Oleh Noor Faezah Mohd Sani dan Fairus Muhamad Darus
Setiap kali musim perayaan menjelang, lebuh raya di seluruh negara berubah wajah.
Aliran trafik meningkat mendadak, perjalanan menjadi lebih panjang dan keletihan mudah dirasai.
Dalam keterujaan merancang cuti dan perjalanan pulang ke kampung halaman, ramai pemilik kenderaan memberi perhatian kepada servis enjin, penukaran minyak hitam dan pemeriksaan brek.
Namun, satu komponen kritikal sering dipandang sepi, sedangkan ia satu-satunya bahagian kenderaan yang bersentuhan secara langsung dengan permukaan jalan, iaitu tayar.
Apabila jutaan kenderaan bergerak serentak, keselamatan tidak lagi bergantung kepada kemahiran pemandu semata-mata.
Ia turut bergantung kepada keupayaan setiap komponen kenderaan berfungsi pada tahap optimum.
Dalam hal ini, tayar memainkan peranan asas yang sering dipandang ringan.
Tayar Asas Keselamatan
Tayar menentukan tahap cengkaman, kestabilan dan keberkesanan membrek.
Dalam keadaan cuaca tropika Malaysia yang tidak menentu, sama ada panas terik atau hujan lebat, keadaan tayar menjadi faktor penting yang menentukan sama ada kenderaan kekal stabil atau hilang kawalan.
Bunga tayar yang mencukupi membantu menyalurkan air keluar dari kawasan sentuhan, sekali gus mengurangkan risiko gelinciran atau aquaplaning.
Pada kelajuan lebuh raya, kegagalan tayar boleh berlaku tanpa amaran.
Tayar yang pecah atau hilang cengkaman bukan sahaja membahayakan pemandu dan penumpang, malah pengguna jalan raya lain.
Walaupun kemalangan musim perayaan sering dikaitkan dengan faktor kelajuan dan keletihan, aspek teknikal seperti keadaan tayar tidak boleh diketepikan.
Kenderaan yang kelihatan sempurna secara luaran belum tentu benar-benar selamat untuk perjalanan jauh.
Penyelenggaraan Asas Sering Diabaikan
Antara isu paling lazim ialah tekanan angin tayar yang tidak mengikut spesifikasi pengeluar.
Tekanan terlalu rendah menyebabkan tayar cepat panas dan meningkatkan risiko kerosakan struktur dalaman.
Sebaliknya, tekanan terlalu tinggi mengurangkan kawasan sentuhan dengan jalan, sekali gus menjejaskan kestabilan dan kawalan, lebih-lebih lagi apabila kenderaan membawa muatan tambahan sempena musim perayaan.
Kedalaman bunga tayar juga kerap diabaikan.
Ramai hanya menukar tayar apabila ia kelihatan botak, sedangkan bunga yang semakin cetek sudah cukup untuk menjejaskan keupayaan membrek, khususnya di jalan basah.
Dalam hujan lebat, keadaan ini boleh menyebabkan tayar hilang cengkaman dan meningkatkan risiko kemalangan.
Selain itu, faktor usia tayar sering tidak diberi perhatian.
Walaupun bunga masih kelihatan baik, getah yang telah lama terdedah kepada haba dan cahaya matahari boleh menjadi keras, retak dan rapuh.
Tayar simpanan juga tidak terkecuali daripada pemeriksaan, sedangkan ia amat diperlukan ketika kecemasan.
Sikap hanya bertindak apabila masalah berlaku mencerminkan budaya penyelenggaraan yang reaktif, bukan pencegahan.
Risiko Tayar Celup dan Tayar Guna Semula
Dalam usaha menjimatkan kos, sebahagian pengguna memilih tayar celup atau tayar terpakai.
Walaupun tayar celup digunakan secara terkawal dalam sektor tertentu dengan piawaian keselamatan, penggunaannya bagi kenderaan persendirian tanpa pemeriksaan teknikal yang teliti boleh mengundang risiko.
Masalah utama ialah ketidakpastian terhadap keadaan dalaman tayar.
Walaupun lapisan luar kelihatan baharu, struktur dalamannya mungkin telah lemah akibat penggunaan terdahulu.
Begitu juga dengan tayar terpakai yang tidak diketahui sejarah penggunaannya.
Penjimatan kos dalam jangka pendek mungkin kelihatan berbaloi, namun risikonya boleh membawa akibat yang jauh lebih besar, terutamanya apabila melibatkan keselamatan keluarga.
Tanggungjawab Bersama Demi Keselamatan
Pemeriksaan tayar sebelum memulakan perjalanan jauh sebenarnya tidak memerlukan masa yang lama.
Memastikan tekanan angin mencukupi, memeriksa keadaan fizikal tayar dan memastikan tayar simpanan berada dalam keadaan baik merupakan langkah asas yang mampu mengurangkan risiko.
Dalam masa sama, aspek keselamatan ini memerlukan kerjasama semua pihak.
Bengkel perlu mematuhi piawaian, peniaga tayar perlu bertanggungjawab terhadap produk yang dijual, dan kempen kesedaran perlu dipergiatkan, khususnya menjelang musim perayaan.
Kesedaran ini tidak seharusnya bermusim, sebaliknya menjadi sebahagian daripada amalan rutin setiap pemilik kenderaan.
Akhirnya, perjalanan pulang berhari raya bukan sekadar tentang tiba di destinasi, tetapi tiba dengan selamat.
Walaupun tayar sering dianggap komponen biasa, hakikatnya ia merupakan benteng pertama yang menentukan keselamatan perjalanan.
Dalam kesibukan membuat persiapan Hari Raya, luangkan beberapa minit untuk memeriksa tayar kenderaan.
Langkah kecil ini mungkin kelihatan remeh, namun impaknya besar.
Pulanglah berhari raya dengan tenang.
Jangan biarkan tayar dipinggirkan, kerana keselamatan anda dan keluarga juga mungkin bermula daripadanya.
-- BERNAMA
Noor Faezah Mohd Sani ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Fairus Muhamad Darus ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA (UiTM).