WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANCAMAN BUAYA, MELAKA PASTIKAN KESELAMATAN PENDUDUK LEMBANGAN SUNGAI MALIM

21/11/2024 10:41 PM

MELAKA, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan Melaka akan memastikan keselamatan penduduk terutama yang tinggal berdekatan lembangan Sungai Malim di sini daripada ancaman buaya.

Sehubungan itu, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Melaka terus memasang perangkap di sungai tersebut bagi menangkap haiwan liar berkenaan.

“Kita tahu sungai ini ialah habitat semula jadi buaya jadi kita akan terus berusaha untuk memastikan keselamatan penduduk dan saya difahamkan Perhilitan akan terus memasang perangkap di sungai berkenaan.

“Perhilitan juga akan memasang perangkap di Kampung Morten memandangkan terdapat laporan mengenai reptilia itu di sana ... walaupun saiznya tidak besar namun kita nasihatkan penduduk supaya sentiasa berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Taman Malim Jaya di sini hari ini selepas perangkap dipasang Perhilitan Melaka bulan lepas berjaya menangkap seekor buaya tembaga jantan kira-kira 3.30 petang tadi.

Sebanyak sembilan anggota Perhilitan bergegas ke Sungai Malim sebaik menerima maklumat mengenai kehadiran pemangsa sepanjang 3.13 meter itu.

Difahamkan tiga ekor buaya berjaya ditangkap di Sungai Malim pada tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan