WILAYAH - TIMUR > BERITA

22 PELAJAR SMK GUNTONG SAKIT PERUT, MUNTAH-MUNTAH SELEPAS BERSARAPAN

08/11/2024 02:21 PM

KUALA TERENGGANU, 8 Nov (Bernama) -- Sebanyak 22 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guntong, Setiu sakit perut dan muntah-muntah selepas bersarapan di sebuah resort di daerah Setiu, semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Jelani Sulong berkata kejadian kira-kira 8 pagi itu melibatkan pelajar calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang mengikuti Kem Anakku Cemerlang di tempat peranginan berkenaan.

Beliau berkata pada mulanya lapan pelajar telah mengadu sakit perut serta muntah-muntah dan segera dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan oleh guru bertugas.

"Tidak berapa lama kemudian dua lagi pelajar turut mengadu sakit perut dan dihantar ke Klinik Kesihatan Permaisuri untuk rawatan, diikuti 12 lagi pelajar yang menunjukkan gejala keracunan makanan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelani berkata susulan itu, pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Setiu telah hadir ke resort berkenaan untuk membuat pemeriksaan dan mengambil sampel makanan berkaitan.

Beliau berkata seorang pelajar telah ditahan di wad untuk rawatan lanjut manakala selebihnya telah dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di Hospital Setiu dan Klinik Kesihatan Permaisuri.

"Kes ini diserahkan kepada pejabat kesihatan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan