WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOTAC AKAN SEMAK SEMULA AKTA INDUSTRI PELANCONGAN

06/11/2024 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menyemak semula Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992 (Akta 482), kata Timbalan Menterinya Khairul Firdaus Akbar Khan.

Beliau berkata untuk tujuan itu, kementerian akan mengadakan perbincangan bersama-sama pemain industri sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“MOTAC komited untuk berbincang dan menerima input daripada pemain industri,” katanya menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Salamiah meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan sama ada kementerian itu bersedia mengkaji semula dan membatalkan Seksyen 6(1)(i)(iii) AIP 1992 yang mewajibkan setiap bas persiaran menggunakan khidmat pemandu pelancong kerana membebankan pengguna dan pengusaha bas persiaran domestik yang beroperasi secara kecil-kecilan serta tidak melibatkan pelancong asing.

Khairul Firdaus berkata peraturan di bawah AIP telah mengambil kira ekosistem industri pelancongan tempatan merangkumi keperluan syarikat pengendali pelancongan dan agensi pengembaraan pemandu pelancong, institusi latihan pelancongan, kenderaan pelancongan, dan pendaftaran serta pengelasan premis penginapan pelancong.

Beliau berkata MOTAC juga memberikan kelonggaran pengecualian pemandu pelancong di dalam bas persiaran bagi beberapa tujuan dan pengusaha boleh memohon pengecualian berdasarkan syarat ditetapkan.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang ingin tahu persediaan kementerian dan agensi bagi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, Khairul Firdaus berkata MOTAC akan memanfaatkan kepengerusian ASEAN tahun depan untuk mempromosikan kempen TMM 2026.

“Malaysia selaku tuan rumah Forum Pelancongan ASEAN (ATF) akan menggunakan peluang keemasan ini untuk mempromosikan Malaysia dalam kalangan negara anggota bagi menarik lebih ramai pelancong dari wilayah ASEAN pada 2026,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan