WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LEBIH 90 PERATUS PESERTA MYLESEN BERJAYA MILIKI LESEN - LOKE

07/11/2024 07:03 PM

SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) – Lebih 90 peratus daripada 35,000 peserta program MyLesen telah tamat latihan dan mendapat lesen memandu masing-masing, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata baki peserta program yang menawarkan lesen memandu kepada golongan B40 dan belia secara percuma itu masih mengikuti latihan dan ujian akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

“Peruntukan bagi Program MyLesen untuk tahun ini dikhususkan kepada 35,000 penerima sahaja di seluruh negara dan setakat ini 30,000 telah selesai menjalani latihan serta ujian dan mendapat lesen.

"Program ini mendapat permintaan yang tinggi di mana kementerian menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menerima lebih 130,000 permohonan, namun hanya sebahagian sahaja layak menyertainya selepas menjalani tapisan berdasarkan syarat–syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan program MyLesen Peringkat Negeri Selangor di JPJ negeri di sini hari ini.

Loke berkata susulan permintaan tinggi dan manfaat kepada rakyat, Program MyLesen akan diteruskan tahun hadapan dengan pihaknya menyasarkan lebih ramai golongan B40 dan belia dapat dibantu untuk memiliki lesen memandu.

Beliau menjangkakan jumlah peserta program akan bertambah dan untuk itu, kementeriannya akan mencari alternatif mengumpul dana selain bantuan yang disediakan Kerajaan Perpaduan.

“Program MyLesen merupakan antara usaha kerajaan untuk memberikan manfaat secara berterusan kepada golongan sasar di negara ini.

"Selain membantu golongan sasar mempertingkatkan ekonomi dan pendapatan, program ini juga dapat membudayakan masyarakat untuk memandu kenderaan secara sah mengikut undang-undang dan melahirkan penunggang motosikal yang kompeten,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan Madani 2025 pada Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan meneruskan bantuan lesen motosikal kepada 15,000 anak muda kurang berkemampuan seperti murid sekolah menengah, mahasiswa dan belia yang mencari kerja. 

Program MyLesen bertujuan membantu golongan B40 dan belia mendapatkan lesen motosikal (Kelas B2), Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) untuk e-hailing dan bas serta Lesen Memandu Barangan (GDL) untuk lori.

Ia diperkenalkan sebagai sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2023 untuk meningkatkan peluang pekerjaan dalam sektor logistik, pengangkutan awam dan pelancongan seterusnya meningkatkan pendapatan dan status sosioekonomi peserta.

Berhubung MyLesen peringkat Selangor, Loke berkata seramai 2,175 individu daripada 2,645 peserta yang ditawarkan berjaya menamatkan program dan memiliki lesen B2, PSV e-Hailing, PSV Bas dan GDL Lori masing-masing, setakat ini.

Sebahagian besar penerima merupakan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan lesen yang dimiliki pastinya memudahkan golongan itu untuk bergerak bagi menguruskan aktiviti ekonomi dan tugasan harian masing-masing, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan