WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BAYARAN AKHIR STR DISALUR SECARA BERPERINGKAT BERMULA ESOK - MOF

06/11/2024 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan menyalurkan bayaran akhir Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 secara berperingkat bermula esok kepada 8.7 juta penerima mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan juga akan menyalurkan bantuan tunai tambahan one-off Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 8 juta penerima STR yang bukan daripada kumpulan miskin dan miskin tegar mengikut kaedah pembayaran STR bermula 9 Dis ini.

Kenyataan itu turut menjelaskan baki 700,000 penerima STR daripada kumpulan miskin dan miskin tegar akan terus menerima manfaat bantuan SARA sepanjang tahun.

“Dengan penambahan bantuan tunai ini, isi rumah berkelayakan akan menerima hingga RM1,000 untuk pembayaran akhir STR bagi tahun ini dan ia selaras dengan keprihatinan kerajaan MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Pembayaran terakhir STR melibatkan peruntukan RM3.4 bilion, dan kerajaan telah menyalurkan hampir RM10 bilion kepada penerima STR dan SARA sepanjang 2024 berbanding RM8 bilion pada 2023,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, MOF memaklumkan di bawah Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menambah baik STR dan SARA 2025 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM13 bilion.

Perdana Menteri dipetik sebagai berkata peningkatan peruntukan itu sebanyak 30 peratus ialah yang tertinggi pernah diberikan kerajaan untuk menangani kos sara hidup rakyat yang akan memanfaatkan hampir 60 peratus penduduk berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

“Kenaikan peruntukan ini merupakan hasil penstrukturan semula kewangan kerajaan yang mengambil pendekatan untuk mengagihkan semula kekayaan negara kepada rakyat terbanyak,” menurut beliau.

MOF memberitahu kerajaan juga mengambil pendekatan membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.

Langkah itu bagi memastikan mereka yang layak, namun tiada dalam pangkalan data kerajaan tampil mengemukakan permohonan masing-masing selain membenarkan penerima sedia ada membuat pengemaskinian sekiranya mempunyai perubahan maklumat.

“Bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau exclusion error, data penerima STR sedia ada akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan selain data daripada beberapa agensi kerajaan lain untuk disemak kelayakan STR 2025 mengikut syarat yang ditetapkan,” menurut kementerian itu.

MOF dalam pada itu, menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.

“Sebagai perlindungan daripada kes penipuan (scam), pihak MOF tidak membuat penghantaran SMS dan mesej WhatsApp meminta maklumat peribadi kepada individu,” menurut kenyataan itu.

Pemohon boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut dan semakan status pembayaran dan kelulusan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai STR, sila hubungi talian bantuan STR/SARA MOF iaitu 03-8882 4565/4566.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan