WILAYAH - SABAH > BERITA

SABAH PUJI KEPUTUSAN MAHKAMAH AGUNG PERANCIS - HAJIJI

08/11/2024 12:47 PM

KOTA KINABALU, 8 Nov  (Bernama) -- Kerajaan Sabah memuji keputusan Mahkamah Agung Perancis baru-baru ini yang menolak sepenuhnya cabaran perundangan yang difailkan oleh individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang tidak lagi wujud, berkaitan Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau amat puas hati dengan keputusan mahkamah itu.

“Kami ulangi bahawa kami tidak mengiktiraf sebarang tuntutan ke atas Sabah kerana kami adalah negeri berdaulat dalam Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, yang berusaha bersungguh-sungguh bagi membatalkan satu award akhir oleh seorang penimbang tara Sepanyol berhubung Sabah.

Azalina menerusi hantaran di laman Facebook semalam menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai kemenangan bersejarah dan penting buat Malaysia, kerana keputusan itu bermakna asas awal yang membawa kepada Award Akhir iaitu Malaysia perlu membayar pampasan kira-kira US$15 bilion, tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.

Azalina menganggap keputusan mahkamah itu sebagai satu kejayaan penting buat Malaysia kerana percubaan untuk memeras ugut rakyat negara ini telah gagal. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan