Dunia hari ini ialah dunia skrin. Kehidupan manusia semakin dipengaruhi oleh paparan digital daripada telefon pintar hingga media sosial, daripada hiburan hingga pembentukan pendapat.
Budaya yang dahulunya berkembang secara perlahan melalui pendidikan, tradisi dan pengalaman hidup, kini dibentuk melalui algoritma.
Satu video berdurasi tiga puluh saat di TikTok misalnya, berupaya mencipta norma sosial baharu dalam tempoh kurang sehari. Trend tarian, resipi segera, petikan motivasi, cabaran berbahaya, malah pandangan peribadi yang tidak berasaskan ilmu kini menjadi rujukan sosial yang diterima ramai.
Ia tersebar meluas tanpa penapisan fakta atau penilaian kritis dalam membentuk cara kita bercakap, berfikir dan bertindak, sering kali tanpa disedari.
Budaya Viral
Fenomena ini bukan sahaja terbatas kepada belia. Golongan dewasa, ibu bapa, malah tokoh masyarakat dan ahli politik turut terlibat dalam menormalisasi budaya viral sebagai usaha untuk menyesuaikan diri dengan landskap digital masa kini.
Ini mencetus persepsi bahawa apa yang tular mesti betul, apa yang ramai ikut pasti relevan, dan apa yang mendapat perhatian wajar dijadikan ikutan.
Apa yang membimbangkan ialah budaya viral sering bersifat pantas, dangkal dan kurang nilai pendidikan. Dalam sosiologi, fenomena ini dikenali sebagai budaya pantas, iaitu bentuk budaya yang berkembang bukan melalui pemikiran mendalam, tetapi hasil peniruan yang segera.
Ia tidak menggalakkan pertimbangan yang kritis, sebaliknya mendorong pengulangan tanpa kefahaman. Masyarakat yang hidup dalam ekosistem ini cenderung meniru tanpa menilai, dan lebih tertarik kepada gaya luaran berbanding makna sebenar di sebaliknya.
Sebagai contoh, istilah seperti healing, soft life atau quiet quitting yang popular di media sosial sering disalah erti. Dalam konteks asal, istilah ini datang daripada perbincangan ilmiah dalam bidang psikologi atau kesihatan mental.
Namun apabila dikongsi tanpa konteks atau diterjemah secara bebas, ia menjadi slogan kosong. "Healing" digunakan sebagai alasan untuk mengelak tanggungjawab, manakala "quiet quitting" dijadikan justifikasi untuk bersikap sambil lewa di tempat kerja.
Maksud asalnya yang berkait dengan penjagaan diri dan sempadan kerja yang sihat akhirnya hilang dalam gelombang peniruan dan ‘ikut suka.’
Sistem Nilai Baharu - Populariti Dan Persepsi
Lebih membimbangkan, budaya viral turut membentuk sistem nilai baharu yang berpaksikan populariti dan persepsi. Siapa lebih cantik, siapa lebih kaya, siapa kelihatan paling "real" di media sosial. Ini mendorong kepada tekanan sosial yang tinggi, perbandingan diri secara tidak sihat, serta ketidakseimbangan nilai kendiri.
Masyarakat mudah terikut bukan kerana lemah, tetapi kerana mahu diterima. Inilah bentuk kelangsungan sosial yang tidak lagi diasaskan pada nilai, tetapi berdasarkan tontonan dan algoritma.
Dalam aspek pengetahuan pula, budaya viral telah mengganggu kejelasan antara fakta dan pendapat. Dalam era visual, suara yang lantang sering dianggap benar.
Video yang menarik mudah diyakini sebagai fakta. Pempengaruh yang petah berkata-kata lebih dipercayai berbanding pakar dalam bidang yang tidak popular.
Akibatnya, wujud fenomena "pakar segera" dalam pelbagai bidang seperti dari kesihatan ke kewangan, dari agama ke undang-undang. Mereka bukan sahaja membentuk pendapat awam, tetapi juga menjejaskan autoriti ilmu yang sebenar.
Namun begitu, kritikan terhadap budaya viral tidak harus membawa kepada penolakan mutlak. Media sosial tetap merupakan alat yang kuat dan berpengaruh. Ia mampu membentuk masyarakat yang lebih prihatin, menyebarkan kesedaran serta mencetus gerakan sosial.
Kempen pendermaan darah, bantuan bencana, kesedaran kesihatan mental dan isu keadilan sosial antara contoh positif yang pernah digerakkan dengan berkesan melalui platform digital.
Fenomena ini membuktikan bahawa apabila media sosial digunakan secara bertanggungjawab, budaya viral mampu memobilisasi kebaikan kolektif dan membina empati merentas sempadan.
Apa yang diperlukan adalah pemikiran kritis, kawalan diri dan kesedaran nilai. Pembangunan insan dalam era digital bukan sekadar celik teknologi, tetapi keupayaan memilih untuk menyebarkan maklumat yang sahih, bermanfaat dan beretika.
Literasi digital yang berakar pada nilai insani perlu diterapkan melalui sistem pendidikan, keluarga, media dan komuniti. Kita perlu membina keupayaan untuk menapis sebelum menerima, memahami sebelum berkongsi dan bertanya sebelum mempercayai.
Budaya Digital
Selari dengan keperluan hidup hari ini, budaya digital tidak harus ditolak, tetapi perlu dipandu dengan nilai. Inilah cabaran utama dalam pembangunan insan masa kini iaitu bagaimana menjadikan teknologi sebagai pemangkin kepada kesedaran, bukan kekeliruan; dan sebagai landasan kematangan sosial, bukan penyebab kehilangan arah.
Masyarakat yang matang bukanlah masyarakat yang menolak perubahan, tetapi yang mampu menilai sebelum mengikuti. Celik digital tidak cukup tanpa celik nilai.
Sebagai masyarakat yang semakin terdedah kepada pengaruh budaya pantas, kita perlu mencari keseimbangan antara keterbukaan kepada pembaharuan dan kebijaksanaan dalam membuat pilihan.
Tidak salah mencuba trend, asalkan tidak hilang pedoman. Tidak salah mengikuti perkembangan, asalkan tidak hilang jati diri. Algoritma tidak seharusnya menentukan tabiat dan nilai hidup kita.
Dari TikTok kepada tabiat, kita sebenarnya sedang membentuk siapa diri kita sebagai sebuah masyarakat. Biarlah pembentukan itu berlaku dengan sedar, waras dan bertanggungjawab, bukan kerana semua orang melakukannya, tetapi kerana ia benar, bermanfaat dan perlu.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Khairunesa Isa ialah Pensyarah, Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).