Setiap pagi, di segenap pelosok negara, ramai warga emas memulakan rutin harian mereka dengan menelan sejumlah pil pelbagai warna sebagai peneman setia bagi mengubati dan mengawal pelbagai penyakit kronik yang dihidapi termasuk darah tinggi, kencing manis, kolesterol dan sakit sendi.
Namun di sebalik pil-pil yang dianggap penyelamat, tersembunyi risiko senyap yang mampu mengundang bahaya lantaran mengancam kesihatan kepada golongan tersebut jika tidak diurus dengan betul.
Polifarmasi dan warga emas
Kajian menunjukkan lebih daripada 60 peratus warga emas di negara ini mengambil sekurang-kurangnya lima jenis ubat setiap hari, satu keadaan yang dikenali sebagai “polifarmasi”.
Polifarmasi bermaksud individu khususnya warga emas mengambil lima atau lebih jenis ubat pada masa yang sama, sama ada atas preskripsi doktor atau secara sendiri.
Fenomena ini sering berlaku apabila pesakit mempunyai pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi. Walaupun bertujuan untuk merawat, polifarmasi boleh meningkatkan risiko kesan sampingan, interaksi ubat, kesilapan dos, dan penurunan keberkesanan rawatan jika tidak dipantau dengan rapi.
Apabila ubat yang banyak ini diambil tanpa pemantauan rapi, maka risiko kesan sampingan kepada pesakit menjadi semakin tinggi. Malah, di antara 10 hingga 30 peratus kemasukan ke hospital dalam kalangan warga emas dilaporkan berpunca daripada masalah berkaitan ubat-ubatan (drug-related problems).
Masalah tersembunyi di rumah
Kebanyakan ahli keluarga atau penjaga beranggapan bahawa selagi ubat diambil mengikut “warna” atau “saiz” yang biasa dilihat, semuanya baik-baik sahaja. Tetapi realitinya, ramai warga emas tidak lagi mengingati nama ubat, dos atau tujuan ubat yang mereka ambil.
Terdapat juga yang mengambil ubat lama yang sudah tamat tempoh atau disimpan di dapur, terdedah kepada haba dan kelembapan.
Lebih membimbangkan, ubat dari hospital, klinik swasta, atau farmasi sering disimpan bercampur tanpa label yang jelas. Dalam keadaan sedemikian, risiko pengambilan ubat berganda (duplicate therapy) atau tertukar dos adalah sangat tinggi.
Hal ini boleh menyebabkan tekanan darah turun mendadak, gula darah menjadi terlalu rendah, atau buah pinggang terjejas akibat penggunaan ubat yang tidak lagi sesuai.
Risiko tinggi dalam kalangan warga emas
Apabila usia meningkat, fungsi hati dan buah pinggang organ yang bertanggungjawab menyingkirkan ubat dari badan turut menurun. Hal ini menyebabkan ubat berada lebih lama dalam badan, meningkatkan risiko toksik atau kesan sampingan.
Selain itu, faktor seperti penglihatan kabur, tangan bergetar, masalah ingatan, serta kekangan kewangan turut menjejaskan keupayaan warga emas untuk mengurus ubat dengan betul.
Mereka juga sering mendapat rawatan lebih daripada satu fasiliti kesihatan sama ada kerajaan atau swasta, tanpa membawa senarai ubat lengkap. Keadaan ini menyukarkan pihak doktor dan ahli farmasi berkenaan untuk mengenal pasti ubat yang bertindih atau tidak lagi diperlukan.
Peranan Ahli Farmasi: Semakan Ubat dan Home Medication Review
Di sebalik pelbagai botol dan pil yang memenuhi meja ubat warga emas, ahli farmasi berperanan penting sebagai penjaga keselamatan ubat-ubatan.
Melalui Perkhidmatan Semakan Ubat (Medication Review) dan Semakan Ubat di Rumah (Home Medication Review) atau HMR, ahli farmasi membantu menilai semula setiap ubat yang diambil bertujuan memastikan ia masih relevan, selamat, dan digunakan dengan betul.
Melalui sesi HMR, ahli farmasi akan menyemak cara penyimpanan ubat, jadual pengambilan, serta memberi tunjuk ajar kepada pesakit atau penjaga mengenai tanda-tanda kesan sampingan yang perlu diperhatikan.
Pendekatan ini terbukti dapat meningkatkan tahap kepatuhan kepada rawatan (adherence) dan mengurangkan kemasukan semula ke hospital.
Langkah tersebut bukan sekadar mengurangkan risiko tersilap makan ubat, tetapi membantu warga emas memahami fungsi setiap ubat yang mereka ambil, sekali gus meningkatkan kualiti hidup dan keberkesanan rawatan.
Peranan Keluarga dan Penjaga: Langkah Mudah di Rumah
Terdapat beberapa langkah mudah yang boleh diamalkan oleh keluarga dan penjaga dengan tujuan memastikan ubat diurus dengan selamat di rumah:
Sediakan senarai ubat terkini dan kemas kini setiap kali berjumpa doktor atau ahli farmasi.
Gunakan kotak ubat harian atau mingguan untuk mengelak kekeliruan dan tertinggal dos.
Simpan ubat di tempat yang kering, jauh daripada cahaya matahari dan capaian kanak-kanak.
Buang ubat yang tamat tempoh di farmasi, bukan ke dalam tong sampah atau sinki.
Rujuk ahli farmasi setiap kali ada pertukaran ubat atau simptom baharu.
Langkah kecil tersebut mampu memberi impak besar dalam melindungi ibu bapa atau datuk nenek daripada risiko “ubat menjadi bahaya tersembunyi” di rumah sendiri.
Kesedaran awam: ubat bukan musuh
Masyarakat perlu melihat ubat bukan sebagai beban, tetapi sebagai alat untuk mengekalkan kualiti hidup warga emas dengan syarat ia digunakan dengan betul dan selamat.
Kita juga digalakkan menjadikan ahli farmasi sebagai “rakan Kesihatan” dalam memastikan pengurusan ubat di rumah sentiasa selamat dan berkesan.
Sudah tiba masanya semua pihak termasuk ahli keluarga, penjaga, doktor, dan ahli farmasi berganding bahu memastikan ubat warga emas diurus dengan bijak dan berhemah.
Kesedaran kecil hari ini mampu membawa perubahan besar di hari esok. Dengan pengurusan ubat yang betul, kita bukan sahaja melindungi nyawa, tetapi menghadiahkan ketenangan dan kualiti hidup kepada insan tersayang agar mereka dapat menikmati usia emas dengan lebih sihat, sejahtera dan bermakna.
-- BERNAMA
Nor Liana Che Yaacob ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Farmasi, University of Cyberjaya, Cyberjaya, Selangor. Kepakaran beliau adalah dalam bidang Farmasi Klinikal Warga Emas dan Home Medication Review.