WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERDANA MENTERI PERANCIS BARNIER BENTUK KERAJAAN

20/09/2024 12:02 PM

PARIS, 20 Sept (Bernama-dpa) -- Perdana Menteri baharu Perancis, Michel Barnier berjaya membentuk kerajaan dan dijangka menyerahkan senarai anggota Kabinet baharu kepada Presiden Emmanuel Macron pada petang Jumaat, menurut kenyataan kerajaan pada Khamis, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Landskap politik di Perancis masih goyah susulan keputusan pilihan raya parlimen awal kira-kira dua bulan yang lalu, gagal mencapai majoriti atau pakatan yang mampu membentuk kerajaan.

Barnier, bekas pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU), dilantik sebagai perdana menteri dua minggu lalu dengan diberi mandat untuk membentuk Kabinet baharu minggu ini.

Barnier mengadakan rundingan dengan wakil-wakil utama daripada parti yang menyokong Macron dan Parti Konservatif, dengan harapan mereka akan memberikan sokongan kepada kerajaan baharunya.

Sesi rundingan yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri Gabriel Attal, membincangkan struktur dan keseimbangan dalam kerajaan akan datang.

Dalam pilihan raya itu, parti yang menyokong Emmanuel Macron, yang dikenali sebagai pakatan centrist (berhaluan tengah) memperoleh tempat kedua.

Pakatan yang mendahului mereka adalah New Popular Front (NFP), sebuah gabungan parti berhaluan kiri. Pakatan NFP terdiri daripada parti-parti seperti France Unbowed, Parti Sosialis, Parti Komunis dan Parti Hijau.

Kerajaan baharu dijangka diumumkan secara rasmi pada Jumaat.

Masih belum jelas sejauh mana Barnier akan mengisi jawatan menteri dengan calon-calon daripada parti berhaluan kiri.

NFP pada awalnya menolak untuk menyertai kerajaan selepas Macron enggan menamakan calon mereka sebagai perdana menteri dan sebaliknya memilih Barnier yang berhaluan konservatif untuk membentuk kerajaan.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan