WILAYAH - UTARA > BERITA

LRA BUKIT PINANG FASA 1 DIHENTI TUGAS AKIBAT BANJIR - SADA

19/09/2024 02:31 PM

ALOR SETAR, 19 Sept (Bernama) -- Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang Fasa 1 di sini dihenti tugas pada 1 pagi tadi berikutan peningkatan air sungai ke paras kritikal di muka sauk disebabkan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan henti tugas LRA itu menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Kota Setar dan sebahagian daerah Kubang Pasu melibatkan kira-kira 35,000 akaun pengguna.

Antara kawasan terjejas ialah Pekan Alor Setar, Mergong, Mentaloon, Hutan Kampung, Tanjung Musang, Bukit Pinang, Kepala Batas, Tok Jalai dan beberapa kawasan yang lain.

Jangkaan LRA beroperasi semula belum dapat dipastikan buat masa ini memandangkan paras air masih pada paras kritikal serta telah menenggelamkan aset-aset mekanikal dan elektrikal di LRA berkenaan.

“Selain insiden banjir, beberapa LRA lain juga berisiko terkesan dengan isu kerosakan sistem elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut mengalami kerosakan akibat bencana ribut taufan dan pokok tumbang,” menurut SADA.

SADA memaklumkan bagi mengurangkan beban pengguna yang terjejas tindakan segera melalui penghantaran lori tangki air dan penempatan tangki statik di pusat pemindahan sementara (PPS) sedang dilaksanakan pada masa ini.

“Maklumat berkenaan gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform media sosial dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my atau boleh menghubungi i-SADA di talian 1300-88-0017,” menurut syarikat itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan