WILAYAH - TENGAH > BERITA

PERTAMBAHAN KUOTA 1,500 GURU KAFA, BUKTI K'JAAN SERIUS TINGKAT PENDIDIKAN ISLAM - MOHD NA'IM

07/11/2024 01:04 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Cadangan penambahan kuota guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak 1,500 orang dalam Belanjawan 2025 adalah bukti kerajaan amat serius dalam meningkatkan pendidikan Islam di negara ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata pertambahan kuota itu juga bagi mengatasi masalah kekurangan guru, peningkatan jumlah murid dan pembukaan kelas bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK). 

“Nisbah guru yang dijajarkan adalah 1:30 bertujuan untuk memastikan elemen keberkesanan dan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP). Setakat tahun 2024, bilangan guru KAFA adalah seramai 35,000 orang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat. 

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai langkah kerajaan bagi memperkasakan lagi kelas KAFA di seluruh negara agar sentiasa dinamik seiring dengan peredaran zaman ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang memiliki modal insan berkualiti tinggi dan berakhlak mulia. 

Mohd Na’im berkata kerajaan amat serius dalam memperkukuhkan pendidikan Islam melalui pemerkasaan pendidikan KAFA agar kekal relevan dengan perkembangan semasa selaras dengan falsafah pengajiannya iaitu untuk membentuk generasi khairu ummah.

Beliau berkata pelbagai usaha dan pendekatan telah giat dijalankan bagi meningkatkan kualiti pendidikan KAFA sama ada melalui aspek tadbir urus dan penyelarasan, program latihan kompetensi perguruan, semakan kurikulum dan kokurikulum secara berkala, penambahbaikan sistem penilaian prestasi murid dan lain-lain.

Mohd Na’im berkata bermula tahun depan peperiksaan pra-tahfiz akan dilaksanakan di premis KAFA terpilih dan murid yang terlibat akan dianugerahkan sijil KAFA pra-tahfiz yang menjadi nilai tambah kepada sijil Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) sedia ada.

“JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) akan terus mendukung aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkasakan KAFA supaya kekal dinamik dan berdaya saing. Usaha ini adalah selaras matlamat pendidikan Islam untuk melahirkan insan berilmu, berakhlak dan mencapai kejayaan di dunia dan akhirat,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai kaedah atau mekanisme bagi menapis guru KAFA yang dilantik supaya berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Mohd Na’im berkata JAKIM akan menilai dan mengadakan satu proses yang teliti bagi memastikan guru KAFA yang dilantik benar-benar memahami dan mengikuti aliran itu.

“Dalam konteks memastikan murid-murid yang dibangunkan dalam pendidikan KAFA ini menerima pendidikan agama yang sebenar daripada sudut asasnya, maka sudah tentu tapisan awal bagi pemilihan kepada guru-guru KAFA ini sangat penting.

“Sebab kalau guru-guru KAFA tidak ditapis dan dilantik, dan tidak memahami konteks untuk membina murid-murid dalam pendidikan KAFA ini yang menjurus kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka sudah tentu dia akan mencacatkan usaha dan falsafah pendidikan KAFA itu sendiri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan