TINTA MINDA

AUDIT PEMANGKIN KECEMERLANGAN, NILAI STRATEGIK DALAM TRANSFORMASI ORGANISASI

02/01/2026 10:41 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ts Ahmad Anwar Safwan Sidek

Audit merupakan satu proses sistematik yang dijalankan untuk menilai sejauh mana sesuatu organisasi, jabatan atau projek mematuhi garis panduan, peraturan, prosedur dan piawaian yang telah ditetapkan.

Intipati audit adalah sebagai mekanisme semak dan imbang yang memastikan urusan kewangan, operasi, serta tadbir urus sesebuah entiti berjalan dengan lancar dan berada pada landasan yang betul.

Dalam konteks pengurusan moden, audit seharusnya tidak lagi dilihat sebagai alat semata-mata untuk mencari kesalahan, tetapi sebagai platform penting mengenal pasti peluang penambahbaikan dan pembangunan organisasi yang mampan.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Lazarus et al. (2021) dalam artikelnya bertajuk Peranan, Cabaran dan Manfaat Audit Dalaman dalam Organisasi, audit dalaman memainkan peranan utama dalam meningkatkan keberkesanan kawalan dalaman, integriti organisasi, serta memastikan pematuhan peraturan dan undang-undang yang bersesuaian.

Mereka menegaskan bahawa audit bukan hanya alat pengawasan, tetapi juga instrumen proaktif yang memberikan amaran awal mengenai risiko yang berpotensi merugikan organisasi dan menyalurkan maklumat penting untuk penambahbaikan berterusan.

Audit Dalam Perspektif Organisasi

Audit boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, antaranya audit kewangan, audit pematuhan, audit operasi, dan audit kualiti.

Setiap jenis audit mempunyai skop dan tujuan tersendiri, namun matlamat akhirnya tetap sama, iaitu memastikan proses-proses yang dilaksanakan dalam sesebuah organisasi adalah berkesan, cekap dan telus.

Dengan itu, audit boleh dianggap sebagai ‘mata dan telinga’ pengurusan serta pemegang taruh dalam menilai keberkesanan perjalanan sistem kerja sedia ada.

Dalam sektor awam, audit merupakan tonggak utama dalam melaksanakan prinsip tadbir urus baik (good governance). Proses audit membantu kerajaan memastikan perbelanjaan wang rakyat dilakukan secara berhemah, berstruktur dan berkesan dari segi impak.

Bagi sektor swasta, audit meningkatkan keyakinan pelabur, pihak berkuasa, serta pelanggan terhadap integriti dan ketelusan organisasi.

“Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” kepentingan audit sebagai proses menyemak dan memperbaiki yang menghasilkan data dan maklumat berguna untuk pembaharuan berterusan dalam kemajuan sesebuah organisasi.

Fungsi teras audit secara tradisional diwakili oleh mekanisme semak dan imbang (check and balance). Bermakna, auditor bertanggungjawab meneliti proses dan kawalan dalaman organisasi supaya dilaksanakan secara berkesan.

Namun, pemeriksaan tidak seharusnya terhad kepada pencatatan kelemahan semata-mata, tetapi juga meliputi analisis punca masalah, kesan buruknya, dan yang paling penting, cadangan peluang pembaikan kepada pihak pengurusan berkaitan.

Pendekatan holistik ini bukan sahaja memperkukuhkan nilai audit, malah mengangkatnya sebagai proses pembelajaran organisasi yang sangat dialu-alukan.

Lazarus et al. (2021) juga menekankan keberkesanan audit dalaman terletak pada keupayaan auditor untuk mengenal pasti bukan sahaja ketidakpatuhan tetapi juga peluang meningkatkan sistem secara menyeluruh.

Dalam konteks ini “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” amat relevan dalam penegasan betapa pentingnya audit dijalankan secara awal dan berterusan supaya kelemahan dapat diperbaiki sebelum menjadi masalah besar yang merugikan organisasi.

Budaya Penambahbaikan Berterusan

Dalam dunia pengurusan moden, terutamanya mengikut garis panduan sistem ISO 9001 mengenai Sistem Pengurusan Kualiti (QMS), audit dalaman adalah komponen wajib yang memainkan peranan utama dalam memastikan organisasi sentiasa patuh kepada prosedur dan menilai keberkesanan sistem pengurusan.

Sebagai sistem yang dinamik, ISO 9001 mengintegrasikan prinsip penambahbaikan berterusan, yang menggalakkan organisasi tidak hanya mengekalkan tahap kualiti tetapi sentiasa mencari ruang untuk menjadi lebih baik.

Menurut sumber rasmi ISO (2024), penekanan kepada kitaran Plan-Do-Check-Act (PDCA) membolehkan organisasi melakukan pemantauan dan penyesuaian berterusan bagi memenuhi dan melebihi kepuasan pelanggan.

Ini sejajar dengan kenyataan dalam artikel British Assessment Bureau (2025) yang menggariskan kepentingan membina budaya organisasi yang terbuka terhadap kecenderungan pembaikan secara berterusan, di mana audit bertransisi daripada fungsi pemeriksaan ke fungsi pemangkin inovasi dan peningkatan kualiti.

Nilai tambah audit kepada sesebuah organisasi adalah pelbagai dan sangat ketara.

Pertama, audit membantu meningkatkan kecekapan operasi dengan mengenal pasti ketidakpatuhan, ketidakefisienan dan pembaziran, sekali gus mengurangkan kos dan memperbaiki produktiviti.

Kedua, ia mengukuhkan integriti dan tadbir urus organisasi melalui peningkatan akauntabiliti dan ketelusan, yang meyakinkan pemegang taruh dan pihak berkepentingan tentang kestabilan dan kejujuran sesebuah entiti.

Ketiga, audit memastikan organisasi mematuhi undang-undang, peraturan, dan piawaian yang ditetapkan bagi mengelakkan risiko perundangan yang boleh menjejaskan nama baik dan kelangsungan perniagaan.

Keempat, audit menghasilkan budaya pembelajaran berterusan di mana organisasi memanfaatkan maklum balas audit untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi masa depan.

Kelima, auditor menyediakan pandangan luar yang objektif dan neutral yang membolehkan pihak pengurusan membuat keputusan strategik yang lebih baik, berdasarkan fakta dan analisis yang sahih.

Dalam konteks nilai ini, Gendron (2001) dalam artikel bertajuk Kajian Penyelidikan Audit Akademik: Satu Kajian Eksploratori tentang Kegunaannya, menekankan betapa pentingnya penyelidikan akademik dalam bidang audit untuk memperjelas keberkesanan audit bukan sahaja dari segi pengawasan tetapi sebagai proses pembelajaran yang mampu menyumbang kepada pembangunan organisasi yang berdaya saing dan berdaya tahan.

Walaupun audit kadangkala dianggap sebagai ancaman oleh sesetengah pihak disebabkan tanggapan negatif atau ketakutan terhadap tindakan disiplin, paradigma ini perlu diubah.

Audit harus dilihat sebagai rakan strategik yang membantu organisasi mengenal pasti risiko tersembunyi, kelemahan sistem, dan peluang yang belum diterokai. Dengan pendekatan ini, temuan audit ‘opportunity for improvement’ (OFI) peluang untuk penambahbaikan, menekankan perkara positif dalam pelaksanaan audit.

Etika dan profesionalisme

Profesionalisme auditor menjadi elemen utama dalam memastikan fungsi audit dilaksanakan dengan berkesan.

Auditor wajib mematuhi nilai-nilai etika seperti integriti, objektiviti, kerahsiaan dan kompetensi. Mereka hendaklah menghindari berat sebelah, tidak menjadi alat tekanan, serta melaksanakan tugas dengan berhemah dan penuh tanggungjawab.

Prinsip dan pepatah Melayu “Biar berputih tulang, jangan berputih mata” mencerminkan keberanian ilmiah yang perlu ada pada auditor dalam melaporkan perkara sebenar walaupun sukar, tetapi dengan cara yang membina dan profesional.

Pihak yang diaudit pula memainkan peranan kritikal dalam memudahkan proses audit dengan menyediakan dokumen, maklumat dan bukti yang lengkap serta bersedia menerima audit sebagai peluang pembelajaran dan pembaikan.

“Tak kenal maka tak cinta” menggambarkan betapa pentingnya kefahaman pihak pengurusan terhadap manfaat audit agar mereka lebih terbuka dan bersedia menghadapi proses ini sebagai suatu norma positif dalam organisasi bukan sekadar pemeriksaan pasif.

Kesimpulannya, audit adalah satu fungsi kritikal yang menjamin ketelusan, akauntabiliti, dan keberkesanan sesuatu organisasi.

Selain itu, ianya adalah pembudayaan pembelajaran dan penambahbaikan berterusan. Organisasi harus mengubah persepsi mereka dari melihat audit dari sudut positif.

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya,” budaya positif terhadap audit perlu diterapkan agar organisasi mampu mencapai tahap kecemerlangan yang berterusan.

Audit yang dilakukan dengan etika, integriti, dan profesionalisme bukan hanya menjadi alat kawalan tetapi juga pemangkin utama kepada inovasi, mutu, dan kecekapan organisasi, seraya menjadi cermin pantulan keadaan sebenar organisasi yang perlu digilap dan dilihat secara berterusan.

-- BERNAMA

Ts. Ahmad Anwar Safwan Sidek merupakan Felo Industri Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)