Oleh Hanisah Md Idris dan Dr Nazreena Mohammed Yasin
Perkembangan teknologi serta perubahan akibat globalisasi banyak mempengaruhi dunia pekerjaan pada masa kini.
Justeru, golongan pekerja mulai sedar tentang kepentingan hak mereka, kesejahteraan dan keseimbangan hidup.
Sejajar dengan persaingan sengit industri pekerjaan ini, tekanan dan beban kerja serta tuntutan pihak majikan semakin meningkat.
Dari segi bahasa, quiet quitting membawa definisi bekerja sebagai memenuhi syarat tanpa meletakkan jawatan atau berhenti kerja secara rasmi.
Quiet quitting bukan bererti malas.
Pekerja masih lagi memenuhi kehendak asas organisasi tetapi sudah mulai mengurangkan usaha mahupun tanggungjawab tambahan secara sukarela di tempat kerja.
Mereka membina garis sempadan yang nyata antara dunia pekerjaan dan kehidupan peribadi.
Fenomena ini dikenal pasti sering berlaku secara global terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Faktor-faktor Quiet Quitting
Beban dan Tekanan Kerja
Tahap dan beban kerja yang tinggi dikenal pasti menjadi faktor utama yang mendorong pekerja mengambil pendekatan quiet quitting. Apabila sering diberi kerja melebihi kapasiti, mereka mula keletihan dari segi fizikal dan mental, apatah lagi sekiranya selalu diminta melakukan kerja tambahan tanpa imbuhan atau pengiktirafan.
Tekanan kerja yang berlarutan, seperti tuntutan daripada pihak pengurusan, tarikh akhir yang ketat, atau konflik di tempat kerja, turut menyumbang kepada stres kronik, yang boleh menjejaskan kesejahteraan emosi.
Pekerja akan berasa tidak dihargai, motivasi untuk melibatkan diri secara emosi dan profesional melebihi tanggungjawab rasmi mereka mulai menurun.
Sekiranya masalah ini berterusan boleh meningkatkan risiko gangguan kesihatan yang serius seperti kemurungan, kebimbangan dan keletihan melampau.
Ganjaran atau Gaji yang Tidak Setimpal
Gaji atau ganjaran yang tidak setimpal - bayaran yang tidak setara dengan tugasan, tanggungjawab, kemahiran, dan usaha yang telah diberikan.
Situasi ini boleh menyebabkan pekerja berasa tidak dihargai dan kurang bermotivasi untuk melaksanakan tugas dengan baik.
Ganjaran yang tidak adil juga boleh menimbulkan tekanan emosi, ketidakpuasan kerja, serta menjejaskan kesejahteraan mental pekerja.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menyumbang kepada penurunan prestasi kerja, peningkatan kadar ketidakhadiran, dan kecenderungan pekerja untuk mengamalkan sikap seperti quiet quitting atau meninggalkan pekerjaan mereka.
Pengiktirafan dan Sokongan Majikan
Penghargaan dan sokongan daripada majikan amat penting dalam membentuk pekerja yang berdedikasi dan komited.
Namun, apabila usaha, komitmen, dan pencapaian pekerja tidak diiktiraf, mereka akan berasa tidak dihargai dan kurang bernilai dalam organisasi.
Keadaan ini boleh menyebabkan motivasi untuk bekerja menurun, kurangnya komitmen dan fokus, serta melemahkan keinginan pekerja untuk menyumbang kepada prestasi yang terbaik.
Kurang penghargaan boleh memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan emosi pekerja, seperti menyebabkan tekanan, kekecewaan, dan ketidakpuasan kerja.
Situasi ini boleh mendorong pekerja untuk mengamalkan sikap quiet quitting atau mencari peluang pekerjaan lain yang lebih menghargai sumbangan mereka.
Ketidakadilan Dalam Pengurusan
Pengurusan yang tidak adil dan lemah merupakan faktor penting yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan prestasi pekerja dalam sesebuah organisasi.
Ketidakupayaan pihak pengurusan untuk membimbing, menyokong, dan membuat keputusan yang berkesan boleh menyebabkan pekerja berasa keliru tentang peranan dan tanggungjawab mereka.
Pengurusan yang tidak adil, seperti pilih kasih, layanan yang tidak sama rata, dan pembahagian tugas yang tidak seimbang, boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan ketidakpercayaan dalam kalangan pekerja.
Dalam jangka panjang, kepimpinan yang lemah dan pengurusan yang tidak adil boleh menyebabkan penurunan produktiviti serta mendorong pekerja untuk mengamalkan sikap quiet quitting atau akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan organisasi tersebut.
Persekitaran Tempat Kerja
Persekitaran tempat kerja juga tidak kurang penting peranannya dalam mewujudkan suasana kerja yang positif bagi melahirkan pekerja yang produktif dan proaktif.
Jurang posisi pekerja berpotensi menjejaskan komunikasi dan hubungan baik khususnya antara pekerja yang memegang jawatan tinggi dengan pekerja bawahan.
Mereka yang berjawatan lebih besar cenderung menggunakan kuasa untuk memberi arahan atau tekanan yang kadang kala tidak rasional.
Namun, tidak dinafikan juga wujudnya pekerja toksik yang mempunyai sikap dengki atau iri hati sesama mereka.
Pekerja yang mempunyai sikap defensif sering dipinggirkan kerana mempunyai pemikiran yang tidak sealiran dengan sesetengah kelompok pekerja dalam organisasi tersebut.
Ketidakseimbangan antara Kerja dan Kehidupan
Merujuk kepada kelemahan seseorang dalam mengendalikan tanggungjawab pekerjaan dengan aspek kehidupan peribadi, seperti keluarga, kesihatan, dan masa untuk diri sendiri.
Keseimbangan sukar dikekalkan sekiranya pekerja mengalami tekanan kerja yang berlebihan atau beban kerja yang tidak seimbang.
Kekurangan keseimbangan ini boleh menyebabkan rasa letih, tekanan emosi, dan ketidakpuasan kerja, sekali gus meningkatkan kecenderungan pekerja untuk bersikap quiet quitting sebagai strategi untuk mengekalkan kesejahteraan mental dan fizikal mereka.
Kesan-kesan Quiet Quitting
Mengurangkan Stres
Pekerja yang memilih untuk bersikap quiet quitting akan menetapkan batasan yang jelas antara tanggungjawab dalam pekerjaan dan kehidupan peribadi tanpa melepaskan pekerjaan sepenuhnya.
Tindakan ini dapat mengurangkan beban fizikal dan mental yang biasanya timbul akibat tekanan kerja yang berlebihan.
Sikap ini menyebabkan mereka menumpukan tenaga pada tugas utama sahaja.
Tindakan ini seterusnya akan mengurangkan rasa penat, tekanan, dan kebimbangan.
Dengan adanya sempadan ini, pekerja dapat memulihkan tenaga, menjaga kesihatan mental, dan mengekalkan motivasi secara berterusan.
Dalam hal ini, quiet quitting berfungsi sebagai mekanisme perlindungan diri, yang membantu pekerja mengawal stres dan mencegah keletihan emosi akibat tekanan kerja yang tidak terkawal.
Kurang Peluang Pembangunan Kerjaya
Pekerja mungkin memilih untuk menarik diri daripada terlibat secara aktif dalam projek tambahan atau kerja luar skop, sebagai cara mengekalkan tenaga dan fokus tanpa berasa kecewa akibat kurang pengiktirafan atau peluang kerjaya.
Dengan kata lain, quiet quitting menjadi strategi melindungi kesejahteraan mental dan fizikal apabila mereka berasa tiada prospek pertumbuhan profesional di tempat kerja.
Justeru, pekerja mungkin akan kehilangan peluang kenaikan pangkat atau pengiktirafan daripada organisasi.
ehubungan itu berkemungkinan akan wujudnya pandangan negatif majikan terhadap pekerja ‘quiet quitting’.
Menjejaskan Masa Depan Kerjaya
Pekerja yang hanya melaksanakan tanggungjawab minimum tanpa mengambil inisiatif tambahan, walaupun bertujuan untuk mengekalkan kesejahteraan mental dan fizikal, boleh memberi kesan terhadap masa depan kerjaya mereka.
Apabila pekerja tidak terlibat secara aktif dalam projek tambahan, latihan, atau peluang pembangunan diri, mereka berkemungkinan besar akan terlepas peluang untuk meningkatkan kemahiran, membina rangkaian profesional, atau mendapat pengiktirafan daripada majikan.
Dalam jangka panjang, sikap ini boleh menyebabkan perkembangan kerjaya terbantut, promosi terhad, atau kurangnya peluang pekerjaan yang lebih baik.
Oleh itu, walaupun quiet quitting membantu mengurangkan tekanan kerja, ia juga boleh menjejaskan prospek profesional dan pertumbuhan kerjaya jika diamalkan tanpa strategi pengurusan diri yang seimbang.
Penurunan Produktiviti dalam Organisasi
Mempunyai hubungan yang signifikan dengan fenomena quiet quitting.
Apabila pekerja tidak lagi bermotivasi untuk menyumbang lebih daripada yang diperlukan, kualiti dan kuantiti kerja yang dihasilkan akan menurun.
Keadaan ini menyebabkan organisasi mengalami kelewatan dalam menyiapkan tugasan, penurunan prestasi keseluruhan, serta pengurangan kecekapan operasi.
Pekerja yang mengambil pendekatan quiet quitting tidak lagi berusaha untuk meningkatkan prestasi kerja atau menyelesaikan tugasan dengan lebih cepat dan efisien.
Mereka hanya menumpukan kepada tugas asas yang minimum tanpa mempunyai inisiatif untuk membuat kerja-kerja tambahan atau cuba memperbaiki dalam proses kerja.
Hal ini boleh menjejaskan prestasi organisasi secara beransur-ansur.
Usaha-usaha Tangani Quiet Quitting
Peranan majikan
Majikan memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha mengelakkan fenomena quiet quitting dalam kalangan pekerja.
Majikan yang bertanggungjawab akan memastikan kebajikan pekerja terpelihara.
Pendekatan pengurusan yang baik, persekitaran kerja yang positif, dan penghargaan terhadap pekerja dapat meningkatkan motivasi serta mengurangkan kecenderungan pekerja untuk bekerja sekadar cukup syarat.
Pekerja yang diiktiraf dan dihargai oleh majikan biasanya akan kekal lama dan setia dengan organisasi tersebut.
Pendapatan yang Seimbang
Matlamat utama seseorang itu bekerja tentunya mengharapkan gaji atau upah yang setimpal dengan sumbangan usaha kepada organisasi.
Kelayakan, pengalaman serta kemahiran yang diperolehi oleh pekerja merupakan aset bernilai ke arah peningkatan produktiviti organisasi.
Seseorang pekerja yang dihargai melalui kewangan akan cenderung bekerja dengan lebih komited dan bertanggungjawab.
Kenaikan gaji berdasarkan prestasi, elaun atau bonus merupakan faedah tambahan yang menjadi antara faktor penentu kesetiaan seseorang pekerja.
Memupuk Amalan Kerja Seimbang
Quiet quitting bukan semata-mata tanda sikap negatif pekerja, tetapi reaksi terhadap ketidakseimbangan dalam amalan kerja yang boleh menjejaskan kesejahteraan mereka.
Beban kerja yang berlebihan, waktu kerja yang panjang, dan jangkaan untuk sentiasa tersedia boleh menyebabkan keletihan fizikal dan mental.
Dalam situasi ini, pekerja mungkin memilih untuk hanya melaksanakan tugas asas sebagai cara untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Pekerja yang mempunyai masa untuk keluarga, rehat, dan aktiviti peribadi cenderung untuk berasa lebih gembira dan kurang tertekan.
Apabila kesejahteraan pekerja terjaga, mereka lebih bersemangat untuk menjalankan tugas dengan baik.
Seterusnya, majikan mempunyai tanggungjawab untuk memupuk amalan kerja yang seimbang bagi memastikan pekerja kekal bermotivasi dan produktif.
Langkah seperti menyediakan waktu kerja yang fleksibel, mengelakkan beban kerja yang berlebihan, dan menghormati masa peribadi pekerja dapat membantu mewujudkan persekitaran kerja yang sihat.
Peranan dan Tanggungjawab Pekerja
Pekerja juga mempunyai peranan dan tanggungjawab penting untuk memastikan mereka kekal profesional serta tidak menjejaskan prestasi organisasi.
Walaupun quiet quitting sering dikaitkan dengan faktor majikan, pekerja perlu mengambil pendekatan yang matang dan lebih rasional dalam menangani ketidakpuasan kerja.
Sikap profesional ini hendaklah diamalkan dengan menjaga kualiti kerja, menyiapkan tugasan mengikut garis panduan dan bijak dalam pengurusan masa.
Selain itu, pekerja mesti sepanjang masa mematuhi peraturan dan polisi yang telah ditetapkan oleh organisasi. Hal ini penting untuk mengekalkan kepercayaan majikan.
Seterusnya pekerja perlu sentiasa menunjukkan sikap bekerjasama dalam tugasan berpasukan.
Elakkan sebarang konflik yang tidak perlu dan menghormati majikan serta rakan sekerja.
Seseorang pekerja yang bijak akan menyusun keutamaan kerja bagi menghindarkan masalah yang boleh membawa kepada stres mahupun gangguan kesihatan yang lain.
Kesimpulannya, fenomena quiet quitting merupakan satu isu yang semakin ketara dalam dunia pekerjaan moden dan mencerminkan perubahan sikap serta keutamaan pekerja masa kini.
Dalam usaha mengatasi fenomena ini, majikan memainkan peranan penting dengan menyediakan persekitaran kerja yang positif dan kondusif, memberi penghargaan yang sewajarnya, menyokong pembangunan kerjaya pekerja, serta memupuk keseimbangan antara kerja dan kehidupan.
Pada masa sama, pekerja juga mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan sikap profesional, menjalankan tugas dengan baik, serta berkomunikasi secara terbuka dengan majikan sekiranya menghadapi sebarang masalah.
-- BERNAMA
Hanisah Md Idris ialah bekas Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Dr Nazreena Mohammed Yasin ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).