Kehilangan tragis seorang doktor muda baru-baru ini telah menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.
Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan meluas mengenai kesejahteraan petugas kesihatan, khususnya doktor muda yang baru memulakan kerjaya mereka.
Walaupun terdapat perbincangan yang mengaitkan tragedi ini dengan tekanan di tempat kerja, adalah penting untuk kita mengelakkan sebarang spekulasi sebagai menghormati individu tersebut dan keluarga yang sedang berduka.
Namun apa yang pasti, peristiwa ini seharusnya menjadi satu peringatan kepada kita semua untuk memberi perhatian yang lebih serius terhadap kesejahteraan mental para doktor.
Di sebalik kot putih yang mereka pakai, mereka juga manusia biasa yang merasai keletihan, kebimbangan, keraguan dan tekanan emosi seperti orang lain.
Cabaran Tersembunyi Doktor Muda
Tahun-tahun awal dalam kerjaya perubatan merupakan antara tempoh paling mencabar bagi seseorang doktor.
Doktor muda, khususnya pegawai perubatan siswazah atau house officer, perlu menyesuaikan diri dengan pantas dalam persekitaran kerja yang sangat dinamik, di mana setiap keputusan boleh memberi kesan besar terhadap kehidupan pesakit.
Kajian di Malaysia secara konsisten menunjukkan pola yang membimbangkan.
Kajian mendapati sekitar 42 hingga 43 peratus pegawai perubatan siswazah mengalami simptom kemurungan, manakala kira-kira 8 peratus mengalami kemurungan yang sangat teruk.
Kadar kebimbangan pula didapati lebih tinggi, dengan sekitar 50 hingga 56 peratus doktor muda mengalami simptom kebimbangan, dan kira-kira 15 peratus daripadanya berada pada tahap yang sangat teruk.
Tahap tekanan juga dilaporkan tinggi, dengan sekitar 40 peratus pegawai perubatan siswazah mengalami tekanan kerja dan burnout yang signifikan.
Beberapa faktor di tempat kerja menyumbang kepada keadaan ini.
Mereka sering bekerja dalam syif yang panjang, kadangkala melebihi 12 jam, disertai panggilan tugas pada waktu malam serta beban pesakit yang tinggi.
Kekurangan tenaga kerja di hospital awam yang sibuk juga boleh meningkatkan tekanan kerja, manakala ketidakjelasan peranan dan jangkaan kerja turut menambahkan cabaran.
Doktor muda juga lebih terdedah kepada tekanan kerana mereka masih dalam proses membina keyakinan klinikal sambil menghadapi proses latihan yang intensif yang sering mengakibatkan kekurangan tidur dan tuntutan emosi dalam merawat pesakit yang kritikal.
Apabila Tekanan Menjadi Berbahaya
Bidang perubatan sememangnya terkenal sebagai profesion yang mencabar, dan daya tahan mental sering dianggap sebahagian daripada latihan.
Namun, tekanan yang berpanjangan dan tidak ditangani dengan baik boleh membawa kepada burnout, keletihan emosi dan gangguan kesihatan mental.
Sesetengah kajian menunjukkan kadar burnout peribadi dalam kalangan doktor muda boleh melebihi 40 peratus, menunjukkan betapa meluasnya isu ini.
Burnout bukan sahaja memberi kesan kepada doktor itu sendiri, malah boleh mempengaruhi kualiti penjagaan pesakit, suasana kerja serta keupayaan sistem kesihatan untuk mengekalkan tenaga kerja perubatan dalam jangka panjang.
Ironinya, mereka yang bertanggungjawab menjaga kesihatan orang lain sering berjuang secara senyap dengan kesejahteraan mereka sendiri.
Mengubah Budaya Kerja
Secara tradisinya, bidang perubatan sering dikaitkan dengan tuntutan yang besar, iaitu bekerja dalam tempoh yang panjang dan menghadapi tekanan emosi dianggap sebagai sebahagian daripada tugas.
Namun sistem kesihatan di seluruh dunia kini semakin menyedari bahawa budaya ini perlu berubah.
Mendapatkan bantuan tidak seharusnya dianggap sebagai kelemahan.
Hospital dan institusi kesihatan perlu terus memperkukuh sistem sokongan untuk doktor muda melalui program mentor, kejelasan peranan kerja, pengurusan beban tugas yang lebih seimbang serta akses kepada perkhidmatan kesihatan mental.
Selain itu, turut perlu diberi penekanan ialah tuntutan mewujudkan budaya kerja yang selamat, di mana doktor berasa yakin untuk bersuara dan mendapatkan bantuan tanpa takut kepada stigma.
Tanggungjawab Bersama
Menyokong kesejahteraan doktor bukan hanya tanggungjawab institusi kesihatan semata-mata.
Masyarakat juga mempunyai peranan penting.
Doktor sering bekerja di bawah tekanan yang besar sambil cuba memenuhi harapan pesakit, keluarga dan sistem kesihatan.
Sikap empati dan kefahaman daripada masyarakat boleh memberi perbezaan yang besar. Pada masa yang sama, perbincangan mengenai tragedi seperti ini perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab.
Penyebaran spekulasi atau sensasi berlebihan boleh menambah kesedihan kepada keluarga dan rakan sekerja yang terlibat.
Melangkah ke Hadapan
Kesejahteraan doktor bukan sekadar isu tenaga kerja, tetapi juga isu keselamatan pesakit.
Doktor yang mendapat sokongan, rehat yang mencukupi dan berada dalam keadaan mental yang baik akan mampu memberikan rawatan yang lebih selamat dan penuh empati kepada pesakit.
Semoga detik sukar ini mendorong kita untuk memperkukuh sistem sokongan kepada doktor muda agar mereka tidak dibiarkan berjuang sendirian.
Kerana pada akhirnya, mereka yang menjaga kita juga berhak untuk dijaga.
-- BERNAMA
Dr Rozanizam Zakaria ialah Pakar Perunding Psikiatri dan Pensyarah, Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM)