WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LEMBAGA KELAYAKAN PROFESION UNDANG-UNDANG TIDAK DIAUDIT 17 TAHUN, TINDAKAN SEGERA DIAMBIL

06/11/2024 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Pengauditan terhadap Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang akan dilaksanakan segera berikutan laporan kewangan lembaga itu didapati tidak pernah diaudit sepanjang tempoh 17 tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata perkara itu sedang diteliti kerajaan dan tindakan susulan akan dilaksanakan selaras usaha kerajaan memperkukuh tatakelola yang baik.

“Yang Berhormat, saya setuju bahawa tidak ada pengauditan (terhadap Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang) untuk 17 tahun. Perkara ini saya telah jawab kepada soalan yang dikemukakan di Kamar Khas minggu lepas dan itu kali pertama kita mengetahui bahawa tidak ada pengauditan.

“Kita sedang mengambil tindakan susulan supaya pengauditan dibuat dengan seberapa segera yang boleh supaya semua pihak berkepentingan dapat tahu sama ada pengendalian oleh lembaga itu mengikut undang-undang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai sebab Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang tidak pernah diaudit dan sama ada lembaga itu turut mendapat pelepasan cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kulasegaran berkata difahamkan, LHDN juga tidak mengenakan cukai terhadap Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang, bagaimanapun beliau yakin terdapat perkara yang perlu dibincangkan secara mendalam dengan pihak terlibat mengenai perkara itu.

Menjawab soalan asal Cha berhubung jumlah bayaran yang telah diterima oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang daripada calon peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) bagi 2024, beliau berkata setakat 30 Sept lepas, lembaga itu memperoleh RM4.26 juta melibatkan pembayaran yuran pemprosesan permohonan peperiksaan, yuran pendaftaran dan peperiksaan calon baharu dan peperiksaan ulangan.

Bagi nilai perbelanjaan lembaga itu bagi 2024, Kulasegaran berkata ia berjumlah RM543,226.95 untuk pelbagai jenis perbelanjaan CLP hingga tempoh 30 Sept lepas.

“Kos perbelanjaan itu tidak termasuk dengan kos sewaan dan pengurusan dewan peperiksaan yang dianggarkan berjumlah lebih RM51,000 yang belum dibayar serta kos perbelanjaan bagi peperiksaan CLP Tambahan 2024 yang diadakan pada 12 Nov ini.

“Selain itu, lembaga juga menanggung kos lain pembiayaan operasi, pembayaran gaji dan caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), sewaan pejabat, majis graduasi calon CLP dan lain-lain,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan