WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HARIMAU MALAYA TEPATI RAMALAN KECEWAKAN LAOS 3-1

15/11/2024 12:02 AM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Skuad bola sepak kebangsaan menepati ramalan apabila mengecewakan Laos 3-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Port Authority of Thailand (PAT) di Bangkok, Thailand hari ini. 

Babak pertama yang menyaksikan hujan lebat dan padang berlecak tidak menggangu momentum skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente membuka tirai jaringan seawal minit keenam dengan tandukan kemas Harith Haiqal Adam Afkar selepas menerima sepakan penjuru Paulo Josue. 

Malaysia hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-32 apabila Muhammad Safawi Rasid meledak jaringan namun sepakan terlalu kuat menjadikan bola sekadar melintasi palang gawang anak buah jurulatih Laos dari Korea Selatan, Ha Hyeok-jun. 

Seminit kemudian kelonggaran barisan pertahanan Harimau Malaya dihukum dengan jaringan pertama Laos apabila Kydavone Souvanny tenang meleret bola ke dalam gol sekali gus menyamakan kedudukan 1-1. 

Malaysia kemudian terus melakukan asakan lebih berkesan bagi menjarakkan kedudukan namun tidak berhasil meskipun pengadil memberi tiga minit masa tambahan untuk separuh masa pertama. 

Memasuki babak kedua, percaturan Vicente untuk membuat pertukaran beberapa pemain membuahkan hasil apabila Stuart Wilkin mengambil sepakan penalti untuk jaringan kedua sekali gus meletakkan Malaysia kembali di hadapan 2-1 pada minit ke-64. 

Sepakan itu diberi pengadil selepas Sengdaovy Hanthavong menjatuhkan Stuart dalam petak penalti. 

Malaysia terus menambah luka skuad Laos yang diberi julukan Million Elephants apabila Sergio Aguero menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti pada minit ke-83 dan keputusan kekal 3-1 hingga tamat perlawanan. 

Keputusan itu merupakan kemenangan kelapan skuad negara ke atas Laos dalam lapan pertemuan terakhir termasuk kemenangan besar 5-0 pada Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Ia sekali gus menjadi tonik terbaik sebelum menentang India di Hyderabad pada 18 November ini.

Mengulas mengenai perlawanan hari ini, Vicente berkata keadaan padang sedikit merencatkan rentak permainan anak buahnya.

“… pada separuh masa pertama, dengan keadaan padang seperti itu, adalah lebih baik tunggu dan tunda permulaan permainan. Tetapi kami terpaksa menyesuaikan diri dan ia perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan rentak permainan yang perlu dalam situasi ini.

“Saya berasa agak kecewa, apabila anda sudah menyediakan sesuatu ketika latihan dan kemudian berhadapan dengan keadaan seperti ini menjadikan sangat sukar untuk bermain, tetapi kami masih menang dan mengutip mata daripada perlawanan ini,” katanya menerusi rakaman audio yang dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini. 

Vicente berkata pasukan bimbingannya perlu diasah di bahagian penyudah kerana kelemahan itu dilihat ketara pada perlawanan hari ini. 

“Kita perlu baiki dari segi  'penyudah'… jaringan gol hasil tendangan sudut dan penalti sedangkan banyak peluang menjaringkan gol gagal dimanfaatkan sepenuhnya … masalah ini perlu diatasi, sekurang-kurangnya memastikan apabila berada dalam kotak penalti, jangan lepaskan peluang itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


I


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan