WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROJEK BAHARU DI JOHOR BERI LEBIH BANYAK PELUANG PEKERJAAN - TUNKU MAHKOTA ISMAIL

05/11/2024 09:51 PM

JOHOR BAHRU, 5 Nov (Bernama) -- Johor akan menjadi negeri pertama menawarkan gaji premium bermula RM4,000 dan RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan Ahad lepas. 

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah pelbagai projek baharu di negeri itu dijangka mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor dalam beberapa tahun akan datang. 

"Kerajaan negeri menerusi Johor Plantations Group Berhad (JPG) berjaya memeterai kerjasama dengan syarikat Jepun, Fuji Oil Asia Pte Ltd untuk membina kilang penapisan minyak sawit serta lemak khusus di negeri ini. 

"Kerjasama ini membabitkan nilai pembangunan awal berjumlah RM500 juta," titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Tunku Mahkota Ismail hari ini. 

Baginda bertitah kerajaan negeri turut bertemu dengan 83 syarikat terkemuka di Korea Selatan untuk mempromosikan inisiatif penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan bakal membawa pelaburan strategik bernilai kira-kira US$190 juta ke negeri itu.

Pada Ahad lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata Johor menjadi negeri pertama di Malaysia memiliki majlis pembangunan bakatnya sendiri melalui penubuhan JTDC.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dipetik berkata inisiatif kerajaan negeri membangunkan JTDC adalah usaha yang tepat dalam membangunkan ekosistem tenaga kerja mahir di Johor.

Sementara itu, Tunku Mahkota Ismail bertitah Istana Besar Johor dan Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini akan dinaik taraf dalam masa terdekat sebelum dibuka kepada umum sebagai usaha menambah nilai pelancongan di daerah ini. 

"Kedua-dua Bangunan Sultan Ibrahim dan Istana Besar Johor mempunyai pelbagai sejarah Johor sejak abad ke-19," titah baginda. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan