WILAYAH - SARAWAK > BERITA

USAHA PENCARIAN MH370, KAEDAH PENENTUAN GOLONGAN T15 TUMPUAN DEWAN RAKYAT HARI INI

05/11/2024 08:07 AM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kaedah penentuan golongan T15, usaha pencarian MH370 serta langkah kerajaan dalam menyelesaikan kelewatan projek tebatan banjir antara tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

 Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Kewangan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri mengenai kaedah penentuan golongan T15 khususnya untuk penyasaran subsidi petrol RON95 bermula pertengahan tahun depan.

Aminolhuda juga ingin tahu keberkesanan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel yang diusahakan melalui Budi MADANI.

Pada sesi sama, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan langkah drastik menyelesaikan kelewatan projek tebatan banjir dan kesan langsung daripadanya dalam menghadapi jangkaan banjir besar khususnya di pantai timur.

Turut menarik perhatian soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) kepada Menteri Pengangkutan yang ingin tahu sama ada kerajaan masih berhasrat untuk meneruskan usaha mencari pesawat MH370 pada sesi soal jawab.

Usai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 yang memasuki hari terakhir hari ini sebelum diikuti sesi penggulungan oleh menteri daripada setiap kementerian selama empat hari bermula esok. 

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan