TINTA MINDA

BARIT PULAU CAMAL, TASIK KENYIR: WARISAN MINERAL TERPINGGIR

27/11/2025 11:34 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Dony Adryansyah

Barit atau barium sulfat (BaSO₄) ialah mineral berat bukan logam yang penting dan digunakan secara meluas dalam pelbagai industri.

Namanya berasal daripada perkataan Greek barys yang bermaksud “berat”, dinamakan oleh ahli mineralogi Jerman, Dietrich Ludwig Gustav Karsten pada tahun 1800.

Mineral ini berwarna putih hingga kelabu, bersifat lutsinar hingga legap, dan memiliki graviti tentu tinggi (4.5).

Kegunaan utama barit ialah dalam industri petroleum sebagai bahan pemberat dalam cecair penggerudian untuk menstabilkan tekanan semasa penggerudian telaga minyak.

Selain itu, ia juga digunakan sebagai bahan pengisi dalam cat, plastik, getah, serta sebagai agen kontras sinar-X dalam bidang perubatan.

Dalam industri kaca dan seramik, barit menambah kekuatan dan kualiti produk.

Malaysia pernah menjadi pengeluar dan pengeksport barit yang penting, dengan lombong-lombong utamanya ialah Jenderak (Pahang), Bukit Pencuri dan Sungai Pedah (Kelantan), Sungai Trengan (Terengganu), serta kawasan yang kini telah ditenggelami air di Tasik Kenyir (Terengganu).

Pada tahun 2014, laporan Agensi Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan pengeluaran barit terakhir Malaysia sebanyak 14,456 tan metrik, menurun akibat penutupan lombong-lombong yang tidak lagi ekonomik.

Pulau Camal di Tasik Kenyir

Penemuan barit di Terengganu bermula sejak 1953 di Sungai Trengan (salah satu anak Sungai Terengganu).

Pulau Camal – satu-satunya kawasan bekas lombong barit yang masih tersingkap selepas pembentukan Tasik Kenyir – pernah beroperasi antara tahun 1980 hingga 1983 sebelum ditamatkan kerana pembinaan Empangan Kenyir.

Kini, pulau ini menjadi satu daripada 340 pulau di Tasik Kenyir dan disenaraikan sebagai geotapak dalam Kenyir Geopark.

Pulau Camal berupa kawasan berbukit setinggi 380 meter, terdiri daripada batuan sedimen berusia Karbon Akhir hingga Perm Awal (320–270 juta tahun) yang termasuk syal, batu lumpur, dan rijang dikenali sebagai Syal Kerbat – batuan tertua di kawasan Kenyir.

Aktiviti hidrotermal, tektonik, dan volkanik pada masa lalu mewujudkan persekitaran sesuai bagi pembentukan mineral barit.

Ciri dan Jenis Endapan Barit

Kajian lapangan dan analisis makmal para penyelidik UMT mendapati barit di Pulau Camal wujud dalam tiga jenis endapan utama:

  1. Endapan lapisan (stratiform) – terbentuk selari dengan lapisan batuan perumah (syal dan batulumpur), berwarna putih susu hingga kuning cerah, menunjukkan persekitaran tenang.
  2. Endapan telerang (veins) – mengisi rekahan dalam batuan perumah, berukuran kecil dan tidak seragam, terbentuk daripada cecair hidroterma.
  3. Endapan sisa (residual deposits) – hasil luluhawa daripada dua jenis endapan sebelumnya, berbentuk fragmen dan lebih tidak teratur.

Analisis mikroskop pada endapan barit menunjukkan barit sebagai mineral utama dengan kehadiran mineral lain seperti kuarza (mineral yang tahan) dan oksida besi (akibat luluhawa).

Ujian XRD menunjukkan fasa utama barit ialah barium sulfat (BaSO₄), barium (Ba) dan oksigen (O₂), manakala fasa sekunder mengandungi sulfur (S), strontium (Sr), dan kalsium (Ca).

Analisis SEM pula memperlihatkan perbezaan morfologi: endapan lapisan berpermukaan licin dan berlapis dengan kristal membentuk aggregat, endapan telerang berkristal kasar, memanjang, tidak seragam, dan tidak teratur, manakala endapan sisa menunjukkan bentuk yang lebih tidak teratur disebabkan pengaruh proses luluhawa.

Kesan Perlombongan

Perlombongan barit di Pulau Camal memberi sumbangan ekonomi kepada negeri Terengganu pada masa lalu melalui peluang pekerjaan dan hasil mineral.

Namun, aktiviti tersebut turut mengubah landskap pulau, membentuk lembah dan kolam bekas lombong.

Menariknya, salah satu bekas lombong kini menjadi tasik kecil berwarna firus yang indah, membuka peluang potensi pelancongan baru di kawasan Tasik Kenyir.

Potensi dan Masa Depan Pulau Camal

Sejak penutupan lombong, Pulau Camal ditinggalkan dan dilitupi hutan tebal, hanya menara telekomunikasi menandakan kehadiran manusia.

Walau begitu, pulau ini berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan geo- dan ekopelancongan.

Bekas lombong boleh dijadikan muzium perlombongan barit, taman tema geologi, atau pusat aktiviti lasak dan pendidikan geosains.

Tasik bekas lombong sesuai untuk aktiviti air seperti berperahu, manakala kawasan perbukitan boleh dijadikan tapak perkhemahan dan resort.

Usaha ini memerlukan kerjasama kerajaan negeri, agensi pelancongan, dan sektor swasta bagi memastikan pembangunan yang mampan serta memberi manfaat kepada komuniti tempatan di sekitar Tasik Kenyir.

Kesimpulan
Barit dari Pulau Camal pernah menjadi sumber ekonomi penting sebelum pembentukan Empangan Kenyir.

Walaupun perlombongan telah lama dihentikan, warisan geologi dan sejarahnya amatlah bernilai tinggi.

Jika dimanfaatkan terutama sebagai aset pendidikan dan pelancongan, Pulau Camal bukan sahaja berpotensi memperkukuh ekonomi setempat, tetapi juga menjadi simbol pemuliharaan sumber alam dan warisan geologi negeri Terengganu.

-- BERNAMA

Dr Dony Adryansyah ialah Pensyarah Kanan Program Geosains Marin, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)