Umumnya, kita baru sahaja melangkah ke tahun baharu, 2026 namun jangan kita alpa; kita perlu cakna dan imbas masalah sosial yang berlaku di negara Malaysia pada tahun lepas.
Kita dikejutkan dengan beberapa isu seperti pembulian siber, kegiatan gangsterisme di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam, penyalahgunaan dadah, penyimpangan seksual, kecelaruan identiti (LGBTQ) serta gejala maksiat yang semakin berleluasa di kalangan belia dan generasi baharu.
Ia bukan fenomena baharu kerana ia sudah berakar di negara kita.
Di arus perkembangan teknologi; kita mendepani cabaran bukan sahaja pengaruh persekitaran, budaya asing, adaptasi daripada media konvensional tetapi juga melalui penularan revolusi media baharu khususnya kecepatan penyebaran maklumat tanpa sempadan melalui pelbagai laman sesawang, platform digital dan media sosial seperti WhatsApp, Telegram, Threads, TikTok, X, (Twitter) Instagram, YouTube dan lain-lain.
Dari golongan dewasa sehinggalah kanak-kanak sangat leka dan terpaku matanya dengan gajet di tangan dan ini dipanggil budaya nomofobia iaitu perlakuan yang terlalu bergantung kepada telefon pintar di sisi samada untuk berhubung atau mencari maklumat.
Ini belum lagi tarikan kecerdasan buatan (AI) yang menarik masyarakat untuk lebih menyusuri serta mengakses informasi tanpa berfikir mengenai rasional, etika atau kewajaran maklumat itu disampaikan kepada orang awam melalui dunia siber.
Adakalanya, ini memberi tekanan mental dari segi psikologi kepada generasi baharu kerana mereka tidak dapat membezakan antara realiti, kepalsuan dan ilusi yang disajikan melalui aplikasi media digital.
Ironinya, betapa keinginan, segelintir generasi baharu untuk menjadi sebahagian daripada kelompok yang hidupnya mewah, popular dan sempurna sering kali menyebabkan seseorang terjerat dalam persaingan yang tidak berpenghujung untuk terus kekal relevan di dunia maya.
Magis dunia digital ialah kandungan yang dimuat naik boleh disunting bagi menggambarkan sisi yang baik sahaja di dalam kehidupan dan menyembunyikan realiti kehidupan yang sebenar.
Sisi positif dan negatif dan impak penyebaran kandungan
Lazimnya, terdapat sisi positif dan negatif dalam dunia tanpa sempadan.
Impak penyebaran kandungan yang negatif dan berteraskan budaya barat atau hedonisme sememangnya memberi pengaruh buruk kepada akhlak, budaya, identiti serta menghakis sifat empati generasi baharu yang akhirnya menyimpang jauh dari landasan agama, budaya atau norma ketimuran.
Sememangnya kita tidak boleh menghalang kepada pembangunan, pembaharuan serta perkembangan revolusi industri tetapi kita seharusnya bijak mengawal dan memantau kandungan tular yang merbahaya bagi menjaga kelestarian, kesihatan akal, minda generasi baharu daripada rosak dan hanyut dibawa gelombang.
Bak kata pepatah; mencegah lebih baik dari mengubati oleh itu bertindak cepat sebelum terlambat kerana masalah ini semakin membarah di kalangan masyarakat jika tidak dibendung sama sekali.
Persoalannya, adakah kerana mengejar kepada trend, gaya hidup semasa agar seiring serta kecepatan teknologi membawa kesan jangka panjang kepada perubahan adab, pemikiran dan hilangnya nilai jati diri serta perasaan sensitiviti generasi muda.
Sudah terang lagi bersuluh, generasi muda semakin bebas, hilang pedoman, pupus sifat kemanusiaan, taksub dan mudah tertipu kerana terlalu percaya dengan dakyah media sosial yang bertindak sebagai racun halus, tersirat yang akhirnya menyerap akal, saraf minda dan jiwa manusia.
Bahana Kandungan Negatif Media Baharu kepada Generasi Muda
Ibu bapa perlu memberi perhatian akan aktiviti yang dilakukan oleh anak mereka seharian. Kandungan permainan video secara maya seperti Roblox, PubgMobile, Mobile Legend Bang Bang, Grand Theft Auto, Resident Evil, Call of Duty dan lain-lain merupakan antara permainan video yang digemari oleh belia dan generasi baharu.
Namun, kandungan grafiknya serta paparan audio dan visualnya bukan sahaja mempunyai elemen keganasan, ia dipenuhi dengan bahasa kesat yang boleh mempengaruhi emosi dan perlakuan pemain serta berkecenderungan membentuk minda generasi muda agar lebih agresif, pemarah, hilang adab serta menekan pemikiran seseorang.
Natijahnya kanak-kanak menjadi kurang empati dengan perlakuan liar membuli, menunjuk kuasa, memberontak dan mencederakan orang lain sehingga membunuh.
Budaya toksik ini tidak boleh dibiarkan kerana ia menganggu proses pembesaran, membentuk keperibadian generasi baharu yang menyalahi norma kehidupan dan boleh menjurus kepada perlakuan jenayah apabila mereka dewasa kelak.
Contoh insiden tragis yang berlaku di Malaysia; memberi kegusaran kepada ibu bapa iaitu jenayah pelajar maut ditikam di sekolah dan seorang adik mencederakan abangnya.
Apa yang menyedihkan, melalui permainan secara maya ini mendedahkan exploitasi dalam talian (grooming) iaitu terdapat orang dewasa yang tidak bertanggungjawab menyamar sebagai pemain muda hanya untuk berhubung dengan kanak-kanak.
Ini sangat membahayakan kerana ia bukan sahaja melanggar keselamatan dan privasi kanak-kanak tetapi juga memacu kepada kadar peningkatan jenayah pedofilia di dalam talian.
Aplikasi media sosial Tik Tok sememangnya menjadi trend ikutan semasa kerana ia bukan sahaja platform mengekspresi diri tetapi juga memaparkan pelbagai kandungan maklumat dalam durasi video pendek.
Pemaparan kreativiti manusia dapat dilihat dengan penyuntingan video yang berunsur maklumat, pendidikan, hiburan, tarian, muzik, jenaka dalam pelbagai genre serta membolehkan pengguna berinteraksi secara langsung dan berkongsi video.
Malangnya manusia perlu membayar harga demi sebuah kemodenan.
Segelintir pengguna TikTok menyalahgunakan aplikasi ini dengan memaparkan atau berkongsi video yang berelemankan visual, tarian yang mengghairahkan dan lirik yang lucah.
Terdapat insiden seorang penyanyi yang didakwa menyebarkan pengaruh atau mesej negatif dengan menyanyi lagu yang mengandungi maksud tersirat serta tidak bersesuaian dengan nilai, budaya atau norma ketimuran.
Kesannya amat besar kerana pengguna TikTok bukan hanya diakses oleh orang dewasa, malah juga remaja dan kanak-kanak.
Seharusnya setiap individu perlu peka, bertanggungjawab dan tidak menormalisasikan kepentingan komersial atau cuba menarik perhatian penonton atau pendengar melalui aplikasi media sosial dengan menggadaikan maruah, moral dan etika hanya ingin dikenali dengan cara murahan.
Menurut Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia, (GAPENA) Datuk Zainal Abidin Borhan berpendapat perlunya satu badan pengawalan khusus bagi memantau dan menyekat lagu yang bertentangan dengan budaya tempatan sebelum dikomersialkan.
Mesej atau kandungan di dalam TikTok perlu mematuhi tema, laras bahasa yang betul, komunikasi yang positif dan tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.
Ibrahnya, penghasilan sesebuah karya atau kandungan perlu mempunyai simbolik yang baik, beretika, membina peradaban, beradat, berbudaya dan cerminan kepada identiti negara.
Kewajaran aplikasi TikTok sebaiknya digunakan dengan lebih bertanggungjawab serta berhemah bagi mendidik pengguna dan masyarakat ke arah kebaikan serta membangun minda yang lebih mampan bagi melahirkan generasi baharu yang positif serta komuniti siber yang terdidik, sejahtera akhlaknya, berempati, sahsiah terpuji dan berkeperibadian unggul.
Selain itu, kandungan yang tidak wajar memaparkan laman sesawang atau video pornografi, kekerasan, keganasan, yang boleh diakses oleh belia dan generasi baharu tanpa kawalan.
Ia juga merupakan ancaman di dunia siber iaitu berlakunya pergaulan bebas yang menghakis akhlak dan jati diri generasi muda kerana kecuaian ibu bapa mengawal selia dengan baik.
Jangan cemarkan dunia maya dengan kandungan picisan yang bernuansa destruktif dan toksik.
Hakikatnya, rosaknya sesebuah bangsa bukan sahaja akibat kecanduan dengan aplikasi media sosial tetapi juga kegagalan pengawasan yang rapi oleh ibu bapa dan wujudnya masyarakat yang kurang waras, jahil menyalahgunakan teknologi.
Tangani Pengaruh Negatif Media Sosial dalam kalangan Generasi Baharu
Penguatkuasaan undang-undang perlu diperkasakan bagi menangani gejala penyebaran kandungan yang bercanggah dengan akhlak, maklumat yang merbahaya dan merosakkan pemikiran serta jati diri generasi baharu yang meningkat usia.
Kerajaan, Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia serta pihak berkuasa tempatan perlu berganding bahu dan tegas di dalam pelaksanaan undang-undang bagi memantau, mengawal, menyekat dan mengharamkan kandungan digital samada dalam bentuk audio atau visual yang mengandungi mesej negatif, lucah, keganasan serta menyentuh sensitiviti agama, budaya dan bersifat perkauman.
Jangan terhantuk baru nak tergadah, tindakan tegas perlu dilaksanakan bagi mengekang anasir negatif di dalam media sosial. Ini bagi memastikan kesejahteraan pelapis negara serta memelihara peradaban generasi baharu.
Pada dasarnya, kerajaan perlu bersikap proaktif; usah mengamalkan sikap tunggu dan lihat.
Sudah sampai masanya, undang-undang melarang pelajar di bawah 16 tahun menggunakan telefon pintar wajar perlu dititikberatkan dan diperkuatkuasakan bagi membendung gejala negatif media sosial.
Ia bukan sahaja dapat mengawal kanak-kanak atau belia dari terpengaruh dengan unsur keganasan dan negatif akibat bermain permainan video di dalam talian tetapi juga mencegah golongan muda ini dari terjebak dengan perlakuan jenayah.
Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan yang penting dengan meluangkan masa yang berkualiti bersama dengan anak melalui aktiviti beriadah.
Ini dapat membantu mengawal ketagihan anak-anak daripada menggunakan telefon pintar yang boleh memudaratkan jika tidak dikawal dengan baik.
Ibu bapa juga boleh menentukan pemilihan jenis permainan di talian bagi kesesuaian minda kanak-kanak; contohnya permainan yang dapat mendidik minda agar berfikir secara kritis, matang, serta membina empati dan daya kemahiran berfikir.
Generasi baharu perlu dididik melalui pemahaman literasi media bagi memastikan mereka dapat menggunakan media sosial dengan lebih peka, bertanggungjawab, beretika, bijak serta mampu menilai kandungan atau mesej yang disampaikan iaitu berfikiran rasional bagi menangkis anasir negatif di dalam dunia siber.
Ini bagi melahirkan golongan muda yang beradab serta bertamadun seiring dengan revolusi pembangunan di era dunia digital.
Tuntasnya, pembinaan masyarakat perlu seimbang maju dari segi adab, pemikiran dan jati diri bagi memastikan kelangsungan generasi baharu yang berkualiti, holisitk sejajar dengan perkembangan teknologi tanpa perlu menggadaikan nilai agama, identiti dan budaya.
“Sepanjang sejarah, banyak bangsa mengalami kekalahan fizikal, namun itu tidak pernah menandakan berakhirnya sebuah bangsa. Tetapi apabila sesebuah bangsa mengalami kekalahan dari segi psikologi, itulah yang menandakan kehancurannya.”
- Ibnu Khaldun
-- BERNAMA
Norazlinda Hj Mohammad ialah Pensyarah Kanan bidang Kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka.