menjejaskan usaha membina masyarakat celik data secara menyeluruh.
Selain jurang digital, cabaran lain ialah aspek privasi dan keselamatan data. Peningkatan kes kebocoran maklumat peribadi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
Jika keyakinan terhadap keselamatan data tidak dipulihkan, masyarakat mungkin enggan menggunakan atau berkongsi data walaupun ia boleh memberi manfaat.
Wujudkan Dasar dan Undang-undang Perlindungan Data
Oleh itu, dasar dan undang-undang perlindungan data yang lebih tegas perlu digubal serta dikuatkuasakan bagi memastikan hak rakyat sentiasa terpelihara.
Pendidikan mengenai etika penggunaan data juga penting supaya masyarakat memahami tanggungjawab mereka ketika mengakses atau berkongsi maklumat.
Untuk mengatasi cabaran ini, strategi membina masyarakat celik data perlu dilaksanakan secara holistik. Pertama, pendidikan literasi data perlu dimulakan sejak di bangku sekolah.
Kurikulum seharusnya merangkumi asas statistik, pemikiran logik, analisis maklumat serta keupayaan menilai kesahihan data. Pendedahan awal ini akan melahirkan generasi yang terbiasa menggunakan data dalam membuat keputusan.
Kedua, latihan berterusan untuk golongan dewasa perlu diperluaskan melalui kursus dalam talian, bengkel komuniti dan program anjuran agensi kerajaan serta swasta.
Langkah ini membolehkan mereka yang berada dalam pasaran kerja mahupun sudah bersara untuk terus meningkatkan keupayaan mereka dalam era digital.
Kerajaan juga perlu memperkukuh dasar data terbuka yang membolehkan rakyat mengakses maklumat awam secara telus dan mesra pengguna.
Data yang terbuka memberi peluang kepada penyelidik, pengusaha teknologi dan badan bukan kerajaan untuk membangunkan penyelesaian inovatif berasaskan maklumat sebenar.
Penyampaian Maklumat Berintegriti Tanggungjawab Semua Pihak
Dalam masa yang sama, media massa dan platform digital perlu memainkan peranan sebagai penyampai maklumat yang berintegriti.
Penyediaan laporan berbentuk infografik, visualisasi data dan analisis yang mudah difahami akan membantu masyarakat menilai isu secara lebih objektif dan mengurangkan penularan maklumat palsu.
Sektor swasta turut mempunyai peranan besar dalam menjayakan agenda celik data. Industri teknologi boleh menyediakan platform analisis data yang mudah diakses oleh perusahaan kecil dan sederhana.
Syarikat korporat pula boleh memperkenalkan latihan literasi data untuk pekerja mereka sebagai sebahagian daripada pembangunan sumber manusia.
Universiti dan institusi penyelidikan wajar bekerjasama dengan kerajaan serta industri untuk menghasilkan modul pembelajaran, kajian serta program kesedaran berkaitan data.
Pendekatan rentas sektor ini akan memastikan bahawa usaha membina masyarakat celik data tidak hanya bergantung kepada kerajaan tetapi dikongsi oleh semua pihak.
Masyarakat Celik Data, Tingkat Daya Saing Negara
Pengalaman negara maju membuktikan bahawa masyarakat yang celik data lebih inovatif, produktif dan berdaya tahan. Misalnya, negara seperti Finland dan Singapura menekankan pendidikan literasi data sejak peringkat awal persekolahan, sekali gus melahirkan tenaga kerja yang mampu menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Malaysia boleh mencontohi pendekatan ini dengan mengambil kira konteks tempatan, termasuk kepelbagaian sosioekonomi dan tahap infrastruktur digital.
Masyarakat celik data juga berupaya meningkatkan keupayaan negara dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, keselamatan makanan dan geopolitik.
Data berkaitan cuaca, pertanian dan ekonomi antarabangsa boleh membantu negara membuat ramalan yang lebih tepat dan merancang strategi mitigasi yang berkesan. Apabila rakyat memahami dan menyokong keputusan yang dibuat berdasarkan data, proses pelaksanaan dasar akan lebih lancar dan berkesan.
Kesimpulannya, masyarakat celik data perlu dijadikan teras dalam usaha meningkatkan daya saing negara. Kedudukan Malaysia yang semakin baik dalam ranking daya saing dunia membuktikan bahawa negara berada di landasan yang betul.
Namun, untuk terus melonjak ke kedudukan lebih tinggi, rakyat perlu dilengkapkan dengan kemahiran memahami, menilai dan menggunakan data.
Dengan adanya masyarakat yang celik data, sektor ekonomi akan lebih berdaya saing, tadbir urus lebih telus, kesejahteraan sosial lebih terjamin dan negara lebih bersedia menghadapi cabaran global.
Inilah masanya untuk Malaysia menjadikan celik data sebagai agenda nasional demi memastikan kejayaan yang mampan dan masa depan yang lebih cerah.
-- BERNAMA
Profesor Dr Azme Khamis ialah Pengerusi Majlis Profesor Universiti Penyelidik Utama, Computational Intelligence and Data Sciences (CIDaS)Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) azme@uthm.edu.my