WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PESARA RUGI LEBIH RM200,000 DIPERDAYA 'PHONE SCAM'

23/11/2024 11:49 AM

KUANTAN, 23 Nov (Bernama) -- Seorang pesara mengalami kerugian RM260,950 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai dari Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan pegawai polis. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 61 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai NSRC dan mendakwanya terlibat dengan aktiviti judi dalam talian serta pengubahan wang haram pada September lepas. 

Beliau berkata panggilan kemudiannya disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan menyatakan terdapat waran tangkap terhadapnya berikutan sejumlah RM1.18 juta telah dimasukkan ke dalam akaun bank pesara tersebut. 

“Pada 27 Okt lepas, mangsa telah diarahkan untuk memindahkan wang simpanan Tabung Haji sebanyak RM120,000 ke dalam akaun bank miliknya serta turut diarahkan supaya Kad ATM berserta nombor pin mangsa diletakkan di lokasi yang diberikan, kononnya bagi tujuan siasatan Jabatan Audit Negara.

”Mangsa mula menyedari ditipu setelah mendapati wang dalam akaun bank miliknya sebanyak RM260,950 termasuk wang simpanan Tabung Haji tersebut telah dikeluarkan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya turut menasihati orang ramai agar membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan sebaik menerima panggilan meragukan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan. 

Masyarakat juga diingatkan sentiasa peka dengan trend penipuan dalam talian berikutan modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih dengan perkembangan teknologi, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan