WILAYAH - SARAWAK > BERITA

COMMED 2024 TAWAR PELUANG UNIK KEPADA PELAJAR, AHLI AKADEMIK TEROKA TREND BAHARU

07/11/2024 03:18 PM

SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) -- Festival Komunikasi dan Media (COMMED) 2024 menawarkan peluang unik untuk pelajar dan ahli akademik meneroka trend baru muncul dan membincangkan masa depan bidang komunikasi dan media dengan profesional industri.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti & Alumni) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Jamalunlaili Abdullah berkata festival itu menyediakan platform untuk pelajar, ahli akademik dan profesional melibatkan diri dengan isu-isu kritikal ini, di samping memupuk masyarakat lebih bermaklumat dan bertanggungjawab.

“Ia juga berfungsi menyanjung matlamat bersama kita dan menawarkan ruang dinamik bagi pembelajaran, rangkaian kerja dan mendapatkan inspirasi daripada barisan penceramah serta bengkel pembelajaran yang hebat.

“Ia mnyerlahkan komitmen UiTM untuk terus mendahului anjakan industri dan menyediakan pelajar untuk kerjaya yang berimpak,” katanya.

Jamalunlaili berkata demikian pada majlis penutup COMMED 2024 di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM Shah Alam, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Dekan FKPM Dr Abd Rasid Abd Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj; dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus.

Hadir sama Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama Mohd Shukri Ishak, Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali dan Ketua Pegawai Operasi Bernama Radio Azlan Idris.

Jamalunlaili menekankan FKPM juga memainkan peranan penting dalam menghubungkan UiTM dengan masyarakat umum melalui usaha perhubungan awam strategik dan kempen berkesan, yang membantu menjadikan universiti itu sebagai antara institusi pengajian tinggi paling dihormati di Malaysia.

“Tidak disangsikan lagi, program Komunikasi Massa akan terus menjadi komponen penting dalam perkembangan UiTM pada masa hadapan dan akan berada di barisan hadapan dalam pelbagai kemajuan teknologi, membimbing kita ke komunikasi era baharu,” katanya.

Sementara itu, Abd Rasid berkata program selama dua hari ini bertujuan mewujudkan ruang khusus untuk dialog dan kerjasama, yang akan memberi inspirasi serta memperkasakan industri komunikasi dan media.

“Bagi menangani cabaran dunia moden yang sentiasa berubah, adalah penting bagi kita untuk memupuk budaya komunikasi dan media yang transformatif, inklusif dan bertanggungjawab,” katanya dalam ucapan perasmiannya.

Abd Rasid turut mengumumkan penubuhan Bilik Berita FKPM, melalui kerjasama dengan Bernama.

“Kerjasama ini menyediakan mahasiswa kewartawanan dan komunikasi pengalaman bilik berita sebenar, menggunakan komputer berprestasi tinggi dan perisian, membolehkan mereka belajar di bawah keadaan masa sebenar, seperti standard industri.

“Mahasiswa akan memperoleh kemahiran yang tidak ternilai dalam melaporkan berita, penyuntingan dan penyiaran, mempersiapkan mereka untuk kerjaya dalam bidang media yang kompetitif. Terima kasih, Bernama,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang dua hari Festival COMMED 2024 berlangsung bermula semalam termasuk pertandingan Mobile Legends, gerai pameran dan pencarian bakat penyampai berita TV serta DJ radio untuk Bernama.

Selain itu, bengkel penulisan berita yang dikendalikan pakar industri memberikan peserta peluang meraih pengalaman berharga dalam bidang kewartawanan melalui program berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan