WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SAYA BERKONGSI SUAMI DENGAN NEGARA - ISTERI KOMANDER MALBATT

06/11/2024 10:33 PM

PETALING JAYA, 6 Nov (Bernama) -- Memang tidak mudah bagi seorang isteri berjauhan dengan suami apatah lagi melepaskan insan tersayang itu ke medan konflik.

Perasaan itu dikongsi Haslinda Rahim, 48, selepas mengetahui suaminya Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh dipilih menyertai misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) buat kali kedua di Lubnan.

“Bila dapat tahu nama suami dipilih saya anggap ia sebagai rezeki dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan namun perasaan mula berbelah bahagi setelah mengetahui keadaan terkini di sana.

“Tetapi bila difikirkan semula, saya berkongsi beliau dengan negara, jadi saya perlu reda,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penghantaran Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.

Haslinda mengakui beliau dan dua anak perempuannya bimbang dengan keselamatan suami susulan serangan Israel di negara itu sejak September lepas, namun tetap berbangga suaminya terpilih serta mendoakan keselamatan kesemua anggota dan pegawai MALBATT sepanjang operasi. 

Sementara itu, Johan Effendi yang ditugaskan sebagai komander MALBATT 850-12 berkata kesemua anggota dan pegawai MALBATT telah diberikan latihan selama 12 minggu sebagai persiapan fizikal dan mental untuk bertugas selama setahun di Lubnan. 

"Kita membawa nama baik Malaysia ke Lubnan yang buat masa sekarang ini di bawah krisis kemanusiaan. Situasi di sana agak tegang dan kita harapkan keadaan akan reda untuk kami melaksanakan tugas pengaman yang diberikan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL),” katanya yang kali pertama menyertai MALBATT pada 2019 dan ditugaskan sebagai Timbalan Komander. 

Penghantaran MALBATT 850-12 melibatkan empat peringkat  bermula hari ini hingga 18 Nov  dengan 854 anggota terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat termasuk tiga pegawai dan 27 anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang pegawai awam kewangan daripada Kementerian Pertahanan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan