WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERHILITAN KELANTAN BERJAYA TANGKAP BERUANG MATAHARI, HARIMAU KUMBANG SUSULAN ADUAN

04/11/2024 08:11 PM

KOTA  BHARU,  4 Okt  (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor beruang matahari dan seekor harimau kumbang susulan aduan awam mengenai kemunculan haiwan liar itu, semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata beruang matahari itu ditangkap di Kampung Sungai Pas, Kuala Krai, manakala harimau kumbang pula di ladang HR Plantation Kuala Koh, Gua Musang.

“Kedua-dua haiwan liar ini ditangkap selepas Perhilitan menerima aduan daripada orang awam berhubung beruang matahari yang berkeliaran di kawasan kebun penduduk kampung, dan harimau kumbang pula dilaporkan mencederakan ternakan lembu di kawasan ladang berkenaan.

“Beruang matahari dan harimau kumbang ini telah memasuki perangkap yang dipasang di lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Hafid berkata operasi pemindahan dan pelepasan semula beruang matahari serta harimau kumbang itu ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan melibatkan kakitangan Perhilitan Daerah Kuala Krai dan Gua Musang.

“Tangkapan haiwan liar ini sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan terbabit, sekali gus dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami penduduk akibat kemusnahan tanaman dan ternakan disebabkan konflik berkenaan.

“Bagi mengurangkan kes konflik melibatkan beruang matahari dan harimau kumbang, penduduk khususnya pekebun dan peladang perlu mengambil langkah-langkah mitigasi seperti sentiasa berteman semasa ke kebun dan tidak memasuki kawasan kebun pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata tindakan menangkap dan memindah haiwan liar ini bukan penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan terbabit berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang merupakan habitat asal hidupan berkenaan.

“Orang ramai disaran supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar, dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri.

“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan