WILAYAH - TIMUR > BERITA

JKM TUMPAT MULA AGIH BARANGAN KEPERLUAN MUSIM TENGKUJUH

05/11/2024 03:35 PM

TUMPAT, 5 Nov (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mula mengagihkan 28 barangan keperluan untuk kegunaan lebih 700 ketua isi rumah dari 13 kampung gugusan pulau di jajahan ini sebagai langkah bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh.

Pegawai JKM Tumpat Fathiah Ibrahim berkata kesemua barangan asas seperti tikar, selimut, beras, gula serta minyak masak itu ditempatkan di Masjid Al-Ahmadiah Mukim Pulau Teluk Renjuna di sini.

"Bagi jajahan Tumpat, kita mempunyai sembilan pangkalan hadapan termasuk di Pulau Teluk Renjuna bagi menyimpan barangan-barangan ini yang akan diagihkan segera kepada penduduk terlibat banjir.

"Setiap tahun kita tempatkan barangan keperluan ini di pangkalan hadapan dan ia mencukupi bagi keperluan penduduk, tetapi jika berlaku kekurangan bekalan, penghulu mukim boleh maklumkan kepada JKM," katanya kepada pemberita di Kampung Pulau Teluk Renjuna di sini hari ini.

Antara 13 kampung di gugusan pulau itu ialah Pulau Suri, Pulau Seratus, Pulau Beluru, Teluk Renjuna, Pantai Baru, Pulau Tongkang, Pulau Haji Nik Mat dan Pantai Timun. 

Sementara itu, Penghulu Mukim Pulau Seratus Azahari Musa berkata dengan adanya stok barangan keperluan, ia akan memudahkan pihaknya menyalurkan bantuan kepada penduduk mengikut kawasan terlibat.

"Cara agihan bergantung kepada tempat yang terkesan banjir, sekiranya mereka tidak boleh datang ambil barang-barang ini, kita hantar kepada mereka supaya barangan ini sampai dengan selamat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan