NOTA KAMPUS

RELEVANSI MINGGU SUAI KENAL DI UNIVERSITI

29/10/2025 10:09 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Salmiwati Othman

Setiap tahun pada bulan September hingga Oktobe, ribuan mahasiswa baharu melangkah masuk ke universiti dengan pelbagai impian dan harapan. Setiap universiti di Malaysia akan mengadakan Minggu Suai Kenal atau dikenali sebagai Minggu Destini Siswa (MDS).

Minggu Destini Siswa (MDS) merupakan satu program orientasi yang dilaksanakan di institusi pengajian tinggi di Malaysia bagi menyambut kedatangan mahasiswa baharu.

MDS bukan sekadar pengenalan kepada dunia kampus, tetapi juga berperanan penting dalam membentuk asas kehidupan universiti yang holistik.

Walaubagaimanapun, terdapat persoalan daripada masyarakat berkaitan minggu suai kenal ini yang dirasakan ia sudah tidak lagi relevan kepada mahasiswa ? Mengapa terdapatnya tanggapan seperti itu terhadap MDS?

Stigma terhadap minggu suai kenal

Namun begitu, walaupun MDS dilihat mempunyai banyak kelebihan dan manfaat, ia tidak terlepas dari kritikan. Antaranya, terdapat pelajar yang berpendapat bahawa jadual program terlalu padat sehingga menyebabkan mereka kurang masa rehat.

Selain itu, pendekatan fasilitator yang dianggap terlalu tegas juga menjadi perbincangan, malah terdapat segelintir pelajar yang masih mengaitkan MDS dengan unsur tekanan dan buli. Malahan, minggu suai kenal dikatakan tidak menyeronokkan kerana pengisian program yang membosankan.

Realitinya, program MDS ini telah melalui banyak penambahbaikan dari semasa ke semasa. Manakala, unsur buli yang sering menjadi buah mulut adalah tidak relevan dan bercanggah dengan matlamat sebenar program ini.

Sebaliknya, MDS ini berpotensi menjadi medan yang berkesan untuk mencegah gejala buli di universiti. Melalui taklimat tatatertib, kempen kesedaran dan interaksi terbuka, pelajar baharu diajar untuk mengenal pasti dan melaporkan insiden buli.

Mahasiswa sebagai penggerak minggu suai kenal

Menurut George Enggong ak Valentine (22), pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Higien Industri dan Teknologi Keselamatan (UiTM) dari Sarawak, berpandangan pihak universiti telah menyediakan saluran khas seperti hotline aduan untuk membolehkan kes buli dilaporkan dengan cepat dan berkesan.

Selain itu, beliau menekankan pentingnya tindakan undang-undang yang tegas untuk memastikan pelaku tidak terlepas daripada hukuman setimpal. Hal ini penting untuk memastikan kampus kekal menjadi tempat yang selamat.

Dalam melaksanakan program minggu suai kenal ini, salah satu peranan penting dipikul mahasiswa adalah dilantik sebagai fasilitator pelajar yang dikenali Pemimpin Destini Siswa (PMDS).

Menurut Muhammad Aiman Hakimi Bin Mohd Borhan (21), pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Kepujian) (UiTM) dari Johor, penglibatannya sebagai PMDS adalah untuk menimba pengalaman kepimpinan, melatih diri dalam komunikasi dan pengurusan, serta menjadi sebahagian daripada barisan hadapan yang menyambut mahasiswa baharu.

Oleh itu, beliau yakin dan percaya bahawa penglibatannya sebagai PMDS mampu menjadi platform membina kemahiran kepimpinan dan komunikasi.

Bagi George Enggong pula, beliau memilih untuk mengikuti PMDS kerana ingin mengalami sendiri suasana menyambut mahasiswa baharu dalam skala besar.

Beliau turut berminat untuk memahami bagaimana setiap fasilitator PMDS melaksanakan tugas mengikut biro yang telah ditetapkan, terutama dalam menguruskan ribuan pelajar secara sistematik. Tambahan lagi, pengalaman tersebut juga sangat membantunya dalam meningkatkan tahap komunikasi.


Manfaat kepada Komuniti: Ibu bapa

Kesan minggu suai kenal juga membawa impak positif kepada komuniti luar, terutamanya ibu bapa.

Program ini memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka berada di bawah pemantauan dan bimbingan yang teratur.

Taklimat, aktiviti terancang, dan bimbingan berterusan sepanjang minggu pertama memberikan keyakinan kepada ibu bapa bahawa universiti mengambil berat tentang kebajikan pelajar baharu.

Selain itu, pelaksanaan MDS yang tersusun mencerminkan bahawa universiti bukan hanya tempat pengajian, tetapi juga institusi yang menyokong pembangunan holistik pelajar.

Ini meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap peranan institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan generasi yang berkualiti dan bertanggungjawab.

Kejayaan universiti menghasilkan minggu suai kenal yang berkualiti kepada mahasiswa akan menyebabkan ibu bapa berasa yakin terhadap keselamatan anak mereka ketika menuntut ilmu di universiti tersebut seterusnya menangkis persepsi negatif berkaitan gejala buli yang berlaku ketika sesi MDS itu berlangsung.

Transformasi MDS ke arah lebih baik

Bagi memastikan minggu suai kenal terus relevan dengan keperluan pelajar masa kini, beberapa penambahbaikan harus dilaksanakan.

Antaranya ialah menerapkan penggunaan teknologi secara menyeluruh, khususnya dengan membangunkan aplikasi mudah alih MDS yang membolehkan mahasiswa mengakses jadual, maklumat biro, lokasi program, dan notifikasi perubahan secara pantas serta mesra pengguna.

Selain itu, MDS juga boleh dilaksanakan melalui aktiviti berorientasikan interaksi, seperti simulasi pembelajaran, bengkel kemahiran insaniah, kuiz interaktif, serta sesi perkongsian kerjaya bersama tokoh inspirasi yang telah berjaya di peringkat nasional atau antarabangsa.

Aktiviti seperti ini bukan sahaja mencetuskan semangat dan minat dalam kalangan mahasiswa, tetapi juga memberi pendedahan awal kepada realiti dunia luar yang bakal mereka hadapi kelak.

Justeru itu, minggu suai kenal bukanlah satu program yang sia-sia tetapi satu program yang memperkukuhkan asas penting dalam membentuk jati diri, semangat kebangsaan, dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa di universiti.

-- BERNAMA

Dr Salmiwati Othman ialah Timbalan Pendaftar Pusat Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UiTM

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)