WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MTL: JAKOA SIAP SIAGA HADAPI BANJIR

05/11/2024 05:55 PM

KUANTAN, 5 Nov (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sudah bersiap sedia dan melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang bermula hari ini hingga Mac tahun depan bagi memastikan penduduk Orang Asli di kawasan berisiko terjejas banjir dapat diberi bantuan segera. 

Ketua Pengarah JAKOA Datuk Sapiah Mohd Nor berkata persediaan merangkumi logistik, kebajikan dan bekalan makanan bagi mengelak penduduk di perkampungan Orang Asli yang sering terbabit banjir, terjejas teruk sehingga sukar mendapat makanan dan sebagainya. 

Beliau berkata kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut dilakukan JAKOA bagi urusan penghantaran bantuan menggunakan helikopter ke perkampungan Orang Asli yang tidak dapat diakses akibat musim tengkujuh. 

“Jangan fikir sudah banjir, baru JAKOA nak buat persiapan. Kita sebenarnya dah siap siaga dari awal, misalnya bantuan bakul makanan ke kawasan perkampungan Orang Asli terjejas banjir, kita sudah ada kontrak bakul makanan itu daripada tahun lepas dan setiap dua tahun, akan diperbaharui. 

“Biasanya akan ada kesusahan dalam hantar bantuan, tetapi kita ada alternatif. Contoh, dalam rekod JAKOA ada 853 kampung Orang Asli, tetapi yang terjejas banjir, biasanya hanya sebahagian. Jadi, ada kawasan boleh akses penghantaran bantuan laluan darat, kita gunakan pengangkutan darat tetapi kalau tidak dapat, kita akan gunakan bot atau helikopter,” katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Pengoperasian Pusat Latihan JAKOA Paya Bungor (PLPB) di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad Datuk Idris Lasim. 

Sapiah berkata kerjasama erat bersama tok batin dan penghulu di perkampungan Orang Asli turut sama ditekankan dalam memastikan kebajikan dan keselamatan penduduk terjamin antaranya menyalurkan maklumat berkaitan Monsun Timur Laut serta jenis bantuan yang akan diberikan sepanjang musim tengkujuh. 

Mengenai pusat latihan berkenaan, beliau berkata ia telah beroperasi semula pada 1 Nov lepas selepas hampir 10 tahun ditutup bagi kerja-kerja bina baharu dan menaik taraf, sekali gus dilihat medan terbaik mengubah sosioekonomi masyarakat Orang Asli negara ini. 

Beliau berkata pengambilan pelatih baharu dijangka pada pertengahan Jun tahun depan dengan kuota peserta sebanyak 75 orang bagi setiap sesi dan fokus kepada penyediaan kursus jahitan.

“Kapasiti pengoperasian penuh pelatih dalam satu-satu masa ialah 135 orang dengan melibatkan Kursus Jahitan Jangka Panjang iaitu 75 orang dan Kursus Jangka Pendek 60 orang. Bagi Kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bermula dari Tahap 2, 3 dan 4 (Diploma) akan dilatih tenaga pengajar yang mendapat tauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran.

“Pusat ini berfokuskan kepada kursus jahitan pembuat pakaian wanita. Matlamat utama tertubuhnya pusat latihan ini adalah memberi peluang latihan kemahiran dan sijil serta diploma kepada belia dan beliawanis Orang Asli sekali gus memberi pendapatan sampingan kepada diri dan keluarga,” katanya. 

Sejak beroperasi pada 1999, PLPB telah melahirkan 530 pelatih mengikuti kursus jahitan pembuat pakaian wanita.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan