TINTA MINDA

PEMANDU MUDA DAN KESELAMATAN ZON KERJA

27/11/2025 10:28 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Ts Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff

Keselamatan jalan raya merupakan isu yang sentiasa mendapat perhatian dalam usaha melindungi pengguna jalan dan pekerja yang menjalankan tugas di sekitar kawasan lebuh raya.

Dalam konteks ini, golongan pemandu remaja sering dikenal pasti sebagai kumpulan yang paling berisiko tinggi kerana mereka masih kurang pengalaman dan kurang matang ketika membuat keputusan. Tambahan, mereka juga mudah terganggu oleh faktor luaran seperti telefon bimbit, muzik atau rakan sebaya.

Menyedari hakikat ini, seorang pakar keselamatan pengangkutan di Amerika Syarikat iaitu Tom Robins telah mengadakan sebuah program pendidikan nasional yang dinamakan Work Zone Safe. Program ini bertujuan khusus untuk mendidik pemandu muda mengenai kepentingan memandu dengan berhemah di kawasan atau zon kerja serta berkongsi jalan raya dengan petugas barisan hadapan dan pekerja jalan raya.

Matlamat Program Work Zone Safe

Program Work Zone Safe ini telah dijalankan di Amerika Syarikat disebabkan oleh jumlah kemalangan yang semakin meningkat di zon kerja atau kawasan kecemasan.

Zon kerja ini lazimnya terdiri daripada kawasan pembaikan jalan, pemasangan utiliti, penyelenggaraan lebuh raya serta situasi kecemasan yang melibatkan polis, bomba dan paramedik.

Keadaan di zon ini berbeza daripada jalan biasa, di mana laluan mungkin tiba-tiba menjadi lebih sempit, terdapat kon keselamatan dan papan tanda sementara, lampu berkelip serta pergerakan pekerja dan jentera berat.

Bagi pemandu muda yang masih belum cekap membaca perubahan trafik, zon kerja boleh menjadi tempat berlakunya kesilapan kritikal.

Ramai di kalangan mereka tidak menyedari bahawa hanya satu saat kelalaian, seperti menunduk memeriksa telefon atau gagal menurunkan kelajuan, boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian pekerja jalan raya.

Justeru, keperluan untuk melaksanakan program pendidikan yang menyeluruh bagi menangani masalah ini telah diwujudkan di sana.

Program Work Zone Safe telah dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan di kalangan pemandu remaja supaya mereka benar-benar memahami risiko ketika melalui zon kerja.

Program ini turut bertujuan mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan pekerja jalan raya, sekaligus melindungi mereka yang bekerja setiap hari demi memastikan jalan raya kekal selamat dan berfungsi.

Selain itu, program ini berhasrat membina kemahiran pemanduan yang betul dalam situasi berisiko tinggi, seperti mengenal pasti papan tanda sementara, menganggarkan jarak selamat, membuat keputusan cepat dan menyesuaikan kelajuan mengikut keadaan.

Pada masa yang sama, program ini juga menekankan pembentukan sikap pemanduan yang beretika dan penuh empati, di mana pemandu diajar untuk menghormati ruang kerja pekerja jalan raya dan memberi laluan kepada petugas kecemasan seperti polis dan bomba.

Aktiviti Work Zone Safe

Untuk mencapai matlamat tersebut, pelbagai aktiviti dijalankan di bawah program Work Zone Safe ini.

Antaranya ialah modul pembelajaran interaktif yang menggunakan video simulasi, animasi, infografik dan kajian kes kemalangan sebenar.

Bahan-bahan ini direka untuk mengajar pemandu muda mengenali tanda awal risiko, memahami maksud kon, lampu amaran dan papan tanda sementara serta mengetahui tindakan yang betul apabila menghampiri zon kerja.

Program ini juga menganjurkan sesi demonstrasi sebenar di lapangan, di mana peserta dapat melihat sendiri bagaimana pekerja menjalankan tugas mereka di tepi jalan dan bagaimana kelajuan kenderaan mampu menghasilkan tekanan angin yang membahayakan pekerja.

Latihan menggunakan simulator turut disediakan bagi mensimulasikan keadaan pemanduan dalam situasi berbahaya seperti lorong yang sempit atau kenderaan kecemasan berhenti di bahu jalan.

Melalui simulator ini, pemandu muda dapat merasai pengalaman hampir sebenar tanpa berdepan risiko fizikal.

Selain itu, program ini turut menjemput anggota polis, bomba dan paramedik untuk berkongsi pengalaman sebenar mereka di lapangan.

Cerita-cerita seperti rakan sekerja dilanggar ketika menguruskan kecemasan atau pekerja jalan raya yang maut akibat kelalaian pemandu mampu memberikan kesedaran kepada peserta.

Sesi sebegini bukan sahaja mendidik mereka, tetapi juga menyuntik rasa empati dan motivasi untuk memandu dengan lebih berhati-hati.

Tambahan lagi, program Work Zone Safe turut menjalankan kempen media melalui media sosial, poster, video pendek dan seminar komuniti bagi memastikan mesej keselamatan dapat juga disampaikan kepada masyarakat umum.

Manfaat Program Work Zone Safe

Pelaksanaan program Work Zone Safe memberikan pelbagai faedah kepada masyarakat di Amerika Syarikat.

Program ini berupaya mengurangkan kadar kemalangan di zon kerja dengan mendidik pemandu muda tentang kepentingan memperlahankan kenderaan, mematuhi papan tanda dan mengelakkan gangguan ketika memandu.

Kedua, program ini juga membantu membentuk pemandu muda sebagai generasi yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan peka terhadap keselamatan orang lain.

Pemandu yang dilatih sejak awal untuk menghormati zon kerja dan kenderaan kecemasan akan membawa budaya ini sepanjang hayat.

Ketiga, program Work Zone Safe turut memberi manfaat ekonomi kerana kemalangan di zon kerja bukan sahaja meragut nyawa, tetapi juga menyebabkan kerosakan kepada peralatan, penutupan lorong, kesesakan trafik dan kos perubatan yang tinggi.

Dengan pendidikan yang betul, kos sosial dan ekonomi ini dapat dikurangkan secara signifikan.

Dari segi penerimaan masyarakat, program Work Zone Safe mendapat sambutan yang sangat positif daripada pelbagai pihak di sana.

Sekolah menengah dan pusat latihan memandu melihat program ini sebagai pelengkap penting kepada pendidikan keselamatan jalan raya. Ibu bapa pula menyambut baik usaha ini kerana mereka bimbang tentang keselamatan anak-anak yang baru memperoleh lesen memandu.

Pihak berkuasa keselamatan jalan raya, jabatan pengangkutan dan organisasi pekerja jalan raya juga berpendapat bahawa program ini membantu mengurangkan risiko pekerjaan yang mereka hadapi setiap hari.

Malah, media dan NGO keselamatan turut memuji Work Zone Safe sebagai model pendidikan keselamatan yang holistik dan mampu menyelamatkan banyak nyawa.

Penutup

Kesimpulannya, program Work Zone Safe ialah satu inisiatif penting dalam meningkatkan keselamatan jalan raya, khususnya bagi pemandu remaja yang masih memerlukan bimbingan dan pengalaman.

Dengan gabungan modul interaktif, latihan praktikal, simulasi dan perkongsian pengalaman petugas kecemasan, program ini telah membuktikan keberkesanannya dalam membentuk pemandu muda yang lebih peka terhadap keselamatan orang lain.

Berbekalkan slogan “di sebalik setiap bendera, kon dan lampu berkelip, terdapat seorang individu atau sebuah keluarga yang perlu dilindungi”, program sebegini wajar dijadikan contoh oleh negara-negara lain termasuklah negara kita untuk membentuk masyarakat yang menghargai keselamatan sebagai asas kesejahteraan bersama.

-- BERNAMA

Prof Madya Ts Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff ialah Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)