WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGISIAN PATRIOTISME WAJAR DISEMARAK WALAUPUN SAMBUTAN HKHM TAMAT - FAHMI

20/09/2024 03:23 PM

PUTRAJAYA, 20 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pengisian patriotisme perlu disemarak dan diteruskan biarpun Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 telah tamat dengan jayanya.

Beliau berkata semangat patriotisme harus disemarakkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang, bukan hanya pada Bulan Kebangsaan, tetapi sebagai simbol kebanggaan sepanjang masa.

“Program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang berjalan dengan baik, dan kita perlu usahakan sedikit pengisian dan memberi fokus kepada generasi Alpha agar mereka memahami makna simbol Jalur Gemilang, termasuk erti 14 bucu pada bintang.

“Saya minta Jabatan Penerangan (Japen) usahakan satu modul untuk Komuniti MADANI agar mereka memudahkan pemahaman (masyarakat),” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bulan September di sini, hari ini.

Fahmi berkata berkata kejayaan Program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang, juga memberi peringatan memastikan projek atau program kementerian akan datang diuruskan dengan lebih baik tanpa sebarang ketirisan.

Fahmi berharap Kementerian Komunikasi terus memainkan peranan penting dalam membantu kementerian lain untuk menyampaikan mesej dan dasar program mereka kepada masyarakat.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minta Kementerian Komunikasi bantu promosi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang akan berakhir Ahad ini.

“Saya dah minta RTM, Bernama dan Japen untuk tingkatkan promosi. Ini tidak bermaksud kita ambil alih tugas Unit Komunikasi Korporat kementerian lain, tetapi kita perlu selaraskan beberapa perkara supaya tidak timbul tanggapan, kita tidak bantu mereka,” katanya.

Beliau juga meminta Japen untuk meneliti dan menjelaskan kepada warga kementerian mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sekiranya ada dalam kalangan petugas masih kurang jelas mengenai perkara tersebut.

Pegawai awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari bermula 21 Okt hingga 30 Nov ini untuk memilih sama ada SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sebelum ia berkuat kuasa 1 Dis ini.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 (Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan)  boleh diakses melalui portal www.sspa.jpa.gov.my.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan