WILAYAH - UTARA > BERITA

WANITA HAMIL ANTARA 11 INDIVIDU DIDAKWA TAWAR PEKERJAAN TIDAK WUJUD

19/09/2024 05:15 PM

TAIPING, 19 Sept (Bernama) -- Seorang wanita hamil antara 11 individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud pada bulan lepas.

Wanita hamil itu, Ng Kai Yee, 22, bersama tiga wanita lain dan tujuh lelaki mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Leong Ying Zhi, 21; Lee Kong Pa, 22; Wong Li Jia, 23; Lam Yong Jun, 24; Yeong Yong Long, 24; Leyu Yee Ying, 24; Toh Khai Shean, 24; Ng Zi Cong, 25; Chuah Cher Seng, 25 dan Yeoh Li Kee, 26, didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di Taman Desa Tekkah Sentosa dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada 1.30 tengah hari, 14 Ogos lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM25,000 setiap seorang serta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai berdekatan setiap bulan selain menyerahkan pasport sehingga kes selesai.

Peguam S. Privesh Paul Singh yang mewakili Kai Yee, memohon jaminan sebanyak RM2,000 kerana anak guamnya sedang mengandung tujuh bulan manakala peguam Tan Kian Peng mewakili 10 lagi tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan kerana kesemua anak guamnya tidak bekerja dan masih ditanggung oleh ibu bapa.

Hakim Nabisha Ibrahim membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 setiap orang serta syarat tambahan yang dikemukakan TPR.

Mahkamah menetapkan 29 Okt sebagai tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan