WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA TEROKA LALUAN TENAGA NUKLEAR SOKONG SASARAN SIFAR BERSIH 2050

06/11/2024 10:41 AM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) – Malaysia yang berusaha untuk mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050, sedang menilai semua laluan tenaga yang ada, termasuk tenaga nuklear yang berpotensi memainkan peranan penting dalam menyokong masa depan yang lebih bersih. 

Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata Malaysia mengakui kepentingan untuk mengguna pakai penyelesaian yang berfikiran ke hadapan dan pelbagai,  seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Malaysia sedang menilai semua laluan yang ada, termasuk teknologi tenaga nuklear, yang berpotensi menyediakan kuasa yang boleh dipercayai dan rendah karbon untuk menyokong masa depan tenaga yang lebih bersih,” katanya pada Seminar Tenaga Nuklear Malaysia-Korea Selatan 2024 yang diadakan di sini, pada Selasa.

Seminar itu, yang dianjurkan bersama oleh Kedutaan Korea Selatan di sini dan Pusat Bagi Revolusi Perindustrian Keempat  Malaysia (MYCentre4IR), memberi tumpuan kepada kerjasama Malaysia-Korea dalam bidang tenaga nuklear, selaras dengan matlamat Malaysia untuk mencapai sifar bersih pelepasan gas rumah kaca menjelang 2050.

Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung Bae, menyambut baik usaha kerjasama itu dan menekankan komitmen negaranya untuk memajukan aspirasi nuklear Malaysia.

“Seminar ini menandakan permulaan baharu dalam kerjasama nuklear kami, dan Korea komited untuk menyokong usaha Malaysia dalam kepelbagaian tenaga,” katanya.

Beliau berkata kepercayaan strategik jangka panjang antara kedua-dua negara akan mengukuhkan kerjasama dalam tenaga nuklear, dengan Korea bersedia menyumbangkan kepakaran dan sokongan pembangunan kapasiti.

Acara itu menampilkan pembentangan mengenai trend nuklear global, termasuk pandangan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Forum Ekonomi Dunia (WEF), yang membincangkan penyelesaian nuklear mampan dan penggunaan reaktor modular kecil (SMR) di seluruh dunia.

Satu pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan KEPCO International Nuclear Graduate School (KINGS) menjadi satu sorotan utama, bertujuan memperkukuh kerjasama penyelidikan nuklear dan pertukaran pelajar.

Perbincangan panel, termasuk wakil daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Korea Hydro & Nuclear Power (KHNP), membincangkan kesiapsiagaan rantaian bekalan nuklear dan usaha pembangunan kapasiti dalam sektor berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan