WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOT, KKR DALAM PROSES AKHIR BANGUNKAN SISTEM HS-WIM

06/11/2024 11:46 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang dalam proses akhir membangunkan sistem ‘High Speed Weigh-In-Motion’ (HS-WiM) bagi mengatasi nahas jalan raya berpunca daripada kenderaan lebih muatan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pemasangan sistem itu kelak khususnya di kawasan ‘hot spot’ kenderaan lebih muatan dan ‘black spot kemalangan maut bertujuan memastikan penguatkuasaan yang lebih bersepadu dan moden.

“Kita tahu di Lebuhraya Karak ini memang berlaku banyak kemalangan dan untuk kenderaan perdagangan berat operasi bersepadu telah dilaksanakan secara berterusan. Kita akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi penguatkuasaan untuk mengurangkan kemalangan.

“Satu daripada isu yang sentiasa berlaku ialah lori muatan logistik yang berlebihan dan ini akan sentiasa dipantau oleh pihak kementerian,” katanya menjawab celahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi MOT pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Young Syefura ingin tahu peranan yang boleh dilakukan oleh kementerian untuk mengurangkan kekerapan berlakunya kemalangan di Lebuhraya Karak hingga menyebabkan kehilangan nyawa.

Loke berkata sebagai usaha jangka panjang untuk mengurangkan beban trafik di jalan raya, MOT akan menggalakkan penggunaan rel untuk mengangkut kargo khususnya dari Lembah Klang ke Pantai Timur.

“Selepas ECRL (projek Laluan Rel Pantai Timur) siap nanti, sudah tentu kita akan merangka dasar yang mengurangkan kebergantungan kepada lori kenderaan berat. Ini dapat mengurangkan penggunaan trak di atas jalan raya,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang bertanya perancangan kementerian supaya stesen keretapi dihubungkan dengan pengangkutan awam lain di kawasan luar bandar dan terdapat permintaan tinggi menaik taraf stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Loke berkata kerja naik taraf memang diberi perhatian oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

“Dari segi pengintegrasian saya setuju tetapi kita memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebab pekarangan stesen itu di bawah MOT tetapi (kawasan) luar bukan di bawah kementerian.

“Umpamanya kalau hendak menghubungkan stesen KTM dan perhentian bas, laluan pejalan kaki itu bawah PBT jadi PBT perlu ambil satu sikap lebih proaktif dan boleh berhubung dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk lihat bagaimana kita naik taraf.

“Memang di Lembah Klang kita sedang cuba naik taraf pengintegrasian antara stesen pengangkutan awam dan saya setuju bukan sahaja di Lembah Klang perlu tetapi seluruh negara, bandar-bandar lain seperti Alor Setar dan sebagainya memerlukan integrasi pengangkutan awam lebih efisien,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan