WILAYAH - TENGAH > BERITA

PEMBELIAN PELABURAN SAHAM: BEKAS JURUBANK DIDAKWA KEMUKA REPRESENTASI PALSU

19/09/2024 12:34 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Seorang bekas jurubank dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menguruskan aktiviti pasaran modal tanpa lesen dan mengemukakan representasi palsu berhubung pembelian pelaburan saham, enam tahun lepas. 

Bagaimanapun, Ruwan Amaresh Shaun Ponniah, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, Azrul Darus dan Hamidah Mohamad Deril.

Di hadapan Siti Aminah, Ruwan Amaresh didakwa atas satu pertuduhan menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu pengurusan kumpulan wang sedangkan dia bukan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal dan seorang yang berdaftar bagi pengurusan kumpulan wang.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Petaling Jaya antara 22 Okt 2018 hingga 10 Jun 2010 mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang boleh dihukum di bawah subsekyen 58(4) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.   

Ruwan Amaresh juga berdepan tiga pertuduhan menipu Darryl Ng Kah Wai, 36, dan Putra Rezza Shah Ashly Abdullah, 36, dengan memindahkan wang milik mereka berjumlah RM20,000 ke akaun bank CIMB miliknya dalam urusan pembelian saham dengan membuat representasi palsu kepada mereka untuk melabur dalam saham yang disenaraikan di Bursa Securities Berhad.  

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya di sini antara 11 April 2020 dan 22 Jun 2020 mengikut Subseksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang boleh dihukum di bawah seskyen 182 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Azrul, Ruwan Amaresh didakwa atas empat pertuduhan menipu Putra Rezza Shah, Nigel Looi Seng Chuan, 36, Chia Ping Chi, 28, dan Chong Oi Yin, 40, dalam urusan pembelian saham dengan membuat representasi palsu kepada mereka untuk melabur wang milik mereka berjumlah RM41,000 dalam saham yang disenaraikan di Bursa Securities Berhad di tempat sama mengikut akta serupa pada 22 Okt 2018 dan 10 Jun 2020. 

Di hadapan Hamidah, dia didakwa atas tiga pertuduhan menipu Ma Chun Wei, 36, Senthuran Mohan, 37 dan Darryl dengan memindahkan wang milik mereka berjumlah RM140,000 ke akaun bank milik tertuduh dan Jonathan Heah Hye Meng, 36, di tempat sama mengikut akta serupa pada 13 Nov 2019 dan 8 Jan 2020.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Quek Yiing Huey menawarkan jaminan RM600,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali hingga kes selesai. 

Peguam Muhammad Hasif Ghazali pula memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung ibu bapa yang sakit dan kini bekerja sebagai penghantar barang. 

Mahkamah kemudian membenarkan Ruwan Amaresh diikat jamin sebanyak RM210,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon oleh pihak pendakwaan dan menetapkan 23 Okt ini untuk sebutan kes itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan