WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KESUMA KERJASAMA DENGAN HUAWEI PERSIAP INSTITUSI TVET BERTEKNOLOGI TINGGI BERTARAF DUNIA

07/11/2024 08:35 PM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bekerjasama dengan Huawei untuk mewujudkan Kampus Pintar untuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah KESUMA di seluruh negara dengan menggunakan rangkaian 5G dan teknologi Wi-Fi 7.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong Keong berkata itu adalah antara kerjasama hasil pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pengurusan tertinggi Huawei termasuk pengerusinya Liang Hua di Beijing hari ini.

Selain itu, beliau berkata KESUMA dan Huawei juga akan bekerjasama menubuhkan Pusat Pembelajaran Huawei yang memberi tumpuan kepada kursus-kursus seperti teknologi 5G, kecerdasan buatan (AI), telekomunikasi dan lain-lain.

Sim berkata kerjasama dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di bawah KESUMA untuk menubuhkan Institut Huawei juga selaras dengan pengumuman Program Anak Angkat Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) semasa Belanjawan 2025 baru-baru ini.

"KESUMA akan bekerjasama rapat dengan Huawei untuk memastikan inisiatif-inisiatif yang telah dibincangkan ini dapat dilaksanakan dengan kadar segera," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha KESUMA untuk meningkatkan taraf sektor latihan kemahiran di Malaysia iaitu mewujudkan institusi TVET berteknologi tinggi bertaraf dunia, dan mempersiapkan rakyat Malaysia untuk menyertai ekonomi abad ke-21 dengan kemahiran AI, pendigitalan dan ekonomi hijau.

Sim seterusnya berkata Perdana Menteri juga memberikan penekanan terhadap usaha bagi mengecilkan jurang digital dan menambah baik latihan kemahiran untuk rakyat Malaysia.

Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke China selama empat hari bermula 4 November lepas.

Lawatan kerja itu yang bermula di Shanghai dan berakhir di Beijing hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan