WILAYAH - UTARA > BERITA

15 WARGA MYANMAR BEKERJA DI SYARIKAT PEMBERSIHAN DILANTIK PBT DITAHAN

19/09/2024 02:48 PM

NIBONG TEBAL, 19 Sept (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menahan 15 warga Myanmar yang bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam pemeriksaan di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat di sini malam tadi.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, JIM Pulau Pinang memaklumkan 14 lelaki dan seorang wanita kesemuanya berumur 22 hingga 46 tahun itu ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Penduduk di taman itu telah membuat aduan mengenai warga asing yang menghuni rumah di taman itu ke Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA), dan Bahagian Penguatkuasaan JIM negeri melancarkan Op Sapu untuk melakukan pemeriksaan di lapan rumah di lokasi itu.

“Rumah-rumah dua tingkat terbabit dipercayai disewa oleh majikan untuk dijadikan asrama pekerja dan dalam operasi itu, sebanyak 75 warga asing diperiksa sebelum menahan 15 orang kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah,” menurut hantaran itu. 

Berdasarkan akuan dan pakaian yang ditemukan, 15 warga asing itu bekerja dengan kontraktor syarikat pembersihan yang dilantik PBT sebagai pemotong rumput. 

Kesemua mereka telah ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah dan pihak imigresen juga menjalankan siasatan terhadap majikan serta pemilik kediaman terbabit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan