WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN KAJI MEKANISME JEJAK RANTAIAN PENGEDARAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI

08/11/2024 04:57 PM

ALOR SETAR, 8 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji mekanisme untuk menjejaki rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi termasuk penggunaan nombor kumpulan pada setiap peket barangan itu.

Timbalan Menterinya Dr Fuziah Salleh berkata ia sebagai usaha untuk membanteras ketirisan minyak masak bersubsidi sama ada di peringkat peruncit, pemborong dan pembungkus.

“Kita telah gempur beberapa kilang pembungkus minyak masak dan dapati ada berlaku ketirisan. Contohnya, ada jenama minyak masak yang berada di tempat tidak sepatutnya tetapi apabila tanya peruncit, pemborong dan pembungkus, tiada jawapan … jadi macam mana kita hendak tengok siapa yang bersalah dalam ketirisan ini.

“Kalau ada nombor kumpulan di setiap peket minyak masak ini, kita boleh tahu ketirisan itu datang dari pihak mana. Setakat ini, ia hanya cadangan dan belum dilaksanakan tetapi ada syarikat yang sudah mula buat, mungkin kita boleh cuba dan kaji dengan lebih mendalam dan mungkin ini jalan penyelesaian kepada isu ketirisan minyak masak ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyertai program turun padang dan menjalankan pemeriksaan mengejut bagi memantau sendiri aktiviti yang dijalankan di dua kilang memproses ayam dan tiga premis runcit di sekitar daerah Kota Setar.

Sementara itu, Fuziah berkata dalam operasi Kita Gempur Zon Utara di Kedah, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di dua kilang memproses ayam di sekitar Kepala Batas di sini yang didapati telah menyimpan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi untuk menjalankan perniagaan di premis berkenaan.

“Ketika pemeriksaan di kedua-dua kilang itu, kita telah berjumpa penyelia kilang seorang lelaki berusia 40-an dan mendapati sebanyak 79 tong LPG bersubsidi digunakan. Kesemua tong berkenaan telah disita dan nilai sitaan dianggarkan bernilai hampir RM9,750.

“Selain itu, kita turut menyita 29 tong LPG di sebuah kedai runcit di Pantai Johor di sini yang dianggarkan bernilai RM771. Kesemua kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Inisiatif Kita Gempur ialah langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan