WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MUIP PERUNTUK RM27.3 JUTA BAGI MANFAAT PENDIDIKAN ASNAF

05/11/2024 09:41 PM

KUANTAN, 5 Nov (Bernama) -- Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan RM27.3 juta bagi manfaat pendidikan golongan asnaf di negeri ini setakat September lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif MUIP Datuk Ahmad Hairi Hussain.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM20.5 juta diagihkan kepada 18,960 pelajar di bawah Skim Bantuan Dermasiswa manakala RM5 juta diperuntukkan bagi bantuan awal institusi pengajian tinggi (IPT) yang memanfaatkan 4,887 pelajar.

"Bantuan Am Pendidikan kepada 26 surau sekolah rendah dan menengah pula berjumlah RM878,125 yang diperuntukkan bagi tujuan pembangunan penghayatan Islam," katanya ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Platform Pendidikan GNIUS dan Tablet kepada Pelajar Sekolah Menengah Ugama Majlis (SMUM) dan Asnaf-Asnaf Pahang di sini hari ini.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan menyempurnakan majlis dan mengurniakan tablet kepada pelajar asnaf Pahang.

Ahmad Hairi berkata sebanyak RM245,085 lagi diperuntukkan menerusi Bantuan Am Pendidikan kepada 54 Sekolah Agama Rakyat, Kelas Agama dan Fardu Ain, Bantuan Am Pendidikan empat SMUM (RM259,000) dan agihan tunai kepada 119 pelajar anak asnaf fakir miskin yang berjaya ke universiti awam (RM326,200). 

Beliau berkata selain itu, RM96,000 diperuntukkan bagi bantuan komputer riba kepada 38 anak asnaf untuk keperluan pembelajaran di universiti awam dan RM320,325 lagi diagihkan kepada 33 pondok dan madrasah dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan pondok.

Ahmad Hairi berkata pada program hari ini pula, sejumlah RM330,000 dana wakalah dibelanjakan bagi memanfaatkan 434 pelajar SMUM, Akademi YASA-MUIP, Kelas Akademi Kecemerlangan Anak Asnaf (AKAF) dan maahad tahfiz serta pondok di sekitar Pahang.

"Manfaat yang akan diterima berbentuk platform pendidikan dalam talian dipanggil GNIUS bersama tablet yang mampu memenuhi keperluan pendidikan berkualiti tinggi dan berdaya teknologi seiring perkembangan zaman.

"Program menerusi dana wakalah yang dibiayai syarikat Ivory Task Holdings ini menjadi satu anjakan paradigma dalam dunia pendidikan kerana platform GNIUS itu turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan pelajar mengakses pelbagai sumber pendidikan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan