WILAYAH - UTARA > BERITA

SULTAN KEDAH TITAH GRADUAN KONGSI BAKAT MANFAATKAN MASYARAKAT

10/11/2024 06:31 PM

SINTOK, 10 Nov (Bernama) -- Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menitahkan para graduan berkongsi bakat dan kemahiran yang dimiliki agar dapat memberikan impak positif serta manfaat kepada masyarakat. 

Baginda bertitah perkongsian itu sama ada melalui penglibatan dalam bidang profesional atau sumbangan secara kerja amal, semestinya memberikan impak kepada komuniti dan masyarakat.

"Para graduan harus sedar bahawa kejayaan yang dikecapi dalam kehidupan ini bukan sekadar untuk dinikmati oleh diri sendiri namun sebenarnya hendaklah dikongsi, dimanfaatkan bersama-sama orang lain.

"Beta ingin berpesan kepada semua graduan agar sentiasa ingat akan tanggungjawab kita kepada bangsa, agama dan negara. Gunakanlah bakat dan kebolehan yang telah dipelajari untuk memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat dan negara.

“Jadilah individu yang membanggakan keluarga, universiti dan negara kita," titah baginda pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-37 di Dewan Mua'dzam Shah di sini hari ini.

Sultan Kedah bertitah para graduan juga harus sentiasa belajar dan mengekalkan rasa ingin tahu untuk terus mencapai kejayaan kerana pembelajaran di luar pendidikan formal akan lebih mematangkan mereka dalam mengharungi kehidupan di dunia serba mencabar ini.

Sementara itu, Naib Canselor UUM Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata seramai 6,742 graduan 2024 bakal menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen kali ini. 

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 5,539 terdiri graduan peringkat Sarjana Muda manakala 1,126 ialah graduan pascasiswazah. 

"Seramai 1,681 graduan sarjana muda terdiri graduan kelas pertama dan 84 graduan akan menerima pelbagai anugerah kecemerlangan akademik dan pingat. Dua graduan akan menerima Anugerah Pelajaran Diraja dan seorang bakal menerima Anugerah Pingat Emas Canselor.  

"Penerima Anugerah Pelajaran Diraja akan menerima RM7,500 beserta sijil manakala penerima Pingat Emas Canselor bakal menerima RM4,000 berserta sijil," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan