Dalam dunia serba pantas hari ini, ChatGPT semakin menjadi teman setia ramai orang.
Ia dilancarkan kepada umum pada 30 November 2022 dan dalam tempoh hanya dua bulan, jumlahnya melonjak melebihi seratus juta pengguna aktif bulanan.
Kepantasan perkembangan ini menjadikan ChatGPT sebagai aplikasi konsumer paling pantas berkembang pada ketika itu, jauh mengatasi TikTok yang memerlukan sembilan bulan untuk sampai ke angka yang sama.
Ramai yang menggunakannya untuk menyiapkan tugasan, menulis ucapan, menyediakan laporan, malah membantu dalam membuat keputusan seharian.
Jawapan yang diberi begitu tersusun, meyakinkan dan mudah difahami. Justeru, tidak hairanlah ramai pengguna merasakan seolah-olah setiap maklum balas yang diberikan adalah benar belaka.
Namun di sudut bawah skrin, ada satu peringatan yang sentiasa tertera: “ChatGPT can make mistakes. Check important info.”
Ayat ringkas itu seperti papan tanda jalan yang kita lalui saban hari tetapi sering kita abaikan.
Lebih membimbangkan, terdapat golongan yang sangat yakin bahawa maklumat yang diberikan sentiasa benar.
Saya sendiri pernah berhadapan dengan pengguna yang mengatakan bahawa kecerdasan buatan (AI) tidak mungkin melakukan kesilapan.
Maklumat Tidak Tepat
Bagi mereka, jika ada kekeliruan sekalipun, ia berpunca daripada pengguna sendiri yang tidak memberikan arahan yang jelas.
Pandangan sebegini memperlihatkan bagaimana manusia mudah terpesona, lalu mengabaikan peringatan penting yang sudah tersedia di hadapan mata.
Hakikatnya, fakta yang diberikan adakalanya tidak tepat atau sudah lapuk.
Sering juga saya mendapati hasil kerja pelajar penuh dengan maklumat yang meragukan.
Apabila ditanya, mereka mengakui bahawa ia merupakan jawapan yang diberikan oleh ChatGPT dan mereka menerimanya bulat-bulat tanpa melakukan semakan silang.
Sebab itu pelajar perlu disedarkan bahawa mereka boleh menggunakan ChatGPT untuk membantu tugasan, namun jangan sekali-kali menjadikannya jalan pintas.
Disiplin ilmu untuk menyemak kesahihan maklumat amat penting supaya tidak berlaku kesalahfahaman dalam diri mereka.
Saya sendiri merupakan pengguna ChatGPT yang sangat aktif kerana ia amat membantu mempermudahkan urusan kerja seharian.
Saya mengakui manfaat yang diberikan oleh kecanggihan teknologi AI pada hari ini sangat besar, dan kita tidak seharusnya selesa di takuk lama dengan menolak kehadiran teknologi baharu.
Namun dalam masa yang sama, kita perlu berhati-hati dalam menggunakannya.
Ketidakkonsistenan Maklumat
Dalam bidang Kimia, kerap kali juga saya menemui kesilapan yang diberikan oleh ChatGPT.
Apabila diminta melakukan semakan, barulah ia mengakui kesilapan dan membetulkannya.
Ada juga situasi di mana jawapan yang diberi pada satu waktu salah, tetapi apabila soalan sama ditanya pada waktu lain, jawapannya betul.
Hal ini membuktikan bahawa sistem sentiasa mengemas kini corak jawapan yang lebih tepat.
Mengapa hal ini berlaku? Sebahagian orang percaya ia berpunca daripada kesilapan pengguna sendiri, seperti tanggapan golongan yang saya sebutkan di awal tadi.
Benar, apabila arahan yang diberikan kurang jelas atau tidak lengkap, jawapan yang dihasilkan ChatGPT boleh menjadi tidak menentu.
Namun begitu, itu bukanlah satu-satunya faktor. Ramai pakar AI menyedari bahawa adakalanya sistem ini menghasilkan maklumat yang kelihatan sangat meyakinkan tetapi sebenarnya tidak benar meskipun arahan telah jelas dan lengkap.
Halusinasi AI
Fenomena ini dikenali sebagai halusinasi AI, dan antara situasi popular yang dilaporkan ialah apabila ChatGPT memberikan senarai bahan rujukan yang nampak lengkap dengan nama pengarang, tajuk, tahun, dan jurnal tetapi rujukan itu sebenarnya tidak wujud.
Inilah sebabnya mengapa pengguna tidak boleh menyerahkan sepenuhnya kepercayaan tanpa semakan. Maka, sikap kritis adalah benteng utama pengguna.
Ini saya hanya membahaskan maklum balas ChatGPT berkenaan fakta akademik, belum lagi menyentuh soal cadangan atau nasihat yang diberikannya kepada pengguna.
ChatGPT sememangnya versatil kerana mampu memberikan jawapan dalam pelbagai bidang ilmu dan kehidupan.
Namun pada April 2025, dunia digemparkan dengan kes seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di California yang meninggal dunia akibat bunuh diri.
Kejadian ini kemudiannya membawa kepada saman terhadap OpenAI pada Ogos 2025, apabila ibu bapanya mendakwa ChatGPT memberikan arahan terperinci serta menggalakkan tindakan tersebut.
Insiden itu mencetuskan tekanan besar kepada OpenAI untuk memperkenalkan kawalan keselamatan lebih ketat, khususnya bagi pengguna bawah umur.
Peristiwa ini menjadi peringatan jelas bahawa teknologi secanggih mana sekalipun tetap menuntut kebijaksanaan manusia dalam menimbang setiap maklumat yang diterima.
Fenomena ini seakan mencerminkan sikap lama dalam masyarakat kita. Dahulu orang mudah terpedaya dengan petua tanpa bukti hanya kerana ia diwarisi turun-temurun.
AI Bukan Penentu Kebenaran
Kini kecenderungan itu beralih kepada jawapan yang kedengaran meyakinkan daripada teknologi moden tanpa ditapis atau disemak.
Bentuknya berubah, tetapi sikap asalnya sama iaitu meletakkan kepercayaan penuh pada sumber tanpa penilaian kritis.
Hakikatnya, AI seperti ChatGPT hanyalah alat yang berfungsi berasaskan corak data, bukannya penentu kebenaran mutlak.
Kesedaran ini penting agar kita tidak mudah terpedaya dengan gaya bahasa yang tersusun indah.
Pada akhirnya, manusialah yang harus menjadi penimbang tara, memastikan kebenaran sentiasa didahulukan berbanding kemudahan.
Peringatan kecil yang sering diabaikan itu sebenarnya mengandungi pesan besar. Teknologi boleh memberi manfaat, tetapi ia tidak pernah mengangkat beban amanah daripada manusia. Membiarkan diri hanyut dengan jawapan yang meyakinkan tanpa semakan hanyalah satu bentuk kelalaian.
Jalan paling selamat ialah kembali kepada disiplin ilmu: semak rujukan, pastikan kesahihan, dan jangan segan untuk meragui jawapan yang tampak terlalu sempurna.
Jika kita benar-benar ingin menjadi pengguna yang bijaksana, maka sudah tiba masanya kita mengambil serius peringatan yang sentiasa tertera di skrin, walaupun sering dipandang sepi.
-- BERNAMA
Che Mohd Farhan Che Mat Dusuki ialah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) yang mengajar kursus Kimia dan kursus Jati Diri.